Ad

Saturday 19 May 2018

Jaringan gol lonjak semangat Akhyar

SUKAN»Bola
Ahad, 20 Mei 2018 | 11:28am
 
PEMAIN sayap muda Kedah, Akhyar Rashid optimis skuad Lang Merah sudah memiliki semangat kebangkitan. - Foto Kedah FA
Jaringan gol lonjak semangat Akhyar
Oleh Izzali Ismailsukanteam@nstp.com.my

ALOR SETAR: Pemain sayap muda Kedah, Akhyar Rashid yakin Kedah mampu terus konsisten dalam memburu kemenangan pada aksi Liga Super menentang Pahang di Stadium Darul Aman Selasa ini.

Akhyar yang meledak satu gol ketika Kedah bertemu Negeri Sembilan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Negeri Sembilan minggu lalu, optimis skuad Lang Merah sudah memiliki semangat kebangkitan selepas menambah tiga mata seperti disasarkan.

"Saya yakin dengan kejayaan mengutip tiga mata pada perlawanan ketika bertemu Negeri Sembilan minggu lalu mampu memberi motivasi untuk saya dan rakan-rakan mengekalkan rentak serta dapat memburu kemenangan di laman sendiri kali ini.

"Sumbangan gol ketika menentang Negeri Sembilan turut melonjakkan semangat saya untuk terus berusaha membantu skuad Lang Merah mengukuhkan kedudukan pada carta Liga Super.

"Apa yang penting adalah perancangan diatur jurulatih, Nidzam Adzha Yusoff yang perlu kami laksanakan dengan sebaik mungkin dan fokus serta berdisiplin sepanjang 90 minit perlawanan," katanya.

Dalam pada itu Akyar turut mengakui skuad Pahang kendalian Dollah Salleh kini sudah berwajah baharu dan diperkuatkan selepas kemasukan bekas pemain Terengganu, Issey Nakajima dan bekas penyerang Kelantan, Austin Amutu.

"Saya sedar perlawanan kali ini bukanlah laluan yang mudah bagi kami walaupun kami beraksi di laman sendiri, namun semangat kebangkitan yang dirasainya semua pemain dalam pasukan mampu dijadikan bekalan untuk memburu kemenangan.

"Latihan sebelah malam pada bulan Ramadan ini berjalan dengan lancar dan saya yakin jurulatih mempunyai ramuan terbaik meneruskan kejayaan Kedah dan pastinya dapat mengenalpasti strategi terbaik untuk perlawanan itu nanti.

"Beraksi di laman sendiri harus kami manfaatkan sepenuhnya dan hasrat serta misi kami adalah untuk mendapatkan tiga mata di laman sendiri dan terus tingkatkan kedudukan ke kelompok teratas carta Liga Super," katanya
SUMBER-BERITA HARIAN ONLINE Ahad, 20 Mei 2018 | 11:28am

No comments:

Post a Comment