Penjaga gol Melaka United berkelas dunia selamatkan percubaan tepat Perak
Muhamad Tarmize Mohd. Nor
14 Mei 2018 2:30 AM
APEK (kanan) mempamerkan aksi cemerlang menafikan deretan percubaan jentera serangan Perak pada aksi Liga Super di Ipoh kelmarin.
PERAK terpaksa akur dengan keputusan seri tanpa jaringan dengan Melaka United dalam saingan Liga Super di Stadium Perak, Ipoh kelmarin apabila beberapa percubaan berbahaya untuk mendapatkan jaringan dinafikan penjaga gol dan pertahanan pasukan pelawat.
Pengendali Perak, Mehmet Durakovic berkata, para pemainnya telah menunjukkan aksi yang baik di atas padang basah untuk memburu kemenangan pada perlawanan yang dihadiri kira-kira 7,500 penyokong, namun dinafikan penjaga gol lawan, Khairul Fahmi Che Mat atau Apek.
“Kami bermain dengan baik pada perlawanan itu dan mendapat kira-kira tiga percubaan terbaik untuk mendapatkan gol.
“Bagaimanapun, penjaga gawang Melaka United melakukan tugas yang sangat baik apabila menepis segala percubaan kami,” katanya pada sidang akhbar selepas tamat perlawanan.
Selain menyifatkan Apek sebagai penjaga gol yang beraksi pada tahap kelas dunia, Durakovic turut memuji barisan pertahanan pasukan pelawat yang berjaya mengekang asakan penyerang The Bos Gaurus.
“Sangat susah untuk memecah pertahanan Melaka United dan menghampiri gawang gol. Saya memuji para pemain pertahanan mereka,” katanya.
Dalam perlawanan tersebut, kedua-dua pasukan bermula hambar apabila bola hanya berlegar-legar di bahagian tengah tanpa sebarang percubaan berbahaya ke atas pasukan lawan.
Tuan rumah memperoleh peluang untuk mendapatkan jaringan pada minit ke-25 selepas bola sepakan Nor Hakim Hassan menuju ke gawang pelawat, namun ia ditangkap kemas oleh Apek yang turun beraksi untuk kali pertama buat Melaka United.
Anak-anak buah E. Elavarasan juga tidak ketinggalan untuk mencari gol pembukaan dengan melakukan rembatan dari jarak jauh, namun usaha mereka gagal membuahkan hasil.
Pada babak kedua, aksi cemerlang Apek berjaya menafikan beberapa percubaan The Bos Gaurus untuk menterjemahkan jaringan ke gawang Melaka United.
Pemain Perak, Leandro Dos Santos Oliveira mendapat peluang di hadapan gol pada minit ke-64 apabila menanduk bola ke gawang Melaka United namun ia turut dinafikan Apek.
SUMBER-KOSMO ONLINE 14 Mei 2018 2:30 AM
No comments:
Post a Comment