Kolumnis
Jumaat, 11 Mei 2018 | 7:00
Oleh Ahmad Zaini Kamaruzzaman
KONGSI ARTIKEL
KATAKAN apa sahaja. Keputusan
Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) kelmarin menunjukkan berlaku tsunami. Jika
PRU-12 pada 2008 dilanda tsunami Cina, kali ini berlaku gelombang lebih besar,
yakni tsunami rakyat.
Dari Perlis sampai ke Sabah,
isyarat yang diberikan pengundi adalah rakyat menjadi penentu siapa atau parti
mana yang layak memerintah.
Barisan Nasional (BN) tewas
selepas memerintah selama 61 tahun. Kerusi yang diperoleh pula jauh merosot
kepada hanya hanya 79 berbanding 133 pada PRU-13.
UMNO, tunjang kepada BN hilang 34
kerusi apabila hanya menang 54 kerusi, berbanding 88 kerusi pada PRU-13.
Kecuali Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) dan Parti Bersatu Rakyat Sarawak
(SUPP) yang masing-masing mengekalkan satu kerusi, parti komponen lain
mengalami kemerosotan.
MCA menyusut daripada tujuh
kepada satu kerusi MIC (4-2), Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (14-13), Parti
Rakyat Sarawak (6-3), Parti Demokratik Progresif (4-2), UPKO (3-1) dan PBS
(4-1).
Ramai yang mencari jawapan apa
yang sebenarnya berlaku sehingga BN pimpinan Datuk Seri Najib Razak, bukan
sahaja gagal membentuk kerajaan, malah pencapaian jauh merosot daripada pilihan
raya lalu.
Pelbagai andaian dan analisis
dibuat, namun yang jelas adalah penolakan pengundi terhadap BN. Kenapa mereka
menolak? Jawapannya pelbagai.
Nama Najib disebut pengundi
Seorang pegawai ibu pejabat UMNO
berkata, memang sukar menerima keputusan itu, tetapi ada beberapa perkara yang
menyebabkan keputusan tidak memihak kepada BN.
"Isu GST, 1MDB, kos sara
hidup tidak dapat dijawab. Pengundi juga sudah membuat ketetapan lebih awal
tidak memilih kita. Nama Datuk Seri Najib disebut oleh pengundi. Mereka mahu
digantikan dengan Tun M (Tun Dr Mahathir Mohamad) sebagai Perdana
Menteri," katanya.
Beliau mengakui UMNO gagal
mengesan gelombang tsunami kerana ia melanda tanpa diduga. Ia hanya dikesan
apabila jentera turun menemui pengundi ramai yang bertanya mengenainya dengan
riak wajah kelihatan hambar.
BN membuat perkiraan mampu menang
sehingga 130 kerusi walaupun ada seorang menteri berani menyatakan BN mampu
menang sehingga 149 kerusi, melepasi angka 148 bagi membentuk kerajaan dua
pertiga kali ini.
Namun, ia tidak menjadi walaupun
menampilkan rekod cemerlang sepanjang lima tahun lalu, selain tawaran manifesto
yang pada anggapan kebanyakan penganalisis serta pakar ekonomi dan kewangan
sebagai yang terbaik untuk rakyat.
Pengaruh media sosial
Penganalisis politik, Dr Mohd
Azizuddin Mohd Sani menjelaskan pengundi bandar dan pinggir bandar menolak BN
kerana kemarahan kepada Najib dan dasar ekonomi seperti Cukai Barang dan
Perkhidmatan (GST) serta isu FELDA, selain faktor sabotaj dalaman oleh ahli
dalam parti komponen BN sendiri.
"Ini menyebabkan kemenangan
besar PAS di Kedah dan Terengganu, selain Pakatan Harapan di beberapa kubu kuat
UMNO seperti Kedah, Perak, Johor dan Selangor," katanya.
Beliau mengakui ada faktor
pengundi muda dan belia bawah usia 40 tahun yang berjumlah lebih tujuh juta.
Media sosial mempengaruhi mereka mengenai isu nasional dan setempat yang boleh
diperoleh di hujung jari.
"Isu calon juga menjejaskan
peluang BN kerana menampilkan calon lama dan baharu yang ditolak pengundi.
Mereka dilihat tidak berjiwa rakyat dan lebih menjaga kepentingan diri serta
kroni.
Gagal atasi isu dibangkit PH
Tinjauan penulis di beberapa
negeri mendapati, selain lambat membaca isyarat gelombang tsunami, BN gagal
menangani isu yang dibangkitkan oleh Pakatan Harapan, sebaliknya menyerang
keterlaluan, terutama terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad.
Jentera BN di Parlimen Kuala
Kedah menghadapi masalah memberi penjelasan kepada ahli pada peringkat akar
umbi kerana mereka sendiri tidak pasti apa yang mahu dijelaskan, termasuk
serangan terhadap Dr Mahathir.
Seorang bekas Ahli Jawatankuasa
UMNO cawangan dan aktif pada peringkat bahagian ketika ditemui tiga hari
sebelum hari mengundi pula berkata, beliau hilang kepercayaan terhadap parti
serta pemimpinnya kerana pelbagai isu, khususnya 1MDB dan GST.
Beliau yang memandu Grab mendakwa
boleh membawa sekurang-kurangnya 15 ahli UMNO mengundi Pakatan Harapan dan
berkempen kepada pelanggan sepanjang perjalanan ke destinasi mereka.
Isu pokok yang dibangkitkan
rakyat tidak ditangani sewajarnya. BN mempertahankan diri dengan menyerang,
tetapi tidak cukup berbisa untuk melumpuhkan musuh. Serangan terhadap usia 93
tahun Dr Mahathir yang terlalu tua untuk menjadi Perdana Menteri tidak diterima
oleh rakyat.
Dr Mahathir pula dilihat lebih
fokus dalam membuat serangan dengan hanya menjadikan Najib sebagai sasaran. Ia
berkesan dan menarik minat pengundi apabila ribuan hadir setiap kali ceramah di
seluruh negara.
Jumlah jutaan penonton yang
mengikuti ceramah secara langsung menerusi Facebook Live pula tidak disangka
menjadi realiti hingga dibawa ke kertas undi dengan memilih Pakatan Harapan.
Menurut penganalisis politik,
Prof Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain pula, beberapa faktor boleh dikaitkan,
termasuk persepsi tebal pengundi yang mengaitkan BN dan UMNO sebagai parti
tidak ada integriti, rasuah dan gagal mentadbir urus.
"Serangan terhadap pemimpin
tertentu dalam siri jelajah kempen juga memberi kesan. Dalam ceramah di Johor
misalnya, Pakatan Harapan mengeksploitasi kelemahan pemimpin tertentu untuk
dapatkan sokongan rakyat. Mereka tidak perlu pun jelaskan manifesto dan tawaran
yang hendak diberikan," katanya.
Kelemahan kepemimpinan parti
komponen
Selain itu, kelemahan
kepemimpinan parti komponen terserlah apabila tiga presiden parti - MCA, MIC
dan GERAKAN - kalah. Kekuatan BN yang sepatutnya dibantu oleh parti komponen
hanya dominasi oleh UMNO.
Katanya, jika PRU-13 banyak
berkisar soal kepentingan Melayu/Islam lawan bukan Melayu/Islam, kini isu lebih
besar berkaitan massa, iaitu isu ekonomi dan sara hidup mempengaruhi pola
pengundian.
Mohd Izani juga berpendapat
beberapa pemimpin BN dan UMNO sepatutnya boleh menghidu tahap sokongan rakyat
dan segera mengundurkan diri sebelum PRU-14 bagi memulihkan sokongan.
Dalam banyak-banyak punca
sehingga berlaku tragedi hitam terhadap UMNO, kekuatan sebenar pakatan harapan
adalah Dr Mahathir yang merencana tsunami rakyat menolak BN.
Untuk rekod, dalam PRU-14, undi
popular Pakatan Harapan meningkat kepada 50.1 peratus, BN menurun kepada 31.9
peratus dan PAS hanya 18 peratus. Untuk PRU-15, banyak yang perlu dilakukan
oleh UMNO dan persidangan perwakilan parti itu, termasuk pemilihan pucuk
pimpinan mungkin boleh dijadikan ruang muhasabah diri dan memulihkan parti.
Penulis adalah Pengarang
Eksekutif Berita Harian
SUMBER-BERITA HARIAN ONLINE Jumaat,
11 Mei 2018 | 7:00am
No comments:
Post a Comment