Ad

Tuesday, 15 May 2018

Bermula paksa akhirnya juara


Menanam minat dalam tarannum tidak sia-sia bagi Fakhrul
 FAKHRUL Radhi terus mengorak langkah bersama UNIC.
FAKHRUL Radhi terus mengorak langkah bersama UNIC.
25 Februari 2015 1:08 PM

SEBAGAIMANA kelaziman daripada kebanyakan kanak-kanak lain, ketika disuruh mengaji dianggap lebih ‘meletihkan’ berbanding berada di padang bola atau taman permainan sehingga mengambil masa berjam-jam.

Begitulah situasi yang turut dialami Mohd. Fakhrul Radzi Khamarudin, 29, ketika di usia kanak-kanak apabila disuruh membaca kitab suci al Quran oleh bapanya. Apatah lagi diajar dengan cara bertarannum dan berqiraat.


Namun siapa sangka, amalan yang asalnya dilakukan secara paksaan, semakin lama menimbulkan minat buat anak kelahiran Alor Setar, Kedah itu untuk lebih mendalami dan menguasai seni halus al-Quran.

Ini terbukti apabila melayakkan graduan lulusan Usuluddin di Kolej Universiti Insaniah (KUIN) itu menjuarai program realiti televisyen, Akademi al-Quran musim ketiga (AQ3) pada 2008.

Namun baginya, itu bukan pengakhiran kepada segala usaha yang dipelajari selama ini, sebaliknya kemenangan itu dianggap permulaan untuknya dalam memartabatkan seni al-Quran secara meluas di samping menghilangkan persepsi bertarannum hanya untuk golongan tua.

“Bermula secara paksaan pada seawal usia 10 tahun, emak dan ayah telah menyuruh saya mempelajari al-Quran, bukan dengan bacaan bahasa, tetapi secara bertarannum. Sedangkan perkara itu bukan minat saya ketika itu yang lebih gemarkan nasyid dan nyanyian.

“Namun setelah beberapa kali belajar, akhirnya secara tidak langsung menimbulkan rasa seronok dalam diri saya untuk membaca al-Quran secara berlagu, sehingga tidak keterlaluan untuk dikatakan menjadi satu hobi pada masa itu.

“Sehinggalah saya semakin serius mempelajari taranum pada usia 13 tahun. Mungkin inilah yang membuktikan sebahagian mukjizat daripada keagungan al-Quran yang tanpa kita sedari dapat melembutkan hati pembacanya,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Minat Fakhrul mempelajari tarannum al-Quran semakin mendalam apabila beliau bertemu dengan salah seorang pelajar senior di sekolah menengah untuk membimbingnya selama hampir dua tahun sebelum menyambung pengajian ke Universiti al-Azhar, Mesir.

Tidak terhenti di situ, kerana minat, beliau terus berkongsi ilmu taranum secara jarak jauh dengan mengirimkan rakaman suara berbentuk kaset kepada guru tidak rasminya itu untuk terus memperbaiki bacaan selama beberapa tahun.

Fakhrul kemudiannya mendapat tunjuk ajar daripada bekas Qari Kedah, Datuk Kassim Ahmad sehingga kini walaupun sibuk dengan pelbagai urusan lain bagi terus menajamkan kemahiran seni al-Quran itu.

Beliau yang terlibat aktif dalam pelbagai pertandingan Musabaqah al-Quran sejak sekolah rendah turut menangkis tanggapan kebanyakan umat Islam yang menganggap mempelajari seni al-Quran adalah khusus kepada golongan berusia dan kurang menjamin masa depan yang cerah.

“Realiti yang berlaku, selain dilihat kurang terdapat kelas yang menawarkan khidmat pengajian tarannum dan qiraat, ilmu itu juga kurang digemari dan kuang mendapat sambutan daripada masyarakat terutamanya generasi muda kerana dianggap tidak bersesuaian bagi peringkat umur mereka.

“Manakala, sebahagian pula menganggap tarannum al-Quran ini tidak memberi peluang masa depan yang cerah jika dibandingkan dengan seni suara lain seperti nasyid dan nyanyian yang lebih menghiburkan dan mudah diterima semua peringkat umur.

“Namun, Alhamdulillah, dengan wujudnya program berbentuk rancangan realiti di televisyen ini semakin mendapat sambutan. Usaha ini perlu diteruskan supaya menjadi trend masyarakat masa kini dalam usaha mengubah mentaliti terutama golongan muda untuk lebih minat kepada seni al-Quran,” ujarnya
Sumber-Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/hiburan/bermula-paksa-akhirnya-juara-1.63341#ixzz5FchxXXJK
© Utusan Melayu (M) Bhd


No comments:

Post a Comment