Ad

Wednesday, 16 May 2018

Safawi enggan mengalah

SUKAN»Bola
Rabu, 16 Mei 2018 | 5:15pm
 
AKSI Muhammad Safawi Rasid (kanan) diasak pemain Selangor,Kannan Kalaiselvan (kiri) pada perlawanan saingan Liga Super pada 2 Mei lalu. - Foto MOHD AZREN JAMALUDIN
Safawi enggan mengalah
Oleh Aziman Rosdi
aziman@nstp.com.my
KUALA LUMPUR: Penyerang muda, Safawi Rasid bersedia untuk terus bersaing dengan pemain import meskipun kehadiran Harry Novillo dan Jorge Santos Silva bersama Johor Darul Ta'zim (JDT) bakal menggugat peluang pemain tempatan.

Penyerang berusia 22 tahun itu mengakui persaingan untuk merebut tempat dalam pasukan semakin sengit, namun itu bukan alasan untuk penyerang tempatan cepat mengalah.  

"Memang persaingan untuk mendapat tempat dalam kesebelasan utama pasukan semakin sukar sebab JDT ada pemain import baharu. Kalau kita lihat Novillo dan Silva ini pemain yang bagus dan boleh meningkatkan prestasi pasukan.  

"Dan bagi pemain lain kena terus berusaha keras untuk mendapat tempat bermain. Saya percaya peluang sentiasa ada buat mana-mana pemain jika memberikan kesungguhan dalam latihan dan perlawanan," katanya.  

Selain Novillo dari Perancis dan Silva (Brazil), Safawi turut bersaing dengan pemain tempatan iaitu Ahmad Hazwan Bakri, Darren Lok dan Syafiq Ahmad untuk merebut posisi serangan kelab Harimau Selatan itu.  

Safawi kini berkongsi kedudukan bersama Safee Sali (PKNS FC) dan Hafiz Ramdan (PKNP FC) sebagai penjaring terbanyak liga bagi pemain tempatan dengan tiga gol selepas 10 perlawanan.  

Pemain kelahiran Terengganu itu berharap akan terus konsisten bukan saja membantu kemenangan pasukan, malah mengejar kedudukan penjaring terbanyak yang kini didominasi oleh penyerang import Selangor, Rufino Segovia dengan lapan gol.  

"Penyerang setiap kali beraksi mesti mahu menjaringkan gol, saya mahu membuktikan bahawa penyerang tempatan juga boleh melakukannya kerana itu tugas sebagai penyerang. Tapi apa yang paling penting adalah kemenangan pasukan," kata Safawi.
SUMBER-BERITA HARIAN ONLINE Rabu, 16 Mei 2018 | 5:15pm

No comments:

Post a Comment