Attirmidzie Rahman
sukanteam@nstp.com.my
KELANTAN mengekalkan pemain
pertahanan kanan pasukan, Nik Shahrul Abdul Halim dan tidak akan melepaskannya
ke pasukan lain pada jendela perpindahan kedua Liga Malaysia (Liga-M) musim
ini.
Perkara itu disahkan Presiden
Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Bibi Ramjani Ilias Khan selepas timbul
desas-desus mengenai pemain berusia 28 tahun itu bakal meninggalkan pasukan
yang diwakilinya sejak 2011.
Bibi Ramjani berkata, walaupun
pihaknya menerima tawaran daripada dua pasukan Liga Super yang mahukan khidmat
pemain itu namun ia tidak menjadi kenyataan.
Katanya, Nik Shahrul atau lebih
dikenali Pok Nik seorang tonggak utama pasukan yang memainkan peranan penting
di bahagian pertahanan dan jika dilepaskan ke pasukan lain mampu menjejaskan
prestasi pasukan.
"Kita ada terima tawaran
dari dua pasukan Liga Super yang menginginkan khidmatnya namun kita terpaksa
menolak memandangkan Pok Nik menggalas tugas penting di posisi pertahanan
pasukan.
"Jika kita lepaskan ia
mungkin menjejaskan pasukan dan lebih baik kita kekalkan bagi memastikan
pasukan terus bersaing.
"Jadi kita minta mana-mana
pasukan untuk menghormati kontraknya seterusnya mengekalkan pemain ini bersama
pasukan musim ini.”
Bibi Ramjani turut mendedahkan
dua pasukan yang mahukan khidmat Nik Shahrul menawarkan gaji yang lebih baik.
"Ada diantara pasukan itu
menawarkan gaji yang lebih baik berbanding gajinya bersama Kelantan dan perkara
itu sebenar memberi kebaikan kepada masa depannya namun khidmatnya masih lagi
diperlukan Kelantan," katanya ketika dihubungi Sukan NSTP, hari ini.
SUMBER-Artikel ini disiarkan pada
: Selasa, 15 Mei 2018 @ 3:08 PM
No comments:
Post a Comment