Ad

Tuesday, 8 May 2018

Biar kami 'low profile'

Aziman Rosdi
aziman@nstp.com.my
 
PENYERANG kebangsaan, Zaquan Adha Radzak lebih suka Harimau Malaya berwatak ‘low profile’ pada kempen Piala AFF November depan biarpun mengakui pasukan yang dibentuk oleh jurulatih Tan Cheng Hoe awal tahun ini mampu melakukan kejutan.

Katanya, keputusan mengecewakan dua tahun lalu apabila tersingkir awal di Yangon seharusnya dijadikan pengajaran apatah lagi lawan mereka dalam saingan Kumpulan A kali ini hampir sama iaitu Vietnam, Myanmar dan Kemboja kecuali Laos.

“Saya tidak kisah dengan persepsi orang yang mengatakan kami bukan pasukan pilihan kali ini. Biar kami ‘low profile’, tapi pada masa sama kami buktikan pasukan ini lebih baik.

“Dalam kumpulan ini, Vietnam dan Myanmar adalah lawan paling sukar, tapi saya percaya Kemboja dan Laos tidak akan memberi laluan mudah. Dua tahun lalu kami gagal ke separuh akhir, jadi pengalaman itu harus dijadikan pengajaran buat semua pemain,” kata Zaquan yang kini mewakili Kuala Lumpur.

Kempen Malaysia, juara 2010, akan bermula dengan menentang Kemboja di Phnom Penh pada 8 November, sebelum melayan kunjungan Laos di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 12 November, bertemu Vietnam di Hanoi (16 November) dan Myanmar di Bukit Jalil (24 November).

Manakala saingan Kumpulan B pula membabitkan juara bertahan Thailand, naib juara Indonesia, Filipina, Singapura dan pemenang pusingan kelayakan, Brunei atau Timor Leste.

Zaquan yang dilantik sebagai kapten dan meledak empat gol ketika menamatkan kemarau 12 perlawanan tanpa kemenangan Harimau Malaya dengan membelasah Bhutan 7-0 pada aksi persahabatan di Bukit Jalil, 1 April lalu percaya, semangat pemain skuad itu boleh dijadikan senjata terbaik untuk memburu tempat ke final Piala AFF.

“Ramai yang cakap ia perlawanan mudah menentang Bhutan, tapi kami hanya berlatih beberapa hari saja sebelum perlawanan itu. Pemain ketika itu beraksi dengan semangat juang tinggi.

“Pemain juga cepat menyesuaikan diri dan tak mustahil untuk kami ke final jika membuat persiapan lebih baik. Tapi tak tahulah, mungkin selepas ini pemain lain akan dibawa, mungkin ada kapten baru tapi ia tak ada masalah, kerana apa yang penting, semua pemain perlu ada semangat untuk menyarung jersi negara,” katanya.

SUMBERArtikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Mei 2018 @ 6:46 PM


No comments:

Post a Comment