Attirmidzie Rahman
sukanteam@nstp.com.my
Ketua Jurulatih Kelantan Fajer
Ebrahim, menganggap kemenangan pertama diperoleh malam tadi adalah 'Isyarat
kebangkitan' pasukannya bagi menghadapi
baki saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.
Skuad The Red Warriors (TRW) yang
dibarisi pemain muda malam tadi seolah-olah mendapat suntikan magis Fajer
selepas menjinakkan Kuala Lumpur 4-2 di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV.
Fajer berkata, perlawanan
terbabit dianggap bukti dan balasan setimpal di atas usaha keras pemainnya
sepanjang berada di bawah kendaliannya.
"Seperti saya beritahu jika
(pemain) selalu berusaha tidak kira ketika di padang latihan atau perlawanan
sebenar, kita pasti mendapatkan tiga mata penuh," katanya pada sidang
media selepas perlawanan, malam tadi.
"Saya berbangga dengan semua
pemain kerana bukan senang bagi pemain muda beraksi dalam suasana perlawanan
liga utama, sudah pasti mereka akan dibezakan dengan pengalaman.
"Insya-Allah dengan
pengalaman saya yang pernah melatih pemain muda di Syria yang kemudian membawa
pemain muda ke skuad utama kebangsaan, saya yakin pasukan ini berkembang kerana
itu akan diterapkan sepenuhnya dalam pasukan ini.”
Pada aksi malam tadi, sebanyak
enam gol terhasil di stadium keramat Kelantan dengan jaringan dihasilkan Nik
Azli Nik Alias (m-9); Shafiq Shaharuddin (m-15,68), Nik Akif Syahiran Nik Mat
(m-88) sementara gol pelawat dihasilkan Indra Putra Mahyuddin (m-79) dan Zhafri
Yahya (m-90).
"Saya bekerja di sini untuk
Kelantan, untuk Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan, Bibi Ramjani Ilias
Khan...Dia (Bibi) amat menyokong pasukan dan dia juga seorang presiden bola
yang bagus.
"Saya bukan bekerja untuk
duit di Kelantan. Apa yang saya mahu adalah memastikan pasukan ini kembali
mencipta nama dan memenangi setiap perlawanan," katanya.
SUMBER-Artikel ini disiarkan pada
: Ahad, 6 Mei 2018 @ 2:00 PM
No comments:
Post a Comment