Ad

Saturday, 28 September 2019

M. Chandran meninggal dunia


 
28 September 2019 12:21 PM
KUALA LUMPUR, 28 Sept. - Datuk M. Chandran, yang dianggap sebagai pemain paling bernilai bagi Malaysia semasa era kegemilangan bola sepak negara pada tahun 60-an dan 70-an, meninggal dunia berikutan penyakit gangguan saraf motorik di rumahnya di Ampang Jaya di sini kira-kira 7.30 pagi ini.
                     
Mendiang, 77 tahun, meninggalkan seorang isteri Datin A. Pushpalatha, dan dua anak lelaki masing-masing berusia 36 dan 38 tahun.


Ahli exco Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Christopher Raj ketika dihubungi Bernama berkata, mendiang M. Chandran disahkan meninggal dunia oleh doktor yang membuat pemeriksaan ke atasnya pagi ini dan menambah bahawa jenazahnya akan dibawa ke Tapak Krematorium Sentul kira-kira 5.00 petang.

Sementara itu, Persatuan Bekas Pemain Negeri dan Antarabangsa dalam kenyataan hari ini menyatakan rasa sedih di atas pemergian mendiang M. Chandran, yang juga bekas presiden persatuan itu, yang banyak membuat sumbangan besar kepada bola sepak Malaysia secara khusus dan di rantau Asia secara keseluruhan. – BERNAMA
UTUSAN MALAYSIA ONLINE 28 September 2019 12:21 PM

Cari pembunuh Adib, jangan sia-siakan kematiannya!

NOZINA YAHAYA | | 28 September 2019

Kamal Affendi
SHAH ALAM - Polis Diraja Malaysia (PDRM) digesa mencari pihak yang bertanggungjawab sehingga menyebabkan kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim.
Penganalisis jenayah, Kamal Affendi Hashim berkata, pihak berkuasa perlu memastikan Muhammad Adib tidak terkorban sia-sia dan pembunuhnya perlu dikenal pasti dan diheret ke muka pengadilan.

"Bukti sudah jelas apabila inkues hari ini memutuskan kematian arwah Muhammad Adib menjurus kepada perbuatan jenayah.

"Jadi PDRM mempunyai tugas dan tanggungjawab yang lebih berat untuk mencari pelaku sebenar berdasarkan bukti, saksi serta dapatan inkues," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas keputusan Mahkamah Koroner hari ini yang memutuskan kematian Muhammad Adib akibat perbuatan jenayah oleh dua atau lebih individu yang tidak dikenali.

Kamal Affendi berkata, masyarakat menuntut keadilan buat anggota bomba terbabit.

"Mereka yang bertanggungjawab perlu segera diheret ke muka pengadilan demi kedaulatan undang-undang di negara ini. Jangan biarkan kes Muhammad Adib ini lenyap tanpa ada pihak yang menerima hukuman atau pembalasan.

"Walaupun hukuman itu tidak akan mampu mengembalikan arwah tetapi sekurang-kurangnya ia dapat memberi pengajaran kepada setiap rakyat Malaysia tanpa mengira kaum bahawa negara ini mempunyai undang-undang," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menggesa kerajaan untuk menetapkan garis panduan semua rumah ibadat di negara ini perlu dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV).

"CCTV ini perlu dipasang kira-kira 50 meter di kawasan rumah ibadat bagi membuat pemantauan sekali gus mengelakkan kejadian sama berulang," katanya.
SUMBER-Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/49677/KHAS/Inkues-Adib/Cari-pembunuh-Adib-jangan-sia-siakan-kematiannya!
© 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf

Muhammad Adib mati akibat kecederaan dipukul

Inkues Adib
Inkues Adib
SUWARNI MOKHTAR dan SITI ROHAIZAH ZAINAL

27 September 2019 12:10 PM

SHAH ALAM 27 Sept. - Mahkamah Koroner hari ini memutuskan kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd. Kassim adalah akibat dipukul oleh sekumpulan lelaki.

Sehubungan itu, Koroner Rofiah Mohamad menyarankan agar Ketua Polis Negara dan Jabatan Peguam Negara membuat siasatan lanjut yang difikirkan perlu.

Terdahulu, Rofiah ketika membaca keputusan ringkasnya menyatakan wujud serangan fizikal terhadap anggota bomba, jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan van EMRS.


Serangan itu dapat dilihat melalui rakaman video yang tular dan turut ditunjukkan di mahkamah.

Rofiah turut menyatakan, mahkamah menerima pakai keterangan Profesor Dr. Shahrom Abd. Wahid yang menyatakan Muhammad Adib ditarik keluar dari van EMRS sebelum terkena hentakan pintu van yang ditendang oleh seseorang.

"Ketiadaan lebam pada tubuh tidak boleh dijadikan alasan untuk mengatakan Muhammad Adib tidak dipukul kerana lebam bergantung kepada beberapa faktor.

"Ketiadaan kecederaan mempertahankan diri pada Muhammad Adib juga menunjukkan bahawa arwah pada ketika dipukul berada dalam keadaan tidak sedarkan diri atau tidak mampu untuk mempertahankan dirinya," kata Rofiah.

Selain itu, keterangan saksi di tempat kejadian, Mohd. Hafizan Nordin yang menyatakan dia telah dihalang oleh seorang wanita India daripada memasuki kawasan rusuhan boleh disimpulkan bahawa wanita itu mengetahui terdapat orang telah dipukul.

Sementara itu, Mahkamah Koroner turut merumuskan bahawa Muhammad Adib oleh sekumpulan lelaki berketurunan India.

Rumusan itu dibuat saksi, R. Narresh yang berada di tempat kejadian.

"Saksi terdengar seseorang bertanya dalam bahasa Tamil 'bomba pun nak pukul ke?' Ini menunjukkan pertanyaan itu ditanya oleh seseorang yang fasih berbahasa Tamil kepada seseorang yang memahami bahasa Tamil.

"Maka rumusan yang boleh dibuat ialah Muhammad Adib dipukul oleh orang berketurunan India," katanya.

Rofiah turut menyatakan kegagalan pihak polis dan Unit Simpanan Persekutuan (FRU) mengawal kejadian rusuhan pada malam 27 November 2018 turut menyumbang kepada kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd. Kassim.

Ujar Koroner Rofiah Mohamad, tindakan dua pasukan polis dan FRU yang hanya duduk dalam kenderaan dan hanya menunggu arahan 'adalah tidak munasabah'.

"Sekiranya pihak polis dan FRU berjaya mengawal rusuhan, tiada kereta akan dibakar, bomba tidak perlu datang dan Muhammad Adib tidak akan terkorban," katanya.

Muhammad Adib cedera parah disyaki dibelasah dalam kejadian rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ25, Subang Jaya dekat sini, 27 November 2018.

Dia yang sepatutnya melangsungkan perkahwinan pada 23 Disember tahun lalu itu kemudian dirawat di unit jagaan rapi di Pusat Perubatan Sime Darby, Subang Jaya pada malam kejadian namun dipindahkan ke Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur pada keesokan malamnya.

Beliau meninggal dunia di IJN pada pukul 9.41 malam pada 17 Disember 2018. SUMBER- UTUSAN ONLINE 27 September 2019 12:10 PM

KEPUTUSAN PENUH JDT 4-1 TERENGGANU

OLEH-AHMAD BIN YAAKOB
PEMAIN JDT
01 FARIZAL MARLIAS
07 AIDIL ZAFUAN
33 MAURICIO DOS SANTOS.
22 CORBIN ONG
20 AZRIF NASRUL HAQ
29 SAFAWI RASID
04 AFIQ FAZAIL
11 GONZALO CABRERA
18 LENDRO VELAQUEZ
14 HARRIS HARUN
08 DIOGO LUIS SANTO
PEMAIN GANTIAN
27 FADHLI SHAS
03 ADAM NUR AZLIN
19 AKHYAR RASHID





Thursday, 26 September 2019

Pahang dijangka hilang khidmat Muslim, Nor Azam

SUKAN»Bola
Khamis, 26 September 2019 | 5:35pm
 
Muslim Ahmad (kanan) dan Nor Azam Azih yang masing-masing yang bermain di posisi pertahanan dan tengah disahkan masih mengalami kecederaan. - Arkib NSTP
Pahang dijangka hilang khidmat Muslim, Nor Azam
Oleh Asrol Awang
sukanteam@nstp.com.my
KUANTAN: Ketika membawa bekalan selesa hasil kemenangan 3-0 di Stadium Hang Jebat minggu lalu, pasukan Pahang berdepan masalah kecederaan pemain menjelang aksi suku akhir kedua Piala Malaysia menentang Melaka United (MU) di laman sendiri pada Ahad ini.

Setakat ini, dua tonggak iaitu Muslim Ahmad dan Nor Azam Azih yang masing-masing yang bermain di posisi pertahanan dan tengah disahkan masih mengalami kecederaan sekali gus mungkin tidak disenaraikan Dollah Salleh bagi aksi kedua itu.

Pengurus Tok Gajah, Datuk Mohammed Suffian Awang yang mengesahkan perkembangan itu percaya sekiranya tidak dapat menyenaraikan Muslim dan Nor Azam, ia diharap tidak menjejaskan rentak permainan pasukan.

"Sudah pasti khidmat dua pemain ini memang ditagih ketika Pahang dalam misi untuk menempah slot separuh akhir piala. Tapi, jika kecederaan itu tidak sempat pulih, saya percaya pemain lain yang akan mengisi kekosongan ditinggalkan oleh Muslim dan Nor Azam itu mampu memikul tanggungjawab berkenaan,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohammed Suffian mengharapkan jentera pasukan yang diketuai Matthew Davies tampil lebih bertenaga untuk menghalang MU daripada melakukan kejutan.

Katanya, biarpun lawan ketinggalan dengan defisit tiga gol, tidak mustahil skuad kendalian Zainal Abidin Hassan itu boleh melakar kemenangan.

"Sebab itu saya minta pemain mengekalkan prestasi dan memanfatkan peluang yang ada untuk membawa Pahang kembali menjulang Piala Malaysia musim ini," katanya.
SUMBER-BERITA HARIAN ONLINE Khamis, 26 September 2019 | 5:35pm

Safawi suntik semangat pemain tempatan


SAFAWI Rasid dinobat sebagai pemenang anugerah bulanan Pemain Terbaik Liga Super PFAM-ASIANA edisi Julai.
26 September 2019 8:15 PM

KUALA LUMPUR 26 Sept. - Bintang Johor Darul Ta’zim (JDT), Safawi Rasid berharap lebih banyak pemain tempatan akan memenangi anugerah bulanan Pemain Terbaik Liga Super Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM)- PFAM-Asiana.my selepas dinobat sebagai pemenang edisi Julai hari ini.

Safawi, 22, menerima undian tertinggi dengan 33.18 peratus (4,346 Undi) mengalahkan empat calon lain iaitu Sanjar Shaakhmedov (Terengganu FC - 27.60 peratus/3,615 Undi), Sandro Da Silva (Selangor - 18.74 peratus/2,454 Undi), Herold Goulon (Pahang - 18.45 peratus/2,417 Undi) dan Washington Brandao dari PJ City FC (2.04 peratus/267 Undi).


Anugerah itu disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif PFAM, Izham Ismail di Johor Bharu hari ini. Turut hadir pada majlis tersebut adalah pengasas asiana.my, Kamarul Akhir Mohamed Zan.

Safawi yang ditemui selepas majlis penyerahan tersebut nyata gembira dan menyifatkan kerjasama dalam pasukan JDT turut menyumbang kepada kemenangannya.

“Alhamdulillah, saya ucapkan terima kasih kepada PFAM diatas penganjuran anugerah ini dan tidak lupa kepada penyokong JDT yang sentiasa memberikan sokongan kepada saya dan menterjemahkan sokongan ini kepada undian.

“Saya juga berharap lebih banyak pemain tempatan akan muncul sebagai pemain terbaik bulanan pada masa akan datang,” katanya.

Safawi adalah pemain ketujuh JDT yang berjaya memenangi anugerah tersebut selepas Luciano Figueroa (Julai 2015), Safiq Rahim (November 2015), Jorge Pereyra Diaz (Mac 2016), Juan Martin Lucero (April 2016), Izham Tarmizi Roslan (Mei 2016) dan Naxto Insa (September 2017)

Dia menerima sebuah trofi dan sebingkai gambar sumbangan asiana.my, wang tunai berjumlah RM1500, jersi khas tajaan Great Heights dan gel sukan aktif tajaan Maselfix.
                                                                                                     
Secara keseluruhana, undian bagi Anugerah Pemain Terbaik Liga Super PFAM-Asiana.my bagi musim 2019 mencatatkan jumlah tertinggi sepanjang lima tahun penganjuran dengan 102,607 undi berbanding 33,193 pada 2018.
SUMBER-UTUSAN MALAYSIA ONLINE 26 September 2019 8:15 PM

Wednesday, 25 September 2019

Vietnam akui perlawanan dengan Malaysia bukan mudah


BERNAMA | | 24 September 2019
Aksi pada perlawanan pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2030 antara Malaysia dan Emiriyah Arab Bersatu (UAE) di Stadium Nasional Bukit Jalil. - Foto ZAHID IZZANI
JURULATIH bola sepak Vietnam, Park Hang Seo, yakin pasukan Malaysia berada dalam keadaan semakin baik kebelakangan ini dan nasib perlu menyebelahi pasukannya pada perlawanan membabitkan kedua-dua pasukan dalam kelayakan Piala Dunia 2020 akan datang.
Vietnam akan menjadi tuan rumah bagi perlawanan kedua pusingan kelayakan pada 10 Oktober di Hanoi, lapor agensi berita VNA.

Tuan rumah mempunyai kelebihan satu mata selepas seri dalam perlawanan pembukaan dengan Thailand bulan ini dan menduduki tempat keempat dari lima pasukan dalam Kumpulan G.
Malaysia pula menang satu perlawanan dan satu lagi tewas.Ia akan menjadi pertembungan pertama antara kedua-dua pasukan sejak Vietnam menundukkan Malaysia 3-2 di final Piala AFF Disember lalu.

Park dan pembantunya yang menyaksikan perlawanan pasukan Malaysia baru-baru ini, bersetuju pasukan ini lebih kuat berbanding sebelum ini.

"Saya melihat beberapa perubahan dalam pasukan itu dan mengakui barisan hadapan mereka semakin tajam, lebih baik berbanding Piala AFF yang lalu."

Sebagai persediaan katanya, selain mula berlatih pada Isnin beliau turut menampilkan empat muka baharu. - Bernama
ArtikelPenuh SUMBER:https://www.sinarharian.com.my/article/49189/BERITA/Sukan/Vietnam-akui-perlawanan-dengan-Malaysia-bukan-mudah
© 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf

Tuesday, 24 September 2019

Shukor Adan kena jawab..

Shukor Adan kena jawab...
MyMetroArena
 
Meor Riduwan Meor Ahmad
am@hmetro.com.my

PERSATUAN Bolasepak Melaka United (MUSA) akan memanggil Mohd Shukor Adan bagi mengetahui sebab pemain itu tidak bermain menentang Pahang dalam suku akhir pertama Piala Malaysia 2019, di Stadium Hang Jebat, Melaka, kelmarin.

Pengurus pasukan Melaka United (MU), Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata, pihaknya akan berbincang dengan ketua jurulatih, Zainal Abidin Hassan bagi mengetahui dan mencari penyelesaian terbaik 'kehilangan' pemain pertahanan veteran itu.

“Saya diberitahu ini berlaku kerana masalah bayaran gaji pemain terbabit dan akan memanggilnya dan berbincang dengan jurulatih mengenai apa sebenar berlaku dan tindakan perlu supaya perkara ini tidak berlaku dalam pasukan.

“Sebabnya kita mahu pemain dan jurulatih mesti ada kesefahaman baik biarpun ada isu gaji. Kita akan cari jalan penyelesaian terbaik supaya perkara negatif dapat dihindar pada masa depan," katanya.

Beliau mengulas status dimuat naik Shukor di Instagram peribadinya kelmarin antara lain menyatakan tindakan tidak bermain menentang Pahang kerana tidak dibayar gaji lima bulan sejak bersama MU.

Media pula melaporkan Zainal Abidin berkata, bekas ketua pasukan skuad kebangsaan itu enggan menyarung jersi Melaka bagi baki saingan musim 2019.

Mohd Yusoff yang juga Timbalan Presiden MUSA berkata, dia berpendapat Zainal Abidin sudah berbincang dengan Shukor apabila menggantikannya dengan Mohd Razman Roslan.

“Mungkin jurulatih merasakan pemain kena turun 100 peratus menentang Pahang.

“Jika rasa separuh hati atau tidak dapat menyumbang secara jitu, mungkin jurulatih merasakan lebih baik dia (Shukor) dikeluarkan daripada pasukan pada perlawanan itu," katanya.

Sementara itu, beliau mengakui perlu mendapatkan fakta sebenar mengenai pertikaian gaji Shukor yang tertunggak sama ada tiga atau lima bulan.

“Pada hemat saya, kita mula tidak bayar gaji pada Jun lalu. Tapi saya perlu semak dengan pengurusan, bila kali terakhir kita bayar gaji dia.

“Sama ada tiga bulan atau lima bulan saya perlu semak khususnya Setiausaha Agung MUSA untuk dapat fakta tepat,” katanya.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 September 2019 @ 11:18 PM

1995-JUMPA SAHABAT LAMA CIKGU ABDULLAH HASSAN

(BIOGRAFI GURU SEJARAH SIRI 242)
Cuti sekolah akhir tahun 1995 bermula pada 28 Oktober 1995.[1] Seperti biasa pada awal November hingga awal Disember saya menghabiskan masa cuti dengan bertugas sebagai Pemeriksa Kertas Sejarah SPM. Mesyuarat Penyelarasan Rubrik Kertas SPM Sejarah masih diadakan di SMK Tengku Ppanglima Perang Tengku Muhammad di Bandar Indera Mahkota. Saya merasa amat gembira dan bersyukur ke hadrat Allah kerana berjumpa dengan Cikgu abdullah Hassan sahabat  lama di UKM. Alhamdulillah cikgu Abdullah mempelawa saya tinggal di rumah sewanya di Taman Tas. Jadi sepanjang mesyuarat SPM sejarah saya tinggal di rumah Cikgu Abdullah Hassan.[2]



[1] Majalah Jaya 1995,19.
[2] Catatan Dairi 1995.

SULTAN MUZAFFAR SYAH III MANGKAT


OLEH-AHMAD BIN YAAKOB
Pada hari ini 25 September 1754, Sultan Muzaffar Syah III mangkat.  Sultan Muzaffar Syah memerintah Perak di antara tahun 1728-1752. Baginda menaiki taktha pada tahun 1928 apabila Sultan Alauddin Munghayat Shah yang memerintah Perak di antara tahun (1920-1928) mangkat.  Baginda merupakan saudara kepada Sultan Alauddin Mughayat Shah. Pada masa pemerintahan Sultan Muzaffar Syah telah berlaku perselisihan baginda  dengan Raja Muda Bisnu.  Perselisihan ini telah membawa kepada Perak terbahagi kepada dua dan Pacat menjadi sempadan pemerintahan Sultan Muzaffar Syah dan Raja Muda Bisnu. Namun begitu atas usaha-usaha yang dijalankan oleh anak Raja Muda Bisnu, Raja Muda Iskandar, akhirnya pedamaian dicapai di antara Sultan Muzaffar Syah III dan Raja Muda Bisnu dan akhirnya Sultan Muzaffar Syah III kembali bersemayam di Brahaman Indera. Setelah kemangkatan Sultan Muzaffar Syah III, Raja Muda Iskandar telah dilantik menaiki taktha pada tahun 1752 dengan gelaran Paduka Seri Sultan Iskandar Zulkainal Syah Khalifur Rahman Johan Berdaulat Zilullahfi Alam.[1]


[1] http://www2.arkib.gov.my/hids/

Luqman sah beraksi pada Liga Belgium

MUHD. ARDIE PUTRA SUHAIMI
21 September 2019 3:00 AM
LUQMAN (tengah) bergambar bersama Vincent (kiri), Syed Saddiq
LUQMAN (tengah) bergambar bersama Vincent (kiri), Syed Saddiq (kanan) serta kedua ibu bapanya, Shamsudin Mahmood dan Hasmah Che Soh pada sidang akhbar di Kuala Lumpur semalam.

KUALA LUMPUR - Pemain sensasi bawah 19 tahun negara (B-19), Luqman Hakim Shamsudin akan berkelana ke Eropah selepas menandatangani kontrak selama lima tahun bersama kelab Liga Divisyen 1 Belgium, KV Kortrijk semalam.

Perkara tersebut diumumkan pada satu sidang akhbar yang dihadiri Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abu Bakar dan pemilik kelab berkenaan, Tan Sri Vincent Tan di Kuala Lumpur semalam.

“Saya kena bersedia awal terutama­nya dari segi budaya, namun dari segi makanan tiada masalah memandang­kan saya pernah pergi ke beberapa negara Eropah untuk menyertai kejohanan di sana.


“Boleh dikatakan cabaran utama adalah kelebihan fizikal yang dimiliki pemain di sana dan saya perlu membuat persiapan rapi bermula sekarang,” kata pemain kelahiran Kelantan itu pada sidang akhbar berkenaan semalam.

Luqman yang ketika ini berusia 17 tahun merupakan pelatih di Akademi Mokhtar Dahari (AMD) dan produk kelahiran Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) itu dijangka bersama kelab Kortrijk apabila usianya genap 18 tahun pada Mac depan.

Turut hadir Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail; Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN), Ahmad Faedzal Md. Ramli dan Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam.

Dalam perkembangan sama, Syed Saddiq berharap kejayaan Luqman mendapat tawaran kontrak bersama kelab profesional luar negara akan menjadi inspirasi kepada pemain muda negara yang lain untuk mengikuti jejak langkah sama.

“Saya harap Luqman mampu menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu dan tidak akan pulang awal ke tanah air seperti beberapa pemain negara sebelum ini. Beberapa pegawai daripada MSN, ISN dan FAM bakal diarahkan untuk memantau perkembangannya,” katanya.

Sementara itu, Vincent Tan me­ngakui kelabnya sangat berbangga dapat menawarkan kontrak kepada Luqman yang menunjukkan prestasi cemerlang dalam beberapa kejohanan termasuk membantu skuad remaja Harimau Malaya muncul naib juara Kejohanan Piala AFF B-18 di Vietnam bulan lalu.

“Semua orang memberi sokongan kepada Luqman tetapi pada akhirnya, dia mesti berdisiplin dan berlatih lebih tekun, barulah jurulatih akan pasti meletakkannya sama ada dalam kesebelasan atau simpanan,” katanya yang juga pemilik kelab Cardiff City.

Sebagai rekod, Luqman merupakan pemain muda negara ketiga yang menandatangani kontrak profesional dengan liga luar negara selepas Muhd. Hadi Fayyadh Abd. Razak bersama kelab Jepun, Fagiano Okayama dan Zafuan Azeman (Ang Thong FC/Thailand). - K! ONLINE SUMBER-KOSMO ONLINE 21 September 2019 3:00 AM

Monday, 23 September 2019

Zainal hormat keputusan Shukor

SUKAN»Bola
Isnin, 23 September 2019 | 7:10pm
 
SHUKOR Adan.
Zainal hormat keputusan Shukor
Oleh Nazri Abu Bakar
sukanteam@nstp.com.my

MELAKA: Ketua jurulatih Melaka United (MU) Zainal Abidin Hassan menghormati keputusan kapten pasukan Mohd Shukor Adan yang enggan disenarai dalam skuad Hang Tuah ketika berdepan Pahang di Stadium Hang Jebat, malam tadi.

Bekas pengendali Selangor dan Pulau Pinang terbabit berkata, secara jujur Shukor memberitahu dia tidak mahu bermain berikutan hatinya mungkin tiada pada perlawanan terbabit.

“Saya hormati keputusannya,” kata Zainal mengulas keputusan bekas kapten kebangsaan berkenaan yang tidak bermain pada perlawanan suku akhir pertama Piala Malaysia sehingga mendorongnya menurunkan Razman Roslan sebagai pengganti di barisan benteng.

“Sama ada dia ingin bermain atau tidak di Kuantan (timbal balik) saya tidak pasti. Apapun fokus adalah berdepan lawan  Ahad ini yang perlu terus diutamakan.

“Perancangan perlu diatur teliti untuk aksi terbabit. Selagi perlawanan belum berakhir perjuangan masih belum tamat. Dalam bola sepak semua boleh berlaku.”

Zainal begitupun jelas enggan mengulas lanjut kemelut berkenaan yang menyaksikan skuad kendaliannya tumbang 0-3 kepada Tok Gajah.

Malah dia menolak sebarang soalan berkaitan isu dalaman skuad berkenaan sehingga bekas pemain Selangor, PDRM dan Negeri Sembilan terbabit enggan disenaraikan.

Sebelum ini, NSTP melaporkan di sebalik keceriaan layak ke suku akhir Piala Malaysia, skuad MU dibelenggu masalah tunggakan dua bulan gaji.

Perkara itu bukan khabar angin sebaliknya pengurusan MU tampil mengakui bahawa mereka berhutang dua bulan gaji kepada semua pemain.

Malah pelbagai reaksi di media sosial terutama dalam kalangan peminat setia Hang Tuah yang mahu Persatuan Bolasepak Melaka (MUSA) mengambil langkah segera untuk mengatasi masalah berkenaan.
SUMBER-BERITA HARIAN ONLINE Isnin, 23 September 2019 | 7:10pm

Cheng Hoe panggil semula Aidil Zafuan


MyMetroArena
 
Syazwan Msar
sukan@hmetro.com.my

PEMAIN pertahanan berpengalaman dari Johor Darul Ta'zim (JDT), Mohamad Aidil Zafuan Abdul Radzak dipanggil semula menyertai skuad Harimau Malaya sebagai persiapan berdepan Vietnam dalam aksi ketiga Kumpulan G pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, bulan depan.

Berdasarkan senarai pemain yang dikeluarkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) , pemain Felda United Hadin Azman digugurkan untuk berada di dalam senarai menunggu.

Selain Mohamad Aidil Zafuan, pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe turut menyenaraikan pemain tengah Selangor, Abdul Halim Saari bagi melengkapkan senarai 25 pemain.

Jurulatih berasal dari Kedah itu juga mengekalkan 23 pemain lain yang berada di dalam skuad yang berhadapan Jordan, Indonesia dan Emeriah Arab Bersatu (UAE) sebelum ini.


Selain Hadin Azman, enam pemain lain yang turut berada di dalam senarai menunggu sekiranya terdapat kecederaan kepada pemain sedia ada ialah Syazwan Andik Ishak (JDT), Khairul Fahmi Che Mat (Melaka), Jafri Firdaus Chew (PKNS FC), Amirul Azhan Aznan (Perak) serta Azzizan Nordin dan Rawilson Batuil (Sabah).

Selain daripada aksi ketiga Kumpulan G bagi pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang Vietnam di Stadium Nasional My Dinh, pasukan negara juga akan beraksi dalam perlawanan persahabatan antarabangsa.

Pasukan negara akan bertemu Sri Lanka di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 5 Oktober disusuli aksi menentang Vietnam di Stadium Nasional My Dinh, Hanoi pada 10 Oktober.

Skuad Kebangsaan akan terus diuji pada perlawanan antarabangsa Tier 1 bertemu Hong Kong di Stadium Hong Kong pada 15 Oktober.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 September 2019 @ 8:10 PM


Sunday, 22 September 2019

MELAKA 0-0 PAHANG

OLEH-AHMAD BIN YAAKOB
Melaka       0-0 Pahang
PEMAIN MELAKA
19 KHAIRUL FAHMI CHE MAT
06 JANG SUK WON
07 DOMINIC BALIC
08 SAFIQ RAHIM
10 LUCA MILUNOVIC
11 PATRICK RECHELT
13 RAZMAN ROSLAN
16 SAIFUL RIDZUWAN
18 WAN AMIRUL AFIQ
25 FARIS SHAH ROSLI
29 S.DEEVAN RAJ

PEMAIN PAHANG
01 HELMI ELIZA
02 MATTHEW DAVIES
03 HEROLD COULON
08 WAN ZAHARULNIZAM
10 DICKSON NWAKAEME
11 LAZARUS KAIMBI
17 ZUHAIR AIZAT
16 ZUBIR AZMI
20 AZAM AZIH
21 SAFUWAN BAHARUDIN
26 MOHAMADOU SUMAREH


Harimau Malaya makin cemerlang


MyMetroArena
tal
PENINGKATAN ranking skuad Harimau Malaya menunjukkan bahawa skuad kendalian Tan Cheng Hoe kini berada pada landasan tepat untuk kembali meletakkan nama Malaysia di pentas antarabangsa seperti yang pernah dikecapi ketika era 1970-an dan 1980-an.

Lonjakan ketara dalam ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) daripada kedudukan 178 dunia pada Mac 2018 kepada 158 ketika ini menunjukkan peningkatan terutamanya selepas Cheng Hoe dilantik selaku ketua jurulatih pada Disember 2017.

Disember tahun lalu adalah kemuncak kepada perubahan besar itu apabila Malaysia hampir mendakap Piala AFF buat kali kedua selepas 2010 namun hajat itu dihalang Vietnam di pentas final yang menyaksikan skuad Naga Emas itu menang 3-2 secara agregat.

Cheng Hoe ketika dihubungi mengaku gembira dengan prestasi semasa pasukan dan beliau menegaskan kejayaan itu hadir di atas semangat kerjasama kuat antara pemain, barisan kejurulatihan dan juga pengurusan tertinggi, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

“Kita nampak lebih banyak positif daripada negatif dan itu yang kita nak lihat. Sudah pasti ranking itu satu daripada sasaran kita, tetapi dalam masa sama kita kena lihat keseluruhan persembahan pasukan dalam setiap perlawanan,” katanya.

Dalam kemas kini terbaru yang dikeluarkan FIFA, Khamis lalu, skuad negara naik satu anak tangga daripada 159 sebelum ini.

Kenaikan itu susulan kemenangan 3-2 Harimau Malaya ke atas Indonesia dalam aksi Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, meskipun selepas itu tewas kepada UAE (kelayakan Piala Dunia) dan Jordan (aksi persahabatan kelas A).

Malaysia meraih pertambahan 5.694 mata hasil keputusan tiga perlawanan itu menjadikan jumlah kutipan mata secara keseluruhannya adalah 1,015.

SUMBERArtikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 September 2019 @ 6:31 AM

Laos sekat hajat Malaysia


SUKAN»Bola
Jumaat, 20 September 2019 | 10:04pm
Laos sekat hajat Malaysia
 
KUALA LUMPUR: Impian skuad bawah 15 tahun negara (B-15) meraih mata maksimum dalam dua aksi awal Kumpulan J Kelayakan Kejuaraan Bawah 16 tahun (B-16) Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 2020 musnah apabila tewas 1-0 kepada tuan rumah, Laos di Stadium Nasional Laos, malam ini.

Keputusan itu menyaksikan pengendali negara, P Maniam terpaksa mengerah idea baharu untuk memastikan tiga mata pada aksi terakhir kumpulan menentang gergasi Asia, Jepun yang membelasah Kemboja 8-0.

Terdahulu, jaringan awal tuan rumah seawal minit keempat menerusi Lavi Somthongkham jelas merentap pemain negara apabila dilihat lebih banyak bertahan sekali gus menyaksikan babak pertama berakhir dengan 1-0.

Bersambung babak kedua, pemain muda negara tampil lebih baik dan berjaya mencipta beberapa peluang namun sukar menembusi benteng kental tuan rumah.

Dalam keghairahan anak buah Maniam memburu gol penyamaan, beberapa kali benteng negara hampir dibolosi dengan serangan balas pantas Laos, namun sempat dihalang pertahanan Malaysia.

20 minit terakhir menyaksikan skuad muda negara terus mengatur gerakan namun hantaran-hantaran ke dalam kotak penalti lawan berjaya dipintas pemain-pemain Laos.
BERITA HARIAN ONLINE Jumaat, 20 September 2019 | 10:04pm