Ad

Monday 23 September 2019

Zainal hormat keputusan Shukor

SUKAN»Bola
Isnin, 23 September 2019 | 7:10pm
 
SHUKOR Adan.
Zainal hormat keputusan Shukor
Oleh Nazri Abu Bakar
sukanteam@nstp.com.my

MELAKA: Ketua jurulatih Melaka United (MU) Zainal Abidin Hassan menghormati keputusan kapten pasukan Mohd Shukor Adan yang enggan disenarai dalam skuad Hang Tuah ketika berdepan Pahang di Stadium Hang Jebat, malam tadi.

Bekas pengendali Selangor dan Pulau Pinang terbabit berkata, secara jujur Shukor memberitahu dia tidak mahu bermain berikutan hatinya mungkin tiada pada perlawanan terbabit.

“Saya hormati keputusannya,” kata Zainal mengulas keputusan bekas kapten kebangsaan berkenaan yang tidak bermain pada perlawanan suku akhir pertama Piala Malaysia sehingga mendorongnya menurunkan Razman Roslan sebagai pengganti di barisan benteng.

“Sama ada dia ingin bermain atau tidak di Kuantan (timbal balik) saya tidak pasti. Apapun fokus adalah berdepan lawan  Ahad ini yang perlu terus diutamakan.

“Perancangan perlu diatur teliti untuk aksi terbabit. Selagi perlawanan belum berakhir perjuangan masih belum tamat. Dalam bola sepak semua boleh berlaku.”

Zainal begitupun jelas enggan mengulas lanjut kemelut berkenaan yang menyaksikan skuad kendaliannya tumbang 0-3 kepada Tok Gajah.

Malah dia menolak sebarang soalan berkaitan isu dalaman skuad berkenaan sehingga bekas pemain Selangor, PDRM dan Negeri Sembilan terbabit enggan disenaraikan.

Sebelum ini, NSTP melaporkan di sebalik keceriaan layak ke suku akhir Piala Malaysia, skuad MU dibelenggu masalah tunggakan dua bulan gaji.

Perkara itu bukan khabar angin sebaliknya pengurusan MU tampil mengakui bahawa mereka berhutang dua bulan gaji kepada semua pemain.

Malah pelbagai reaksi di media sosial terutama dalam kalangan peminat setia Hang Tuah yang mahu Persatuan Bolasepak Melaka (MUSA) mengambil langkah segera untuk mengatasi masalah berkenaan.
SUMBER-BERITA HARIAN ONLINE Isnin, 23 September 2019 | 7:10pm

No comments:

Post a Comment