Ad

Sunday, 22 September 2019

Laos sekat hajat Malaysia


SUKAN»Bola
Jumaat, 20 September 2019 | 10:04pm
Laos sekat hajat Malaysia
 
KUALA LUMPUR: Impian skuad bawah 15 tahun negara (B-15) meraih mata maksimum dalam dua aksi awal Kumpulan J Kelayakan Kejuaraan Bawah 16 tahun (B-16) Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 2020 musnah apabila tewas 1-0 kepada tuan rumah, Laos di Stadium Nasional Laos, malam ini.

Keputusan itu menyaksikan pengendali negara, P Maniam terpaksa mengerah idea baharu untuk memastikan tiga mata pada aksi terakhir kumpulan menentang gergasi Asia, Jepun yang membelasah Kemboja 8-0.

Terdahulu, jaringan awal tuan rumah seawal minit keempat menerusi Lavi Somthongkham jelas merentap pemain negara apabila dilihat lebih banyak bertahan sekali gus menyaksikan babak pertama berakhir dengan 1-0.

Bersambung babak kedua, pemain muda negara tampil lebih baik dan berjaya mencipta beberapa peluang namun sukar menembusi benteng kental tuan rumah.

Dalam keghairahan anak buah Maniam memburu gol penyamaan, beberapa kali benteng negara hampir dibolosi dengan serangan balas pantas Laos, namun sempat dihalang pertahanan Malaysia.

20 minit terakhir menyaksikan skuad muda negara terus mengatur gerakan namun hantaran-hantaran ke dalam kotak penalti lawan berjaya dipintas pemain-pemain Laos.
BERITA HARIAN ONLINE Jumaat, 20 September 2019 | 10:04pm


No comments:

Post a Comment