OMAR Abdulrahman (kiri) bersama Bert Van Marwijk (dua dari kiri), Tan Cheng Hoe (dua dari kanan) dan Brendan Gan dalam sidang akhbar perlawanan Malaysia menentang UAE di Stadium Nasional, Bukit Jalil hari ini. - UTUSAN/ZULFAIZ ZAKARIA
09 September 2019 9:30 PM
KUALA LUMPUR 9 Sept. – Kemenangan 10-0 yang dilakar ke atas Malaysia empat tahun lalu hanya tinggal sejarah, apatah lagi skuad Harimau Malaya yang bakal ditentang kali ini jauh lebih baik dan dibarisi muka baharu, kata bintang tengah Emiriah Arab Bersatu (UAE), Omar Abdulrahman.
Kata Omar, dia dan rakan-rakan pasukan percaya, bola sepak moden bergerak dengan sangat pantas dan mereka sudah melihat betapa bagusnya skuad yang dimiliki Malaysia ketika mengalahkan Indonesia 3-2 dalam aksi pembukaan, minggu lalu.
“Kami sangat optimis untuk memenangi perlawanan ini dan mencari permulaan yang baik, saya beri jaminan kami akan menyajikan permainan bola sepak terbaik menentang Malaysia.
“Bagaimanapun, kemenangan 10-0 ke atas Malaysia sebelum ini adalah sejarah. Ia tidak memberi sebarang makna lagi kepada pasukan,” kata Omar dalam sidang akhbar di Stadium Nasional, Bukit Jalil hari ini.
Pengendali UAE, Bert van Marwijk pula mengakui, Harimau Malaya mempunyai ramai pemain yang memiliki teknikal yang bagus dan pasukannya perlu lebih berdisiplin jika tidak mahu dihukum dalam aksi Kumpulan G, kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Bukit Jalil esok.
“Tidak pernah sesaat pun saya bercakap mengenai apa yang kami lakukan ke atas Malaysia sebelum ini.
“Saya berada di Indonesia minggu lalu untuk melihat perlawanan Malaysia. Mereka bermain dengan tenaga dan teknikal yang tinggi, malah pemain-pemain muda Malaysia tampak berkeyakinan.
“Perlawanan esok pasti tidak mudah. Pemain kami kena bermain dengan kesabaran tinggi dan yang penting perlu berdisiplin,” kata jurulatih dari Belanda itu. SUMBER- UTUSAN ONLINE 09 September 2019 9:30 PM
No comments:
Post a Comment