MyMetroNuansa
Zaitie Satibi
zaisa@hmetro.com.my
DALAM usaha dakwah menerusi riwayat insan agung, Nabi Muhammad, Manhajj Brothers mengambil inisiatif menganjurkan Pameran Artifak Rasulullah SAW bagi mengupas keistimewaan baginda melalui pelbagai perspektif berbeza supaya tidak hanya dikenali sebagai nabi malah ikon manusia sejagat.
Menerusi pameran yang bakal berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) bermula 22 Julai sehingga 4 Ogos ini, orang ramai berpeluang mengenali dengan lebih dekat peninggalan dan sejarah Rasulullah dan sahabat baginda.
Banyak artifak dan peninggalan berkaitan sumbangan Islam terhadap dunia masih boleh dilihat hingga kini dan tidak lain adalah bertitik tolak daripada peranan serta amanah besar yang dimainkan rasul terakhir itu.
Antara artifak Rasulullah yang akan dipamerkan ialah rambut, janggut, kesan tapak kaki, capal, serban, tongkat, bekas air zamzam, bekas celak, cop mohor, kunci makam, pasir makam dan kain penutup makam.
Pengarah Projek, Razali Bachik berkata, penganjuran pameran itu adalah satu langkah yang positif dalam memberi pendedahan dan menambah pengetahuan masyarakat khususnya golongan muda berkenaan Islam.
“Ini satu usaha yang baik dalam menarik minat masyarakat supaya lebih mengenali sejarah Rasulullah dan Islam menerusi pameran artifak sarat dengan pelbagai maklumat berkaitan.
“Peluang menjejakkan kaki ke ruang pameran berkenaan bukan saja dapat mendekatkan diri dengan Nabi Muhammad, malah dapat meningkatkan rasa cinta terhadap baginda.
“Malah, pengisian pameran berkenaan sedikit sebanyak menerbitkan rasa rendah diri dan keinsafan untuk lebih mengenali Islam,” katanya yang menyediakan khidmat mutawif bagi memberi penjelasan berkenaan
perjalanan hidup Nabi Muhammad SAW dari awal kelahiran sehingga kewafatannya.
Razali berkata, selain mempamerkan 16 artifak berkaitan Nabi Muhammad, pihaknya turut menampilkan artifak berkaitan sahabat baginda dan Kerajaan Uthmaniah yang juga kerajaan Islam terakhir mengamalkan sistem pemerintahan khalifah.
PEDANG milik Amr al-As.
Pedang Mu’adz bin Jabal, pedang Amr al-As, pedang Saidina Hussein, kiswah Kaabah merah, kiswah Kaabah hijau, serban Imam Syafie, capal Imam Ghazali, kunci makan Saidatina Fatimah, batu dinding Kaabah dan batu dinding Masjid Quba’ iaitu masjid pertama yang dibina Nabi Muhammad SAW ketika berhijrah dari Makkah ke Madinah antara yang boleh dilihat.
Artifak pada zaman Kerajaan Uthmaniah pula seperti kunci Kaabah, baju perang, tandu, kiswah Kaabah, kiswah pintu taubah, kiswah pintu kecil, Makam Ibrahim dan al-Quran emas.
“Dalam pameran ini, masyarakat berpeluang mendapat ilmu menarik berkaitan semua artifak yang dipamerkan antaranya sirah Rasulullah, peristiwa peperangan dalam sejarah Islam, gerakan penyebaran Islam dan maklumat mengenai sahabat baginda.
“Contohnya Makam Ibrahim adalah binaan yang mengandungi batu hampar kecil terletak berdekatan Kaabah. Ia bukanlah kubur Nabi Ibrahim AS sebagaimana dugaan atau anggapan sebahagian orang.
“Sebaliknya dalam binaan kecil itu ada sebiji batu yang diturunkan Allah dari syurga bersama-sama dengan batu kecil lain yang terdapat pada Hajar Aswad.
“Di atas batu Makam Ibrahim ini, Nabi Ibrahim pernah berdiri ketika baginda membangunkan Kaabah dan puteranya Nabi Ismail AS memberikan bongkah batu kepadanya,” katanya.
Maklumat menarik lain seperti kisah kunci makam Nabi Muhammad SAW yang diganti kali pertama pada 1411 dan penggantian kedua pada 1847 ketika zaman Kerajaan Uthmaniah.
Kunci makam baginda digantikan semula pada 1937 oleh Kerajaan Arab Saudi. Kunci yang dipamerkan itu dipengerusikan Ali Zainal Abidin Toeh dan ia dipegang keturunan Saidina Ali hingga sekarang.
Amr’ Al Aas pula seorang sahabat Nabi Muhammad yang dilantik sebagai panglima perang sebanyak 12 kali. Beliau adalah panglima dalam angkatan barisan hadapan dan menjadi gabenor yang akhirnya dihantar ke Yaman untuk menjadi pendakwah.
Koleksi artifak selain dimiliki sendiri pihak penganjur, ia juga diperoleh secara pinjaman daripada pemilik asal dari beberapa negara antaranya Brunei, Arab Saudi, Turki, Jordan, India dan Syria. Semua artifak diyakini tulen dan disahkan sendiri pihak Muzium Dinar Islam, Makkah.
“Pameran ini akan memberi peluang kepada masyarakat untuk melihat sendiri artifak yang turut menjadi rakaman sejarah kehidupan dan perjuangan baginda selain bermatlamat untuk memberi pendidikan, sumber inspirasi serta pengetahuan kepada pengunjung mengenai kegemilangan tamadun Islam,” katanya.
SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Julai 2019 @ 10:25 AM
No comments:
Post a Comment