Ad

Tuesday, 24 September 2019

Shukor Adan kena jawab..

Shukor Adan kena jawab...
MyMetroArena
 
Meor Riduwan Meor Ahmad
am@hmetro.com.my

PERSATUAN Bolasepak Melaka United (MUSA) akan memanggil Mohd Shukor Adan bagi mengetahui sebab pemain itu tidak bermain menentang Pahang dalam suku akhir pertama Piala Malaysia 2019, di Stadium Hang Jebat, Melaka, kelmarin.

Pengurus pasukan Melaka United (MU), Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata, pihaknya akan berbincang dengan ketua jurulatih, Zainal Abidin Hassan bagi mengetahui dan mencari penyelesaian terbaik 'kehilangan' pemain pertahanan veteran itu.

“Saya diberitahu ini berlaku kerana masalah bayaran gaji pemain terbabit dan akan memanggilnya dan berbincang dengan jurulatih mengenai apa sebenar berlaku dan tindakan perlu supaya perkara ini tidak berlaku dalam pasukan.

“Sebabnya kita mahu pemain dan jurulatih mesti ada kesefahaman baik biarpun ada isu gaji. Kita akan cari jalan penyelesaian terbaik supaya perkara negatif dapat dihindar pada masa depan," katanya.

Beliau mengulas status dimuat naik Shukor di Instagram peribadinya kelmarin antara lain menyatakan tindakan tidak bermain menentang Pahang kerana tidak dibayar gaji lima bulan sejak bersama MU.

Media pula melaporkan Zainal Abidin berkata, bekas ketua pasukan skuad kebangsaan itu enggan menyarung jersi Melaka bagi baki saingan musim 2019.

Mohd Yusoff yang juga Timbalan Presiden MUSA berkata, dia berpendapat Zainal Abidin sudah berbincang dengan Shukor apabila menggantikannya dengan Mohd Razman Roslan.

“Mungkin jurulatih merasakan pemain kena turun 100 peratus menentang Pahang.

“Jika rasa separuh hati atau tidak dapat menyumbang secara jitu, mungkin jurulatih merasakan lebih baik dia (Shukor) dikeluarkan daripada pasukan pada perlawanan itu," katanya.

Sementara itu, beliau mengakui perlu mendapatkan fakta sebenar mengenai pertikaian gaji Shukor yang tertunggak sama ada tiga atau lima bulan.

“Pada hemat saya, kita mula tidak bayar gaji pada Jun lalu. Tapi saya perlu semak dengan pengurusan, bila kali terakhir kita bayar gaji dia.

“Sama ada tiga bulan atau lima bulan saya perlu semak khususnya Setiausaha Agung MUSA untuk dapat fakta tepat,” katanya.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 September 2019 @ 11:18 PM

No comments:

Post a Comment