Ad

Saturday, 28 September 2019

Muhammad Adib mati akibat kecederaan dipukul

Inkues Adib
Inkues Adib
SUWARNI MOKHTAR dan SITI ROHAIZAH ZAINAL

27 September 2019 12:10 PM

SHAH ALAM 27 Sept. - Mahkamah Koroner hari ini memutuskan kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd. Kassim adalah akibat dipukul oleh sekumpulan lelaki.

Sehubungan itu, Koroner Rofiah Mohamad menyarankan agar Ketua Polis Negara dan Jabatan Peguam Negara membuat siasatan lanjut yang difikirkan perlu.

Terdahulu, Rofiah ketika membaca keputusan ringkasnya menyatakan wujud serangan fizikal terhadap anggota bomba, jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan van EMRS.


Serangan itu dapat dilihat melalui rakaman video yang tular dan turut ditunjukkan di mahkamah.

Rofiah turut menyatakan, mahkamah menerima pakai keterangan Profesor Dr. Shahrom Abd. Wahid yang menyatakan Muhammad Adib ditarik keluar dari van EMRS sebelum terkena hentakan pintu van yang ditendang oleh seseorang.

"Ketiadaan lebam pada tubuh tidak boleh dijadikan alasan untuk mengatakan Muhammad Adib tidak dipukul kerana lebam bergantung kepada beberapa faktor.

"Ketiadaan kecederaan mempertahankan diri pada Muhammad Adib juga menunjukkan bahawa arwah pada ketika dipukul berada dalam keadaan tidak sedarkan diri atau tidak mampu untuk mempertahankan dirinya," kata Rofiah.

Selain itu, keterangan saksi di tempat kejadian, Mohd. Hafizan Nordin yang menyatakan dia telah dihalang oleh seorang wanita India daripada memasuki kawasan rusuhan boleh disimpulkan bahawa wanita itu mengetahui terdapat orang telah dipukul.

Sementara itu, Mahkamah Koroner turut merumuskan bahawa Muhammad Adib oleh sekumpulan lelaki berketurunan India.

Rumusan itu dibuat saksi, R. Narresh yang berada di tempat kejadian.

"Saksi terdengar seseorang bertanya dalam bahasa Tamil 'bomba pun nak pukul ke?' Ini menunjukkan pertanyaan itu ditanya oleh seseorang yang fasih berbahasa Tamil kepada seseorang yang memahami bahasa Tamil.

"Maka rumusan yang boleh dibuat ialah Muhammad Adib dipukul oleh orang berketurunan India," katanya.

Rofiah turut menyatakan kegagalan pihak polis dan Unit Simpanan Persekutuan (FRU) mengawal kejadian rusuhan pada malam 27 November 2018 turut menyumbang kepada kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd. Kassim.

Ujar Koroner Rofiah Mohamad, tindakan dua pasukan polis dan FRU yang hanya duduk dalam kenderaan dan hanya menunggu arahan 'adalah tidak munasabah'.

"Sekiranya pihak polis dan FRU berjaya mengawal rusuhan, tiada kereta akan dibakar, bomba tidak perlu datang dan Muhammad Adib tidak akan terkorban," katanya.

Muhammad Adib cedera parah disyaki dibelasah dalam kejadian rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ25, Subang Jaya dekat sini, 27 November 2018.

Dia yang sepatutnya melangsungkan perkahwinan pada 23 Disember tahun lalu itu kemudian dirawat di unit jagaan rapi di Pusat Perubatan Sime Darby, Subang Jaya pada malam kejadian namun dipindahkan ke Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur pada keesokan malamnya.

Beliau meninggal dunia di IJN pada pukul 9.41 malam pada 17 Disember 2018. SUMBER- UTUSAN ONLINE 27 September 2019 12:10 PM

No comments:

Post a Comment