Ad

Wednesday, 4 September 2019

'Jangan tunduk psikologi Garuda'

Muhammad Zuhaily Badlishah
04 September 2019 3:00 AM
Pemain skuad Harimau Malaya bergambar di KLIA sebelum berlepas
Pemain skuad Harimau Malaya bergambar di KLIA sebelum berlepas ke Jakarta semalam bagi menghadapi perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 malam esok.

KETUA jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe menggesa barisan pemain negara agar bersedia sepenuhnya menghadapi perang psikologi pasukan Indonesia menjelang aksi pembukaan Kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Utama Gelora Bung Karno, Jakarta malam esok.

Menurut Cheng Hoe, 51, para pemain negara perlu mempersiapkan kekuatan mental pada tahap tertinggi kerana skuad Harimau Malaya bukan sahaja bakal ‘di­serang’ barisan pemain Indonesia, malah juga penyokong-penyokong tegar skuad Sang Garuda tersebut sepanjang perlawanan itu nanti.


“Media sosial selalu menceritakan tentang perang psikologi daripada Indonesia, tetapi saya selalu mengingatkan para pemain agar sentiasa fokus kepada pasukan dan perlawanan kita sendiri.

“Pemain perlu tenang dan ya­kin, jangan terburu-buru untuk mengejar kemenangan, sebaliknya memasuki padang dengan minda yang positif dalam usaha kita meraih keputusan yang baik di sana.

“Saya juga berharap FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) sudah menguruskan aspek keselamatan pemain negara de­ngan PSSI (Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia) sebaik mungkin,” katanya sebelum berlepas ke Jakarta bersama pemain Harimau Malaya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur semalam.

Cheng Hoe pernah mempu­nyai kenangan manis di Stadium Utama Gelora Bung Karno ketika membantu Malaysia menjulang gelaran Kejuaraan Piala Persekutuan Bola Sepak ­ASEAN (AFF) pada 2010 sebagai penolong kepada jurulatih, Datuk K. Rajagobal.

Bagaimanapun, bekas pe­ngendali Kedah itu merasakan cabaran yang akan dilalui esok amat berbeza kerana ini adalah aksi kelayakan ke Piala Dunia selain kelebihan Indonesia yang mempunyai ‘perisik’ dalam kancah Liga Malaysia seperti pemain tengah Pahang, Saddil Ramdani.

“Apa pun lebih baik saya fokus kepada pasukan kita sendiri dan tidak memikirkan mengenai pihak lawan. Kita ke sana dengan satu matlamat iaitu jika mahu layak ke peringkat lebih tinggi, kita perlu lepasi halangan perlawanan ini,” jelasnya.

Dalam masa sama, skuad Harimau Malaya mendapat perkhabaran gembira apabila Mohamadou Sumareh disahkan bebas daripada kecederaan dan sudah kembali menjalani latihan penuh bersama rakan-rakan sepasukan pada sesi latihan terakhir kelmarin.
SUMBER-KOSMO ONLINE 04 September 2019 3:00 AM

No comments:

Post a Comment