MyMetroArena
Nazri Abu Bakar
sukanteam@nstp.com.my
KAPTEN pasukan Melaka United (MU) Mohd Shukor Adan menganggap Pahang bukan
lawan mudah walaupun beraksi di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput malam esok.
Baginya gelanggang sendiri bukan ukuran bagi menjamin kemenangan suku akhir
pertama Piala Malaysia terbabit tambahan Pahang sebuah pasukan yang memiliki
kekuatan seimbang dalam semua aspek.
Menurutnya, walaupun saingan amat getir dengan skuad Tok Gajah yang dilabel
pasukan pilihan namun ia bukan penentu kemenangan mutlak buat pelawat.
“Dalam saingan suku akhir semuanya boleh berlaku. Malah bola sepak juga
diukur menerusi siapa yang mampu menjaringkan gol dan bertahan dengan baik.
“Pasukan yang boleh menghasilkan jaringan dan kental bertahan mampu meraih
kemenangan. Ia bukan ukuran di atas kertas semata-mata tetapi selepas
persembahan 90 minit,”katanya.
Dia juga mengakui taktikal amat penting pada saingan peringkat terbabit
dengan pemain perlu memfokuskan perencanaan jurulatih.
Shukor berkata, sebagai pemain mereka akan menterjemahkan taktikal yang
disusun dalam memastikan kemenangan mampu diperolehi di laman sendiri.
Dalam masa sama dia mahu rakan sepasukan melupakan apa- apa gangguan
peribadi yang dihadapi dalam memfokuskan pertemuan sengit terbabit.
Katanya, tumpuan 100 peratus dalam permainan mampu membuahkan hasil positif
sekali gus memenuhi misi meraih kelebihan aksi di gelanggang sendiri.
Bekas kapten kebangsaan terbabit turut yakin sokongan peminat memberi
suntikan motivasi kepada pemain untuk berdepan skuad pelawat.
SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 September 2019 @ 6:53 PM
No comments:
Post a Comment