ARKIB : 16/03/2009
Susunan SITI AINIZA KAMSARI
JIKA ditakdirkan hidup seseorang itu menjadi
yatim piatu, sebenarnya mereka sangat bertuah. Sekalipun keperitan begitu
dirasai akibat kehilangan ibu dan bapa sehingga merasakan hidup ini seperti
tiada maknanya lagi. Namun, bayangkan Nabi Muhammad SAW yang sedari kecil
baginda juga telah kehilangan kedua-dua orang tua yang sangat dikasihi.
Pernahkah kita menemui kisah, Nabi SAW
menghabiskan usianya dengan meratap hiba atas kehilangan kedua-dua manusia yang
paling bermakna dalam hidupnya itu? Tentu sama sekali kita jarang menemui kisah
sedih seperti itu.
Tetapi jika kita hayati seluruh kisah perjuangan
Rasulullah, seolah-olah baginda ingin memberitahu bahawa sebagai anak yatim
piatu, baginda terbukti sangat berjaya dalam hidup dan seharusnya semua
anak-anak yatim juga begitu! Baginda sedia menjadi contoh atau suri teladan
untuk golongan ini.
Jadi tidakkah bertuahnya mereka kerana mempunyai
Rasulullah untuk mereka contohi bagi menjejak kejayaan dalam hidup? Justeru
mereka ini sebenarnya merupakan yang paling mengenali Rasulullah kerana
menjadikan baginda sebagai pengganti kepada ibu bapa yang telah tiada.
Dengan kata lain, jika baginda yang yatim dan
piatu itu begitu berjaya mengukir nama dan sejarah, mengapa tidak bagi
anak-anak yatim yang lain, mereka juga boleh berjaya sebagaimana yang dicapai
oleh Rasulullah!
Disayangi ramai
Begitupun kita begitu mengenali Abdullah bin
Abdul Mutalib dan Siti Aminah binti Wahab sebagai orang tua yang melahirkan
baginda Rasulullah ke dunia ini! Tetapi mungkin sekadar mengenali nama dan
mungkin tidak pelbagai kisah yang berlaku di sebalik riwayat hidup mereka.
Datuk Nabi Muhammad, Abdul Mutalib mempunyai 10
anak lelaki, iaitu Al Harith, Al Zubayr, Abu Talib, Abdullah, Hamzah, Abu
Lahab, Al Ghaydaq, Al Miqwam, Saffar dan Al Abbas. Malah dikatakan Abdul
Mutalib mempunyai seorang lagi anak yang dikenali Qutham. Malah ada yang
mengatakan beliau mempunyai 13 anak lelaki kesemua dengan dua lagi dikenali
sebagai Abdul Kaabah dan Hajal. Namun dikatakan Abdul Kaabah merupakan nama
gelaran untuk anaknya yang bernama Al Miqwam dan Hajal pula merupakan gelaran
kepada Al Gaydaq.
Selain anak lelaki, Abdul Mutalib mempunyai enam
anak perempuan, Ummu Hakim atau Al Bayda, Barrah, Atiqah, Safiyyah, Arwa dan
Umaymah.
Begitulah kayanya datuk Rasulullah ini kerana
mempunyai keturunan yang ramai. Di tambah, beliau seorang yang sangat dikenali
di kalangan penduduk Arab atas kemuliaan tugasnya bagi meneruskan tradisi Bani
Hasyim sebagai yang bertanggungjawab memberi makan dan minum kepada mereka yang
datang ke Mekah untuk mengerjakan haji.
Ini menjadikan beliau seorang yang terhormat dan
ditaati serta mempunyai kedudukan yang tinggi di kalangan masyarakat Arab
sebelum kedatangan Islam itu.
Bapa nabi, Abdullah dikatakan anak Abdul Mutalib
yang terbaik. Ini kerana Abdullah adalah anak yang paling sopan, paling baik
budi pekertinya sehingga begitu disayangi ramai.
Bercerita mengenai bapa Rasulullah ini, sejarah
pasti sesuatu yang sangat berbeza jika peristiwa Abdullah hendak disembelih
oleh bapanya sendiri akibat hendak membayar niat nazar benar-benar terjadi.
Begitupun sangat menarik untuk kita mengetahui
kisah penyembelihan itu bagi menunjukkan betapa kuatnya elemen-elemen jahiliah,
termasuk menggunakan anak panah sebagai menentukan nasib dalam aspek budaya dan
sosial masyarakat Arab pra Islam itu.
Akibat peristiwa nazar itu, bapa Rasulullah ini
turut dikenali dengan gelaran Al Dhabih (mangsa penyembelihan), iaitu akibat
dari nazar yang dibuat oleh Abdul Mutalib kerana mempunyai anak-anak lelaki
yang begitu beliau banggakan. Sehinggakan beliau sanggup menyembelih di sisi
dinding Kaabah salah seorang anak lelakinya itu.
Sebagaimana tradisi Arab Jahiliah yang begitu
berpegang kuat kepada ramalan dan tilik nasib, Abdul Mutalib juga tidak
terkecuali. Beliau telah menulis nama kesemua anak lelakinya itu pada anak-anak
panah dan diberikan kepada penjaga Hubal, sebuah patung berhala besar yang
boleh didapati berhampiran Kaabah.
Si penjaga berhala itu juga seorang yang
berfungsi sebagai yang mencabut anak-anak panah bagi menentukan nasib yang
mesti dihadapi oleh mereka yang meramal menggunakan anak panah ini.
Lalu selepas menggoncang anak-anak panah itu,
maka anak panah yang dipilih dan dicabut keluar mencatatkan nama Abdullah, anak
yang paling disayangi oleh Abdul Mutalib.
Namun akibat niat bernazar yang kuat, Abdul
Mutalib tidak ada pilihan kecuali terpaksa menyerahkan juga anak yang paling
disayanginya itu untuk disembelih.
Lalu tanpa banyak berkata-kata lagi, Abdul
Mutalib pun membawa Abdullah ke Kaabah dan sebilah pisau tajam yang hendak
digunakan untuk menyembelih anaknya itu. Tindakan Abdul Mutalib itu benar-benar
menimbulkan kegemparan di kalangan penduduk kota Mekah ketika itu.
100 ekor unta
Mereka berusaha sedaya upaya untuk menghalang
Abdul Mutalib daripada meneruskan niatnya untuk menyembelih Abdullah itu.
Bapa-bapa saudara Abdullah sebelah ibunya (Fatimah binti Amru bin Aidh bin
Imran bin Makhzum bin Yaqzah bin Murrah) daripada kalangan Bani Makhzum dan
terutamanya saudaranya Abu Talib begitu menghalang Abdul Mutalib daripada terus
menyembelih Abdullah.
Tetapi Abdul Mutalib seorang yang berpegang
kepada nazarnya, tetap akan meneruskan niatnya itu kecuali terdapat cadangan
lain yang dapat menebus nazar tersebut.
Lalu mereka mencadangkan supaya Abdul Mutalib
menemui seorang ahli tilik wanita untuk meminta nasihat daripadanya mengenai
masalah nazar itu.
Wanita itu mencadangkan menuliskan nama Abdullah
pada anak panah itu dengan tebusan 10 ekor unta. Jika nama yang keluar ialah
nama Abdullah maka hendaklah ditambah 10 ekor unta lagi sehingga Tuhan
merestuinya. Jika anak yang dicabut pula ialah unta maka hendaklah disembelih
unta-unta itu.
Namun yang terjadi selepas itu, nama Abdullah
yang sentiasa naik pada cabutan sehinggalah 10 kali cabutan yang menyebabkan
setiap satunya terpaksa ditambah dengan 10 ekor unta lagi. Ini menjadikan
kesemuanya 100 ekor unta menjadi tebusan kepada nyawa Abdullah.
Maka terlepaslah nyawa Abdullah dengan dibayar
100 ekor unta yang kemudiannya diberi kepada orang lain tanpa halangan atau
disembelih.
Sebelum ini bayaran diat di kalangan orang Arab
hanya 10 ekor unta tetapi sejak peristiwa itu bayaran diat bagi nyawa manusia
menjadi 100 ekor unta yang kemudiannya diterima dalam Islam.
Rasulullah SAW sendiri pernah bersabda: Aku
adalah putera dua orang yang disembelih (iaitu Nabi Ismail dan bapa Baginda,
Abdullah).
Abdul Mutalib tentu sahaja gembira dengan
penebusan nyawa anaknya itu, beliau kini beroleh kembali anaknya itu daripada
bakal disembelih oleh tangannya sendiri.
Sebagai meraikan anaknya itu dan kebetulan
Abdullah didapati sudah sesuai untuk mendirikan rumah tangga, lalu Abdul
Mutalib menjodohkan anaknya dengan Siti Aminah binti Wahb bin Abdul Manaf bin
Zuhrah bin Kilab menjadi isteri. Ketika itu Aminah dianggap wanita bangsa arab
Quraisy yang paling mulia dari segi keturunan dan kedudukan. Bapanya ialah
ketua Bani Zuhrah dari segi hubungan nasab dan kemuliaan.
Lalu berkahwinlah Abdullah dan Siti Aminah lalu
mereka menetap di Kota Mekah.
Tidak lama mereka berkahwin, Abdullah bersama
rombongan kafilah dagangan menuju ke Madinah bagi menjalankan perniagaan di
sana. Sesetengah meriwayatkan Abdullah sebenarnya hendak menuju ke Syam tetapi
di pertengahan jalan, beliau kemudiannya jatuh sakit lalu meninggal dunia
berhampiran Madinah.
Jenazahnya dikebumikan di Dar al Nabighah al Jadi
dikatakan dalam usia yang sangat muda iaitu 25 tahun.
Kematian Abdullah ini dikatakan pada dua bulan
sebelum keputeraan anakandanya, Rasulullah menyebabkan si anak menjadi yatim
sejak dalam kandungan ibunya lagi, Siti Aminah.
Kematian Abdullah benar-benar diratapi dengan
penuh sedih oleh Siti Aminah, tentunya kerana mengenangkan nasib anaknya yang
tidak sempat melihat wajah si bapa.
Sambil meratap hiba itu, Aminah sempat melagukan
sebuah syair pilu seperti yang tersiar dalam keluaran lalu.
Pemergian Abdullah telah meninggalkan kepada
isterinya itu iaitu lima ekor unta, beberapa ekor kambing dan seorang hamba
perempuan berketurunan Habsyah bernama Barakah yang digelar Ummu Ayman yang
kemudiannya pernah mengasuh Rasulullah semasa Baginda masih kecil!.
lPetikan daripada Sirah Nabawiyah terbitan
Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim)
sumberArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0316&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm#ixzz54lrUKRd8
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment