ARKIB : 16/03/2009
Oleh MOHD. GUNAWAN CHE AB. AZIZ
mohdgunawan@gmail.com
Kelazatan iman ini boleh dirasa. Mendengar
cerita manisnya gula, tidak akan sama dengan dapat mencicipi rasa gula itu
sendiri. Namun begitu, ada masanya, dengan mendengar cerita mereka yang telah
merasai lazatnya manisan, membuatkan kita seolah-olah turut merasai sama
kelazatannya.
Jika kita dapat bersama Saidina Bilal r.a,
mungkin kita akan dapat mendengar bagaimana Bilal memerikan betapa manis dan
lazatnya iman, sehingga semasa batu yang besar dihimpitkan ke dadanya, hati dan
mulutnya masih tega menyatakan, Ahad! Ahad!.
Kita tidak dapat mengecapi kemanisan yang dirasai
oleh Khansa r.ha ketika diberitahu kepadanya berita tentang kesyahidan
keempat-empat puteranya, lalu berkata, Segala puji bagi Allah, yang telah
menjadikan aku ibu kepada empat orang syuhada. Alam rasa adalah alam yang amat
dalam. Kesannya melampaui alam nyata.
Allah berfirman yang bermaksud: Katakanlah
(wahai Muhammad): Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya
Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu dan (ingatlah), Allah
Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (ali-Imran: 31)
Imam Ibnu Kathir memberikan komentarnya mengenai
ayat ini, Yakni, akan terhasil bagi kamu melebihi apa yang kamu harapkan,
iaitu daripada kasih kamu kepada Nya, kepada kasih-Nya kepada kamu; sedangkan
ia (yakni kasih Allah kepada kamu) adalah lebih agung berbanding (perkara) yang
pertama tadi (yakni kasih kamu kepada Allah).
Sebagaimana kata sebahagian ulama lagi hukamak: Bukanlah
perkara yang hebat kamu mengasihi, tetapi perkara yang hebat itu ialah kamu
dikasihi!
Maka untuk ittiba Rasulullah SAW, dengan penuh
minat dan cinta, kita cuba semampu yang mungkin mengikuti 3P yang ada pada
Rasulullah SAW: Paparan, Perjalanan dan Perasaan Rasulullah SAW.
Paparan
Paparan zahiriah yang ada pada Rasulullah SAW
kita ikuti dengan penuh cinta. Merupakan fitrah manusia, apabila meminati
seseorang, dia akan berusaha untuk meniru dan menyerupai orang yang diminati
itu. Maka siapakah yang lebih layak untuk dicintai dan diminati oleh seorang
muslim melebihi Baginda Rasulullah SAW? Allah SWT berfirman: Nabi itu
(hendaknya) lebih utama bagi orang-orang mukmin dari diri mereka sendiri dan
isteri-isteri baginda adalah ibu-ibu mereka. (al-Ahzab: 6)
Maka, jika ada seorang muslim yang berserban,
bukan kerana dia terpesona dengan budaya bangsa Arab, tetapi kerana minat dan
cintanya kepada apa yang dipakai oleh Nabi Muhammad SAW yang berbangsa Arab.
Jika seorang muslim itu berjanggut, bukan kerana
dia rasa berjanggut itu akan menampakkan dia lebih macho atau hebat, tetapi
kerana minat dan cintanya untuk memiripkan penampilannya sehampir mungkin
dengan seseorang yang amat diminatinya, iaitu baginda SAW. Dan segala perasan
minat dan cintanya ini, mempunyai manfaat dan nilai yang tinggi pada hari kita
semua amat mengharapkan syafaat Rasulullah SAW!
Perjalanan
Perjalanan atau sirah Rasulullah SAW. Kita perlu
jadikan pagi kita, seperti paginya Rasulullah SAW. Petang kita, seperti
petangnya Rasulullah SAW. Siang kita seperti siangnya Rasulullah SAW. Malam
kita seperti malamnya Rasulullah SAW. Setiap panduan, tuntunan, perintah dan
arahan yang lahir daripada Baginda perlulah kita ikuti. Keimanan kita, ibadah,
muamalat, musyarakat dan akhlak kita perlulah mengikuti seperti yang diteladani
dan dikehendaki oleh Rasulullah SAW. Allah SWT mengingatkan:
lApa yang diberikan Rasul kepadamu maka
terimalah dia. Dan apa yang dilarangnya bagimu maka tinggalkanlah; dan
bertakwalah kepada Allah
(al-Hasyr:7)
lDemi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri
Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa
mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta dia pula
menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).
(al-Ahzab: 21)
l Dan bahawa sesungguhnya engkau (wahai
Muhammad) mempunyai akhlak yang amat mulia. (al-Qalam: 4)
Perasaan
Apa yang bergelora di dalam hati Rasulullah SAW
juga perlu bergelora di dalam hati kita. Sebagaimana syafaqah (kasih sayang)
Rasulullah SAW kepada umat Baginda tidak berbagai dalamnya, begitu jugalah hati
kita juga mempunyai syafaqah itu terhadap saudara kita. Allah SWT
menggambarkan: Sesungguhnya telah datang kepadamu seorang rasul dari kaummu
sendiri, berat terasa olehnya penderitaanmu, sangat menginginkan (keimanan dan
keselamatan) bagimu, amat belas kasihan lagi penyayang terhadap orang-orang
mukmin. (at-Taubah: 128)
Syafaqah ini membuahkan kerisauan. Kerisauan
yang amat suci, kerisauan untuk melihat setiap orang diselamatkan daripada
tangkapan neraka Allah, dan dimasukan ke dalam syurga Allah lalu memperoleh
kejayaan yang hakiki lagi kekal.
Kerisauan Rasulullah SAW tentang perkara ini
dipersaksikan oleh Allah SWT sendiri melalui firman-Nya: Maka (apakah)
barangkali kamu akan membunuh dirimu kerana bersedih hati sesudah mereka
berpaling, sekiranya mereka tidak beriman kepada keterangan ini (al-Quran).
(al-Kahfi: 6)
lBoleh jadi kamu (Muhammad) akan membinasakan
dirimu, kerana mereka tidak beriman. (asy-Syuaraa: 3)
Begitu indah Allah SWT menggambarkan, betapa
kasih sayang dan fikir-risau Rasulullah SAW terhadap umat baginda. Dan
bersumber daripada fikir-risau inilah, lahirnya usaha dan pengorbanan.
Rasullulah SAW dan para sahabat telah bangun dan melakukan perjuangan yang amat
besar.
Perasaan syafaqah dan kerisauan yang sempurna
inilah yang perlu wujud di dalam hati kita. Lalu mendorong kita untuk bangun
atas usaha yang telah dilakukan oleh Rasulullah SAW dan para Sahabat, iaitu
usaha dakwah ilallah, lantas melayakkan kita untuk menyandang gelar sebagai
pengikut Rasulullah SAW, sebagaimana firman Allah: Katakanlah (wahai Muhammad):
"Inilah jalanku dan orang-orang yang menurutku, menyeru manusia umumnya
kepada agama Allah dengan berdasarkan keterangan dan bukti yang jelas nyata.
Dan aku menegaskan: Maha suci Allah (dari segala iktikad dan perbuatan syirik);
dan bukanlah aku dari golongan yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang
lain. (Yusuf: 108)
Semoga sambutan Maulidur Rasul 1430H ini,
membuatkan kita semakin hampir dengan apa yang ada di dalam hati Rasulullah
SAW!
lMOHD. GUNAWAN CHE AB. AZIZ ialah Ketua Pen.
Pengarah Penyelidikan & Penyelarasan Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji.
sumberArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0316&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_03.htm#ixzz54luU8Eik
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment