Isnin, 15 Januari 2018 | 6:30pm
PEMAIN berpengalaman Selangor, Amri Yahyah sifatkan statusnya bukan jaminan untuknya kekal dalam kesebelasan utama musim ini. - Foto Osman Adnan
Amri mula rasa bahang cabaran pemain muda
Oleh Mohd Fitrie Muhamad
mfitrie@nstp.com.my
SHAH ALAM: Amri Yahyah menyifatkan statusnya sebagai penyerang berpengalaman bukan jaminan untuknya mengekalkan posisi dalam kesebelasan utama Selangor dalam kempen Liga Malaysia (Liga M), musim ini.
Malah, Amri mengakui sepanjang latihan dan mengharungi beberapa aksi pramusim, pemain muda begitu ghairah membuktikan kemampuan masing-masing sekali gus saingan untuk memikat ketua jurulatih, P Maniam menjadi sengit.
Justeru, pemain kelahiran Tanjung Karang itu mahu semua pemain terus dengan sikap positif itu seterusnya memberi masalah kepada Maniam dalam membuat keputusan.
"Liga Super adalah pentas yang menjanjikan tahap berbeza. Pemain kena beri lebih lagi untuk merebut tempat.
"Begitu juga saya kerana kedudukan saya dalam kesebelasan utama masih belum terjamin. Saya pun kena bersaing untuk merebut tempat.
"Bagi saya, ia persaingan sihat antara pemain sekali gus beri masalah kepada jurulatih untuk memilih kesebelasan utama," katanya ketika ditemui pada sesi latihan hari ini.
Bagaimanapun, sebagai individu yang cukup mengenali selok belok pertandingan utama di negara ini, Amri mengingatkan pemain muda supaya mengekalkan keinginan untuk terus memajukan diri.
"Jangan terlalu yakin dan mudah berasa selesa. Apa yang penting cuba beri yang terbaik dalam setiap perlawanan," katanya.
SUMBER-BERITA HARIAN ONLINE Isnin, 15 Januari 2018 | 6:30pm
No comments:
Post a Comment