Ad

Saturday, 6 January 2018

Izham lega Farizal mula bersama JDT

 
FARIZAL hampir digantung semusim.
Rizar Mohd Noor
rizar@nstp.com.my

PENJAGA gol Johor Darul Ta’zim (JDT), Izham Tarmizi Roslan tampak gembira apabila rakan sepasukan, Farizal Marlias akan kembali menyertai pasukan itu apabila bakal menamatkan penggantungan oleh Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), awal Februari ini.

Bagi Izham, kehadiran semula Farizal pasti menguatkan semula benteng terakhir skuad Harimau Selatan selepas hanya dia dan Muhammad Haziq Nadzli yang ditugaskan untuk mengemudi gawang gol sepanjang penggantungan bekas pemain kebangsaan itu.

Katanya, walaupun digantung selama hampir semusim, Farizal kerap membantunya untuk memperkemaskan lagi teknik menjaga gawang selain latihan dibawah kendalian jurulatih Khairul Azman Mohamad ketika sesi latihan.

“Kehadiran semula Farizal (Marlias) amat dinantikan kerana dia seorang penjaga gol berpengalaman malah ia juga akan menguatkan lagi posisi berkenaan selepas agak lama saya dan Muhammad Haziq ditugaskan mengemudi gawang gol.

“Ia juga mampu mengimbangi kekuatan JDT apabila kembali diperkuatkan dengan tiga penjaga gol antara saya, Farizal dan Muhammad Haziq. Ini sekaligus memberi ruang untuk kami meningkatkan lagi latihan memandangkan saingan liga agak panjang dan boleh digilirkan,” katanya.

Mengulas persiapan pra musim skuad Harimau Selatan di Bangkok, Thailand yang bermula 10 Januari hingga 17 Januari ini, Izham menyifatkan ia penting bagi persediaan memulakan tugasan pertama apabila menentang Muangthong United FC dalam aksi kelayakan pusingan kedua kelayakan Liga Juara-Juara Asia (ACL), 23 Januari depan.

Tambahnya, aksi persahabatan menentang Army United FC pada 10 Januari ini disusuli pertembungan menentang Chonburi FC (13 Januari) dan aksi terakhir menentang Port FC (15 Januari) menjadi medan terbaik bukan sahaja meningkatkan kualiti permainan terutama aspek taktikal sebalik menimba pengalaman berguna.

“Kita kena ambil serius perlawanan persahabatan nanti kerana ia adalah kunci kejayaan JDT memandangkan saingan Liga Malaysia (Liga M) pasti mencabar ketika pasukan lain turut membuat persiapan rapi.

“Kami ingin mempertahankan kejuaraan Liga Super dan apa yang kami kecapi sebelum ini akan menjadi aspirasi untuk terus cemerlang dan kami juga perlu konsisten sepanjang musim baharu nanti,” kata Izham.


sumberArtikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Disember 2017 @ 6:03 PM

No comments:

Post a Comment