ARKIB : 08/03/2009
Para sarjana sejarahwan Islam berbeza pendapat
tentang tarikh sebenar kelahiran Nabi saw. Hadis Nabi saw yang diriwayatkan
oleh al-Imam Muslim hanya menyebut bahawa baginda lahir pada hari Isnin tanpa
menyebut haribulannya.
Sesiapa yang membaca karya-karya sejarah Islam
yang besar seperti al-Bidayah wa al-Nihayah oleh al-Imam Ibn Kathir (meninggal
774H) akan melihat berbagai pendapat tentang haribulan dan bulan kelahiran
baginda saw. Bagi yang berpendapat baginda lahir pada bulan Rabi'ul Awwal,
mereka berbeza pendapat pula dalam menentukan haribulannya.
Ada yang menentukan pada 8 haribulan, ada yang
pada 9 haribulan, ada pula pada 12 haribulan seperti yang menjadi anggapan
ramai, ada juga pada 17 haribulan dan seumpamanya.
Di samping di sana ada pula sarjana Islam yang
menyatakan baginda lahir pada bulan Ramadan dengan hujah-hujah mereka yang
tersendiri. Apa pun yang penting, sejarahwan Timur atau Barat, Utara atau
Selatan tidak pernah berbelah pendapat tentang lahirnya seorang insan bernama
Muhammad bin 'Abdillah yang diikrarkan oleh umat Islam sebagai rasul terakhir
yang diutuskan Allah.
Hal ini berbeza dengan Jesus yang berada dalam
gambaran Barat. Setengah ahli kajian mereka mempertikaikan tentang kelahiran
Jesus itu sendiri.
Kelahiran Nabi saw adalah peristiwa yang amat
penting kerana ia peristiwa yang memulakan episod baru bagi kehidupan manusia
sejagat. Penentuan haribulan atau bulan secara tepat bukanlah faktor utama.
Tidak dapat menentukan tarikh lahir yang pasti, bukan bererti seseorang itu
tidak wujud.
Entah berapa ramai para nabi, tokoh, individu
yang gagal dikesan tarikh kelahiran mereka, tetapi mereka wujud dan telah
mewarnai sejarah. Kegagalan sarjana untuk mengetahui hari dan bulan sebenar
kelahiran Nabi saw antaranya berpunca daripada tindakan para sahabah Nabi saw
yang tidak merayakan tarikh tersebut.
Walaupun dalam sejarah Islam, merekalah generasi
yang paling mencintai Nabi saw, namun mereka tidak membuat perayaan khas hari
kelahiran baginda disebabkan kerana mereka tidak melihat baginda melakukan hal
yang demikian.
Bahkan Ibn Kathir menceritakan bagaimana Saidina
'Umar apabila dicadangkan permulaan tahun Islam dikira pada tahun kelahiran
Nabi saw, beliau menolaknya. Sebaliknya khalifah agung itu memilih tahun hijrah
baginda sebagai permulaan kiraan.
Bukan kelahiran tidak penting, tetapi hijrah
adalah permulaan kejayaan dan sejarah perjuangan. Perkara yang paling utama
buat seorang rasul ialah baginda diikuti, bukan sekadar dirayakan.
Saban tahun orang Kristian Barat merayakan
kelahiran Jesus, namun apakah kehidupan mereka sama seperti yang diajar oleh
Jesus?
Hari berganti dan bertukar. Dunia Islam beralun
dengan berbagai krisis politik yang akhirnya mencetuskan mazhab. Antaranya
Mazhab Syiah yang asalnya merupakan mazhab politik, bertukar menjadi mazhab
agama dengan segala macam aliran di dalamnya.
Islam sepatutnya mencorakkan politik telah
bertukar menjadi 'politik mencorakkan Islam'. Lalu kefahaman agama dibina di
atas blok-blok politik, bukan reka fikir politik itu diwarnakan oleh Islam.
Maka perebutan kuasa berlaku atas agenda politik yang dimasukkan unsur Islam ke
dalamnya. Maka berselerakanlah umat Islam akibat agenda politik berbagai
aliran.
Di Mesir, Syiah Fatimiyyah pernah menguasai
tampok kuasa. Berbagai agenda agama dilaksanakan dalam kerangka pemikiran mazhab
politik yang bertukar menjadi agama. Berbagai perayaan agama dibuat dengan
tujuan untuk mencapai matlamat politik yang tersendiri. Dalam Fatawa al-Azhar
diakui bahawa ahli sejarahwan Islam tidak mengetahui sesiapa pun yang memulakan
perayaan Maulid Nabi saw melainkan Kerajaan Syi'ah Fatimiyyah di Mesir yang
mengadakannya secara besar-besaran.
Mereka turut meraikan hari kelahiran tokoh-tokoh
Ahlil Bait dan kelahiran Nabi Isa a.s. Kemudian pada tahun 488H dihentikan oleh
khalifah mereka al-Musta'la billah. Kemudian dihidupkan kembali oleh sesetengah
kerajaan dan negeri. Demikianlah sejarahnya.
Ya, saya fikir, perasaan bersyukur mengenangkan
sejarah kelahiran Nabi saw dengan semangat untuk mengikuti baginda adalah
wajar. Di samping kita perlu sedar fakta-fakta yang disebutkan tadi. Jika bulan
Rabi'ul Awwal ini dikatakan bulan kelahiran Nabi saw, maka tidak salah untuk
kita berceramah menceritakan sejarah perjuangan dan prinsip-prinsip Islam yang
dibawa oleh baginda. Sama ada pada bulan ini atau selain. Sama seperti apabila
kita melintas suatu tempat bersejarah, kita mengenang sejarah tersebut. Cuma
janganlah kita ini menjadi manusia bermusim yang hanya mengenang rasul dan
ajaran baginda pada hari-hari tertentu, tetapi kita seakan sudah tidak
mengingati baginda selepas itu.
Di samping itu, hendaklah kita sedar, jika kita
mengikuti Nabi saw, maka pastikan kita tidak menokok tambah ajaran baginda apa
yang baginda tidak izinkan. Baginda bersabda: "Sesiapa yang membuat
perkara baru dalam urusan kami ini (Islam) apa yang bukan daripadanya maka ia
tertolak" (Riwayat Muslim). Oleh kerana baginda tidak pernah menunjukkan
kita ibadah khas sempena kelahiran baginda sama ada solat khas, atau puasa khas
atau bacaan khas, maka kita tidak boleh mengadakannya.
Jalan yang patut diikuti dalam masalah ini
adalah jalan para sahabah baginda saw Sabda baginda saw: "..Sesungguhnya
Bani Israil berpecah kepada 72 puak, dan umatku akan berpecah kepada 73 puak.
Kesemua mereka dalam neraka kecuali satu puak". Mereka bertanya:
"Apakah puak itu wahai RasululLah?" Jawab baginda: "Apa yang aku
dan para sahabahku berada di atasnya". (Riwayat al-Tirmizi dinilai sahih
oleh al-Diya al-Maqdisi).
Perlu diingat, antara keistimewanya sejarah Nabi
saw kerana ia dapat dikenal pasti antara yang tulen dan tokok tambah. Ini
berbeza dengan sejarah pengasas-pengasas agama dalam dunia ini yang hampir
keseluruhan sejarah mereka dibina atas sangkaan atau perkhabaran yang tidak
pasti. Ilmu hadis yang menapis sanad dan matan telah memelihara fakta sejarah nabi
kita Muhammad saw.
Hanya sejarah yang pasti sahaja yang menjadi
ikutan kita, bukan yang direka. Kata al-Sayyid Sulaiman al-Nadwi:
"Sesungguhnya sirah yang berhak diikuti oleh manusia sebagai contoh yang
baik dan teladan yang tinggi disyaratkan terlebih dahulu mestilah bersifat
tarikhiyyah (sejarah). Adapun sirah yang tertegak diatas dongengan dan
cerita-cerita khurafat yang tidak disokong oleh riwayat-riwayat yang dipercayai
kesahihannya, adalah menjadi tabiat insan tidak akan terpengaruh dengan apa yang
diceritakan kepadanya tentang sirah peribadi yang direka sedangkan sejarah
tidak pernah mengenalinya" (Sulaiman al-Nadwi, al-Risalah
al-Muhammadiyyah, m.s. 41, Saudi: al-Dar al-Sa'udiyyah).
Buku Maulid al-Barzanji yang banyak dibaca dalam
masyarakat kita ketika majlis kenduri-kendara atau selainnya mempunyai
sumbangan yang tersendiri. Banyak sirah yang sahih dicatatkan oleh penulis
karya tersebut iaitu Ja'far bin Hasan bin 'Abd al-Karim al-Barzanji (meninggal
1187H). Namun satu hakikat yang diboleh dinafikan dari segi ilmu hadis bahawa
terdapat fakta-fakta yang tidak sahih dalam buku Al-Barzanji tersebut.
Antaranya, beliau menyebut: "Telah hadirlah pada malam kelahiran baginda
(Nabi saw) Asiah (isteri Fir'aun yang beriman) dan Maryam (ibu Nabi Isa a.s.) dalam
kumpulan wanita dari syurga)". Tiada satu riwayat yang sahih daripada Nabi
saw yang mengakui peristiwa seperti ini. Sehingga seorang pengkaji sejarah
Muhammad Muhammad Hasan Syurrab menyebut: "Wajib kita berhati-hati ketika
memetik dari buku-buku sirah terutamanya buku-buku sirah yang terkemudian. Para
rawinya (periwayat) banyak menokok tambah cerita dan sirah Rasulullah. Mereka
mengaitkan kepada baginda mu'jizat dan perkara-perkara luar biasa sejak
kelahiran sehingga kepada kewafatan baginda dengan perkara yang tidak ada sanad
yang boleh dipegang.
Seakan-akan para rawi ini melihat tujuan
penambahan perkara-perkara luar biasa ini untuk memberikan kepada Rasul a.s.
mu'jizat-mu'jizat yang tidak ada pada para nabi sebelum baginda (Muhammad
Muhammad Hasan Syurrab, Fi Usul Tarikh al-'Arab al-Islami, m.s. 84, Damsyik,
Dar al-Qalam).
Kita semua bersyukur dan bergembira dengan
kelahiran Nabi Muhammad saw Namun kita wajib pastikan cara kita ikut dan faham
mengenai baginda. Saban tahun banyak pihak yang meraikan maulid, apakah umat
Islam bertambah dekat dengan baginda?
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0308&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm#ixzz54dyQHY7A
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment