Selasa, 16 Januari 2018 | 12:18pm
PENJAGA gol muda negara, Haziq Nadzli (kiri) bersama rakan sepasukan ketika sesi latihan menjelang aksi menentang Arab Saudi, hari ini.
Waspada gerakan Arab Saudi: Haziq
Daripada Aziman Rosdi di Kunshan danChina
aziman@nstp.com.my
Penjaga gol muda negara, Haziq Nadzli menggesa rakan sepasukan supaya lebih berwaspada dengan gerakan 'set-piece' Arab Saudi apabila mereka membuat perhitungan terakhir Kumpulan C bagi merebut tempat ke suku akhir Kejohanan AFC Bawah 23 Tahun (B-23) di Stadium Kunshan, China hari ini.
Dia berkata, dengan kelebihan fizikal yang dimiliki, Arab Saudi pasti akan berusaha menggunakan setiap ruang dan peluang untuk menembusi gawang negara.
"Sekarang kami berdepan misi wajib menang dan di atas kertas, Arab Saudi adalah pasukan besar namun kita tidak boleh terlalu menghormati mereka.
"Bagi saya, ini adalah pertemuan 11 lawan 11, saya akui mereka bahaya terutama dalam situasi bola mati dan hantaran lintang sebab mereka ada ramai pemain yang tinggi.
"Bagaimanapun, sebagai penjaga gol, saya perlu menggunakan kelebihan saya untuk membantu bahagian pertahanan," katanya ketika ditemui hari ini.
Haziq, 20, tidak beraksi ketika Malaysia tewas 1-4 kepada Iraq dalam aksi pembukaan namun diberi kepercayaan mengambil tempat Ifwat Akmal Chek Kassim ketika menentang Jordan yang berkesudahan seri 1-1.
Dia berharap akan terus diberi peluang oleh pengendali Datuk Ong Kim Swee bagi aksi menentang naib juara 2013, Arab Saudi hari ini dalam misi memburu kemenangan andai mahu meloloskan diri ke pusingan kedua.
"Ketika menentang Jordan, kita kerap diasak pada saat akhir permainan dan saya banyak beri arahan di bahagian pertahanan. Saya perlu membantu pertahanan dan mereka perlu melakukan perkara yang sama," katanya.
SUMBER-BERITA HARIAN ONLINE Selasa, 16 Januari 2018 | 12:18pm
No comments:
Post a Comment