Ad

Friday, 19 January 2018

Chong Wei mahu bangkit tebus kekalahan

ARKIB : 10/03/2009
Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
hafiz.ahmad@utusan.com.my
KUALA LUMPUR - Tiada gunanya buat perseorangan utama negara, Datuk Lee Chong Wei mengenangkan kegagalan merebut mahkota badminton Seluruh England, kelmarin.

Cuma pemenang pingat perak Sukan Olimpik itu perlu mengutip pengajaran dan memanfaatkannya ke Siri Super Terbuka Switzerland pula yang kelayakannya bermula hari ini.

Kekalahan kali kelima berturut-turut kepada pemain China, Lin Dan sejak 2 Disember 2007 dalam Siri Super Terbuka Hong Kong juga wajar dilihat oleh anak jati Georgetown, Pulau Pinang ini sebagai titik tolak kebangkitan.

''Saya hilang tumpuan pada segelintir mata tetapi saya bermain lebih baik daripada Sukan Olimpik (di Beijing, tahun lalu). Secara psikologinya, sukar bagi saya menewaskan Lin Dan tetapi saya harap dapat berpeluang mencuba lagi dan menebusnya (dalam Terbuka Switzerland).

"Saya rasa OK walaupun kalah kerana ia satu perlawanan yang bagus," katanya.

Sementara Lin Dan yang nyaris kalah ketika ketinggalan 17-19 dalam set pertama, memberitahu: "Kami berdua pemain yang bagus. Cuma dari segi psikologinya, saya lebih fokus dan bertenang. Ada ketikanya saya tidak mencapai tahap terbaik sehingga memberikannya kelebihan."

Chong Wei kecundang 19-21, 12-21 selepas 43 minit tetapi dia yang juga pemain No. 1 dunia, mungkin bertembung sekali lagi dengan 'Juara Tembok Besar' itu dalam perlawanan akhir Terbuka Switzerland di St. Jakobshalle, Basel selepas masing-masing diletakkan sebagai pilihan pertama dan kedua kejohanan sirkit Persekutuan Badminton Dunia (BWF) ini.

Juara Master Akhir Siri Super 2008 dan Terbuka Malaysia tahun ini bagaimanapun perlu melepasi pemain Jepun, Kenichi Tago dalam pusingan pertama malah mungkin berdepan sekali lagi dengan Taufik Hidayat seawal suku akhir yang ditewaskannya 21-8, 21-13 pada separuh akhir Seluruh England.

Chong Wei hanya bergelar naib juara Terbuka Switzerland tahun lalu, juga dengan menjadi mangsa Lin Dan 13-21, 18-21 namun dia pernah menjadi antara pemain Malaysia yang menjuarainya pada 2006, Hafiz Hashim (2005) dan Roslin Hashim (2001) serta Kwan Yoke Meng (1988).
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0310&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz54fqWViVS

© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment