Ad

Saturday, 20 January 2018

Chong Wei lebur badi

ARKIB : 16/03/2009
Oleh TAUFEK A. RAZAK
taufek.razak@utusan.com.my
 
LEE Chong Wei membalas pukulan Lin Dan pada pertembungan akhir badminton Terbuka Switzerland di Basel, Switzerland, malam tadi. Chong Wei akhirnya berjaya meleburkan badi kekalahan kepada Lin Dan selepas menang 21-16, 21-16 dalam tempoh 52 minit. - AP

KUALA LUMPUR - Akhirnya selepas lebih setahun menanti, pemain perseorangan lelaki negara, Datuk Lee Chong Wei berjaya meleburkan badi kekalahannya kepada pemain China, Lin Dan untuk menjuarai Terbuka Switzerland, semalam.

Kemenangan 21-16, 21-16 yang diraihnya dalam tempoh 52 minit di Arena St. Jakobshalle dekat Basel, Switzerland itu mengakhiri kemarau kejayaan dalam lima pertemuan dengan Lin Dan sebelum ini.

Chong Wei yang juga merupakan pemain No. 1 dunia kini mempunyai rekod empat kemenangan ke atas Lin Dan daripada keseluruhan 14 pertemuan mereka.

Kali terakhir Chong Wei menewaskan pemain No. 2 dunia itu ialah di separuh akhir Siri Super Terbuka Jepun pada 15 September, 2007.

Sejak itu, pemain kelahiran Pulau Pinang itu tidak pernah menang ke atas Lin Dan bermula pada perlawanan akhir Terbuka Switzerland 2008 diikuti Sukan Olimpik 2008, Terbuka China 2008 dan terbaru di Seluruh England 2009 minggu lalu.

Kejayaan semalam juga bermakna, Chong Wei turut berjaya menebus kekalahannya 13-21, 18-21 kepada Lin Dan pada kejohanan ini tahun lalu.

Ternyata pemain perseorangan negara ini mempamerkan permainan yang jauh berbeza terutama berbanding dalam tiga pertemuan terbaru mereka sebelum ini.

Dengan menggunakan pelbagai variasi pukulan, Chong Wei kelihatan bermain lebih tenang dan sabar untuk mengendurkan asakan Lin Dan.

Walaupun pungutan mata berlangsung cukup rapat, Chong Wei yang hanya ditemani Rashid Sidek bijak membaca setiap hantaran Lin Dan di samping mampu membalas setiap pukulan pancung dan rejam pemain China itu.

Ketiadaan jurulatihnya sendiri, Misbun Sidek yang telah pulang ke Malaysia selepas berakhir Seluruh England ternyata tidak mematahkan semangat pemain berusia 26 tahun ini.

Sebaliknya Lin Dan yang tampak lebih tertekan dengan banyak melakukan kesilapan sendiri selepas ditekan dengan permainan rali Chong Wei.

Sementara itu, pasangan Koo Kien Keat-Tan Boon Heong turut mengikut jejak Chong Wei apabila menjuarai acara beregu lelaki, semalam.

Gandingan negara itu menewaskan beregu Denmark, Mathias Boe, Carsten Mogensen 21-14, 21-18 untuk meraih gelaran pertama mereka tahun ini.

Kejayaan Kien Keat-Boon Heong menjuarai kejohanan ini mengulangi pencapaian mereka muncul juara pada 2007.
sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0316&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz54lpKGQIi

© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment