Ad

Saturday, 6 January 2018

Abu Bakar akui tugas makin sukar


 
ABU Bakar (kiri) akui posisi penyerang paling kritikal dan perlu diatasi segera. -Foto fail
Mohd Fitrie Muhamad
mfitrie@nstp.com.my

SELEPAS kehilangan beberapa tonggak musim lalu, pengendali PKNP FC, Abu Bakar Fadzim terpaksa akui beliau kini berdepan tugas sekali ganda lebih berat berbanding persiapan yang pernah dilakukan sebelum ini.

Antara tonggak yang meninggalkan kelab itu adalah pemenang Penyerang Terbaik Anugerah Bolasepak Kebangsaan, Shahrel Fikri Fauzi.

Untuk itu, Abu Bakar berkata dua aksi persahabatan menentang PKNS FC dan Kelantan selepas ini bakal jadi platform terbaik buatnya untuk meneliti kelemahan dan mendapatkan gambaran kasar untuk membentuk skuad terbaik.

“Memanglah apabila kehilangan beberapa pemain utama, saya dapat lihat ada satu ruang yang perlu diisi oleh pemain lain.

“Selepas ini kami ada dua aksi persahabatan pada 6 dan 10 Januari. Daripada situ saya akan nilai pemain termasuk menguji pemain import.

“Dengan situasi sekarang, kerja saya bertambah terutamanya untuk membina pasukan yang mampu bersaing bersama pasukan hebat lain dalam saingan Liga Super,” katanya.

Sebelum ini, PKNP FC pernah dilabel ‘Giant Killer’ kerana kemampuan mereka memberi kejutan kepada pasukan lebih besar.

Walaupun berdepan tugas lebih kerat, Abu Bakar tidak melihat ia sebagai beban sebaliknya lebih kepada cabaran buatnya untuk meneruskan apa yang pernah dilakukan sebelum ini.

Bagaimanapun, bekas pengendali Perak itu turut akur posisi penyerang antara masalah yang perlu segera diatasinya terutama selepas melihat kekalahan 2-0 kepada FELDA United FC dalam aksi persahabatan.

“Dalam tempoh sebulan ini saya akan bina semula pasukan. Apabila tidak ada lagi Shahrel Fikri, saya nampak itu antara kelemahan kami hadapi sekarang.

“Jadi kepada pemain lain, rebutlah peluang ini,” katanya.


sumberArtikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 January 2018 @ 4:38 PM

No comments:

Post a Comment