ARKIB : 05/05/2006
AL-KHAWARIZMI dilahirkan di
Bukhara. Nama sebenarnya ialah Muhammad Ibn Musa al-Khawarizmi. Selain itu,
beliau dikenali juga sebagai Abu Abdullah Muhammad bin Ahmad bin Yusoff Gelaran
Al-Khawarizmi yang dikenali di Barat ialah al-Khawarizmi, al-Cowarizmi,
al-karismi, al-Goritmi atau al-Gorism. Nama al-Gorism terkenal pada abad
pertengahan. Di negara Perancis pula al-Gorism muncul sebagai Augryam atau
Angrism. Di negara Inggeris pula dia dikenali sebagai Aurym atau Augrim.
Tahun 780-850M adalah zaman
kegemilangan al-Khawarizmi. Dicatatkan, beliau meninggal dunia antara 220M dan
230M. Ada yang mengatakan al-Khawarizmi hidup sekitar awal pertengahan abad
kesembilan.
Dalam bidang pendidikan
terbukti bahawa beliau ialah seorang tokoh Islam yang berpengetahuan luas
meliputi bidang falsafah, logik, aritmetik, geometri, muzik, kejuruteraan,
sejarah Islam dan kimia.
Beliau amat terkenal sebagai
guru algebra di Eropah dan menciptakan pemakaian Secans dan Tangens dalam
penyelidikan trigonometri dan astronomi. Dalam usia muda beliau bekerja di
bawah pemerintahan Khalifah al-Mamun di Bayt al-Hikmah, Baghdad.
Beliau gemar bekerja dalam
balai cerap untuk mendalami ilmu matematik dan astronomi serta pernah
memperkenalkan angka-angka India dan cara-cara perhitungan India pada dunia
Islam.
Al-Khawarizmi ialah seorang
tokoh yang mula-mula memperkenalkan algebra dan hisab. Banyak lagi ilmu
pengetahuan yang beliau pelajari dalam bidang matematik dan menghasilkan
konsep-konsep matematik yang begitu popular sehingga digunakan pada zaman
sekarang.
Antara hasil karya yang telah
beliau hasilkan ialah:
1. Sistem Nombor: Ia telah diterjemahkan
ke dalam bahasa Latin iaitu De Numero Indorum. Mufatih al-Ulum yang bermaksud
beliau adalah pencinta ilmu dalam pelbagai bidang.
2. Al-Jami wa al-Tafsir bi
Hisab al-Hind: Karya ini telah diterjemahkan ke dalam bahasa Latin oleh Prince
Boniopagri.
3. Al-Mukhtasar Fi Hisab
al-Jabr wa al-Muqabalah: Diterbitkan pada 820M dan ia mengenai algebra.
4. Al-Jabr wal Muqabalah:
Penggunaan secans dan tangens dalam penyelidikan trigonometri dan astronomi.
5. Hisab al-Jabr wa
al-Muqabalah: Contoh-contoh persoalan matematik dan mengemukakan 800 soalan
yang sebahagian daripadanya merupakan persoalan yang dikemukakan oleh Neo.
Babylian dalam bentuk dugaan yang telah dibuktikan kebenarannya oleh
al-Khawarizmi.
Dalam bidang matematik,
al-Khawarizmi telah memperkenalkan algebra dan hisab. Beliau banyak
menghasilkan karya-karya yang masyhur ketika zaman tamadun Islam. Antara
karya-karya yang beliau hasilkan ialah Mafatih al-Ulum. Sistem nombor adalah
salah satu sumbangannya dan telah digunakan pada zaman awal tamadun Islam.
Banyak kaedah yang
diperkenalkan dalam setiap karya yang dihasilkan. Antaranya ialah kos, sin dan
tan dalam trigonometri penyelesaian persamaan, teorem segi tiga sama, mengira
luas segi tiga, segi empat selari dan bulatan dalam geometri. Masalah pecahan
dan sifat nombor perdana dan teori nombor juga diperkenalkan.
Bidang astronomi juga
membuatkan al-Khawarizmi dikenali pada zaman tamadun Islam. Astronomi dapat
ditakrifkan sebagai ilmu falak iaitu pengetahuan tentang bintang-bintang yang
melibatkan kajian tentang kedudukan, pergerakan, dan pemikiran serta tafsiran
yang berkaitan dengan bintang.
Penggunaan matematik dalam
astronomi sebelum tamadun Islam amat sedikit dan terhad. Ini disebabkan oleh
kemunduran pengetahuan matematik yang terhad kepada pengguna aritmetik dan
geometri sahaja.
Al-Khawarizmi dianggap sebagai
sarjana matematik yang masyhur oleh orang Islam dan ia diperakui oleh sarjana
Barat. G. Sarton pernah menyatakan bahawa pencapaian-pencapaian tertinggi telah
diperoleh oleh orang-orang Timur terutama al-Khawarizmi.
Wiedmann pula menyifatkan
al-Khawarizmi mempunyai personaliti yang teguh dan seorang yang bijaksana. Ini
membuktikan al-Khawarizmi telah memberi sumbangan yang besar dalam bidang
matematik dan astronomi.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0505&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_05.htm#ixzz4l5Qoo6Qc
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment