Ad

Thursday, 22 June 2017

Gantung gambar hukumnya harus



ARKIB : 03/03/2006
1. Adakah gambar yang diletakkan di dalam bingkai dan diletakkan di ruang tamu dibenarkan dalam Islam? Tujuannya untuk kenangan dan bukan untuk menunjuk-nunjuk. Bagaimana pula dengan hiasan kad raya yang mempunyai kartun manusia atau haiwan?

JAWAPAN:

Hukumnya harus menggantung gambar yang berbingkai di ruang tamu atau di tempat-tempat awam sekiranya untuk pengenalan (takrif), contohnya gambar-gambar pemimpin, gambar Ahli Lembaga Pengarah syarikat dan tokoh-tokoh tertentu. Ia bertujuan mengenalkan mereka kepada orang yang tidak mengenalinya. Perkara seumpama itu dibolehkan dalam Islam selagi mana menggantung gambar itu tidak bertujuan mentaqdiskanya (memuliakannya). Dalam kitab-kitab hadis terdapat beberapa hadis Rasulullah s.a.w. yang menegah umatnya menyimpan atau memiliki gambar yang mempunyai bentuk makhluk yang bernyawa seperti gambar manusia atau haiwan. Antaranya adalah hadis yang bermaksud, “Sesungguhnya malaikat tidak akan memasuki rumah yang terdapat gambar di dalamnya.” (al-Bukhari, kitab al-Libas, bab: 92, no: 5905.) Tegahan baginda Rasulullah s.a.w. adalah berdasarkan kepada apa yang dilakukan oleh golongan Nasara yang mengantung gambar di dalam gereja untuk mentaqdiskan seseorang (lihat tafsir al-kabir karangan al-zamakhsyari, jld: 3, ms: 572, pentafsiran surah Saba’: 12 & 13). Adapun gambar lukisan yang terdapat pada kad raya berbentuk kartun atau haiwan tidak mengapa kerana selepas kad itu diterima kebiasaannya ia disimpan. Saya berpendapat gambar atau lukisan berbentuk kartun atau haiwan lebih kepada menampilkan kesenian seseorang yang mempunyai kemahiran.

SUMBER=Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0303&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_06.htm#ixzz4kntCdU19
© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment