ARKIB : 05/07/2006
Ads by Kiosked
Doa Nabi Ibrahim makbul
Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD
ALBAKRI
Setelah Allah s.w.t.
menceritakan perihal Nabi Allah Ibrahim yang diuji dengan beberapa kalimah dan
juga arahan-Nya supaya menjadikan Makam Ibrahim tempat sembahyang di samping
membersihkan Kaabah daripada segala bentuk syirik. Allah s.w.t. melangsungkan
lagi kisah munajat dan doa Nabi Ibrahim a.s. dalam ayat berikut.
Dan (ingatlah) ketika Nabi
Ibrahim berdoa dengan berkata: Wahai Tuhanku! Jadikanlah (negeri Mekah) ini,
negeri yang aman sentosa, dan berikanlah rezeki dari berbagai jenis buah-buahan
kepada penduduknya, iaitu orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari
akhirat di antara mereka. Allah berfirman: (Permohonanmu itu diterima) tetapi
sesiapa yang kufur dan ingkar maka Aku akan beri juga ia bersenang-senang
menikmati rezeki itu bagi sementara (di dunia), kemudian Aku memaksanya (dengan
mengheretnya) ke azab neraka, dan (itulah) seburuk-buruk tempat kembali.
(Al-Baqarah: 126)
Firman Allah s.w.t.: Dan
(ingatlah) ketika Nabi Ibrahim berdoa dengan berkata: Wahai Tuhanku! Jadikanlah
(negeri Mekah) ini, negeri yang aman sentosa. Dikehendaki dengan keamanan, di
sini tiga pendapat iaitu:
1. Nabi Ibrahim memohon
keamanan dan keselamatan daripada pembunuhan atau peperangan.
2. Daripada bala, gempa bumi
dan dihancurkan.
3. Daripada kemarau dan
kebuluran.
Syeikh Al-Maghari berkata: Doa
ini daripada Ibrahim supaya negeri Mekah aman dan selamat dari golongan mereka
yang angkuh dan takbur yang menguasainya dan dari azab dan hukuman Allah yang
ditimpa keatasnya sebagaimana yang berlaku di kebanyakan negeri seperti gempa
bumi, bencana alam, banjir dan lain-lain lagi daripada kemusnahan.
Allah menerima doanya justeru
tiada seorangpun yang inginkan kejahatan di Mekah kecuali dipatahkan
keinginannya. Sebagai contoh tentera Abrahah dalam peristiwa serangan ke kota
Mekah yang disebut dalam surah al-Fil.
Dan berikanlah rezeki daripada
berbagai jenis buah-buahan kepada penduduknya, iaitu orang-orang yang beriman
kepada Allah dan hari akhirat di antara mereka. Di sini beliau menerima jawapan
daripada Allah, yang menyempurnakan dan menjelaskan golongan yang satu lagi
yang didiamkan begitu sahaja iaitu golongan yang tidak beriman yang akan
menerima untung nasib yang amat pedih.
Al-Samarqandi berkata Nabi
Ibrahim mensyaratkan dengan syarat ini kerana ia berdoa kepada tuhannya
kepimpinan untuk zuriatnya. Kemudian Allah tidak menerima baginya bagi golongan
orang zalim, justeru Ibrahim merasa bimbang hal rezeki begitu juga lantas ia
memohon rezeki untuk orang beriman sahaja.
Allah mengkhabarkannya bahawa
Ia memberi rezeki kepada orang kafir dan orang beriman kerana urusan rezeki
adalah ain daripada urusan kepimpinan. Mereka berkata kerana kepimpinan adalah
kurniaan dan kelebihan sedangkan rezeki merupakan keadilan, justeru Allah
memberi dengan kelebihannya siapa yang dikehendaki daripada hambanya yang
layak. Demikian itu kepada manusia kerana mereka hamba-hambanya sekalipun
mereka kufur.
Dan rezekikanlah hai Tuhanku di
kalangan orang yang beriman dengan pelbagai buah-buahan dan makanan supaya
mereka dapat mentaatimu dan beribadat. Al-Nasafi berkata: Diminta buah-buahan
kerana kota Mekah negeri yang kering kontang tanpa sebarang tanam-tanaman dan
tumbuh-tumbuhan.
Al-Baghawi berkata: dalam kisah
bahawa negeri Taif asalnya dari negeri Syam di Jordan apabila Ibrahim berdoa
dengan doa ini lantas Allah memerintahkan Jibril a.s. mencabutnya daripada asal
dan mengelilinginya di Baitullah sebanyak tujuh kali kemudian meletakkannya di
tempat yang ada sekarang daripadanya banyaklah buah-buahan yang sampai ke kota
Mekah.
Al-Alusi dalam mengemukakan
komentar berkenaan dengan pendapat ini berkata: atas andaian sahihnya pendapat
ini ia tidaklah pelik berbanding dengan kekuasaan Allah yang maha berkuasa dan
jika enggan mengekalkan atas zahirnya, maka bab takwil amatlah luas.
Rezeki
Dikhususkan dengan orang yang
beriman sahaja sedangkan Allah menjawab: Allah berfirman: (Permohonanmu itu
diterima) tetapi sesiapa yang kufur dan ingkar maka Aku akan beri juga ia
bersenang-senang menikmati rezeki itu bagi sementara (di dunia). Aku rezekikan
di kalangan orang kafir juga sebagaimana aku rezekikan juga di kalangan orang
beriman. Adakah patut aku ciptakan makhluk kemudian tidak merezekikannya?
Adapun orang kafir aku kurniakan sedikit nikmat di dunia sepanjang hidupnya
sahaja. Kemudian Aku memaksanya (dengan mengheretnya) ke azab neraka, kemudian
aku masukkannya di hari akhirat dan mengheretnya ke neraka, tiada peluang dan
ruang baginya untuk melarikan diri.
Al-Mawardi menaqalkan dua
pendapat ulama berkenaan persoalan adakah Mekah sentiasa menjadi tempat yang
aman dengan doa Nabi Ibrahim atau semata-mata terbatas pada zamannya sahaja?
1. Bahawa ia sentiasa aman dan
dipelihara daripada golongan penguasa yang zalim dan takbur begitu juga
daripada gempa bumi dan bencana alam. Ini berdasarkan riwayat Said Al-Maqburi
mengikut hadis yang disebut oleh Al-Bukhari, Muslim, Ahmad, dan dinaqalkan juga
oleh Ibn Jarir Al-Tabari dan Ibn Ishaq.
2. Bahawa Mekah adalah tanah
halal sebelum doa Nabi Ibrahim sama seperti negeri-negeri lain dan dengan sebab
doanya jadilah ia haram dan aman sebagaimana Madinah dijadikan tanah haram oleh
Rasulullah selepas ia halal.
Berdasarkan riwayat Asy'ath,
daripada Nafi' daripada Ibn Umar. Tetapi riwayat ini daif kerana salah seorang
perawinya Asy'ath bin Siwar Al-Kindi dianggap lemah oleh Al-Hafiz Ibn Hajar,
begitu juga Al-Hafiz Ibn Kathir menganggap sanad ini asing. Syeikh Muqbil
Al-Wada'i dalam mentakhrijkan tafsir Ibn Kathir menyebut: yang demikian itu
kerana Asy'ath berseorangan dalam riwayat sedangkan dia lemah dan dia dianggap
termasuk dalam hadis mungkar.
Dan (itulah) seburuk-buruk
tempat kembali. Itulah seburuk-buruk tempat kembali bagi orang kafir iaitu
tempatnya neraka jahanam. Ayat ini Ibrahim al-Khalil telah mengkiaskan rezeki
dengan imamah (pemerintahan) lantas Allah memberi peringatan kepadanya bahawa
rezeki hanya rahmat duniawi yang umum bagi orang baik dan jahat.
Berlainan dengan imamah yang
terkhusus dengan orang-orang yang baik di kalangan orang yang beriman.
Iktibar dan pengajaran ayat.
Antaranya:
i. Sifat yang menjadi sekutu
dan kesamaan antara nabi-nabi ialah banyak berdoa dan memohon kepada Tuhan.
Justeru amat wajar kita mengikut mereka dengan memperbanyakkan berdoa.
ii. Kurniaan Allah s.w.t.
seperti rezeki, kesihatan, kekayaan dan lain-lain tidak hanya terbatas kepada
orang yang beriman sahaja tetapi diumumkan kepada semua makhluk-Nya kerana
dunia hanya pentas ujian, sebaliknya akhirat adalah tempat pembalasan yang
hakiki yang membezakan antara golongan baik dan jahat.
iii. Doa Nabi dimakbulkan
Tuhan. Ini bermakna doa orang yang mengikut Nabi juga dimakbulkan Tuhan. Thabit
dalam hadis-hadis yang sahih, doa orang-orang soleh dan orang yang mengerjakan
sesuatu ibadat akan diperkenankan doa selepas selesai ibadat tersebut.
- DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI
ialah pensyarah di Kolej Uniti, Seremban, Negeri Sembilan
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0705&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm#ixzz4lCpx6M9I
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment