ARKIB : 18/10/2005
KUALA LUMPUR - Sukan badminton
tanahair terhutang budi kepada Datuk Sidek Abdullah Kamar yang telah memainkan
peranan besar dalam pembangunan badminton negara sejak awal 1980 an.
Allahyarham yang menghembuskan
nafas terakhirnya lewat pagi semalam dianggap `Bapa Badminton Moden' kerana
kejayaan membimbing anak-anaknya seperti Misbun, Razif, Jalani dan Rashid
bergelar jaguh dunia.
Bagi Persatuan Badminton
Malaysia (BAM), pemergian Allahyarham merupakan satu kehilangan besar kepada
badan badminton tanah air itu kerana beliau tidak lokek memberikan pandangan
dan nasihat.
Malah, dua anak lelaki
Allahyarham, Misbun dan Rashid kini menjadi tenaga penting dalam kejurulatihan
BAM, manakala Razif pula pernah menyandang jawatan ketua jurulatih pada awal
1990an.
``Setiap kali bertemu, tidak
sah kalau Datuk Sidek pulang tanpa memberi nasihat. Beliau memang tidak lokek
memberi pandangan kerana beliau mahu berkongsi pengalamannya untuk pembangunan
badminton,'' kata setiausaha BAM, Gangga Rao.
``Pada saya Datuk Sidek
merupakan bapa badminton moden. Beliau memainkan peranan besar ketika
mengembalikan kecemerlangan badminton tanahair di awal 1980 an menerusi
anak-anaknya.
``Kejayaan besar buat keluarga
Sidek adalah ketika Malaysia merampas Piala Thomas pada 1992 hasil sumbangan
Razif, Jalani serta Rashid. Malah, ketiga-tiga beradik ini juga telah
menyumbang pingat kepada negara pada Sukan Olimpik.''
Menurut Gangga, kejayaan
Allahyarham membawa anak-anaknya menjadi jaguh dunia menjadikan beliau bapa
contoh dan mendorong ibu bapa lain untuk menggalakkan anak mereka memilih
badminton sebagai karier.
``Beliau telah membuktikan
betapa seseorang yang datang dari latar belakang orang biasa juga boleh
mencapai tahap dunia tetapi apa yang lebih penting, Datuk Sidek merupakan bapa
contoh yang telah memberi keyakinan kepada orang ramai untuk menggalakkan anak
mereka bermain badminton.''
Sementara itu, bekas setiausaha
BAM, Datuk Mohd. Al Amin Majid berkata, pemergiaan Allahyarham merupakan satu
kehilangan besar kepada sukan badminton tanahair.
Kecekalan dan kegigihan beliau
membesarkan anak-anaknya sehingga menjadi jaguh dunia sesuatu yang meninggalkan
kesan besar kepada sukan badminton tanahair.
``Sukar untuk melihat orang
segigih Allahyarham. Keazamannya amat tinggi dan beliau adalah contoh kepada
pembangunan sukan badminton tanahair.
``Walaupun saya telah lama
meninggalkan sukan badminton tetapi saya tetap berasa kehilangan dengan
perginya Datuk Sidek. Saya dapat bayangkan bagaimana kehilangan yang dirasai
oleh warga sukan tanahair lain, terutamanya badminton,'' katanya.
Kesedihan kedua-dua pemimpin
dan bekas pemimpin BAM itu turut dikongsi oleh jaguh veteran, Roslin Hashim
yang dianggap seperti sebahagian daripada anggota keluarga Sidek.
Roslin dan dua adiknya,
Muhammad Hafiz dan Muhammad boleh dikatakan membesar dalam `keluarga Sidek',
apatah lagi mendapat sentuhan bimbingan anak-anak Allahyarham seperti Misbun,
Rashid dan Rahman.
Malah, Hafiz muncul juara
Seluruh England 2003 di bawah bimbingan Misbun, Roslin juga pernah bergelar
pemain nombor satu dunia dan kini menjalani latihan bersama Kelab Nusa Mahsuri
milik Jalani tetapi dibimbing oleh Rahman.
Hasil perkahwinannya dengan
Datin Rukinah Sulaiman, yang meninggal dunia 30 Januari, 2003, pada 1954,
Allahyarham dikurniakan lapan orang anak Rozita, Mohd. Misbun, Mohd. Razif,
Mohd. Jalani, Abdul Rahman, Abdul Rashid, Zamaliah dan Mohd. Shahrizan.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=1018&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4j7dFyXjE
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment