Ad

Saturday, 3 June 2017

Kepayahan lawan Inggeris



ARKIB : 31/08/2005

Oleh ROSNI HASSAN (Wartawan Utusan)


Melaka mencatat banyak peristiwa penting dalam sejarah kemerdekaan negara. Paling penting tarikh 20 Februari 1956 yang menyaksikan rakyat bersama-sama pejuang kemerdekaan meraikan kejayaan negara bebas daripada kuasa penjajah Inggeris.

Pada tarikh itu di tempat yang paling bermakna yang kini dikenali sebagai Padang Pahlawan rakyat berkumpul menyambut kepulangan Tunku Abdul Rahman dari London untuk berunding dengan Inggeris mengenai kemerdekaan negara.

Kepulangan bekas Perdana Menteri pertama Malaysia yang membawa bersama dokumen kemerdekaan tanah Melayu dari London ditunggu-tunggu oleh rakyat yang tidak sabar untuk membebaskan diri daripada cengkaman penjajah.

Lebih 100,000 orang dikatakan berkumpul di Padang Pahlawan dan melaungkan merdeka berulang-ulang kali sebaik sahaja Tunku Abdul Rahman mengisytiharkan kemerdekaan negara dan mengumumkan tarikh kemerdekaan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957.

Kebangkitan semangat rakyat ketika itu menjadikan Padang Pahlawan dibanjiri lautan manusia yang ingin menyaksikan peristiwa terpenting yang kini menjadi catatan penting dalam lipatan sejarah kemerdekaan negara.

Pelbagai reaksi dapat dilihat ketika itu, ada yang menangis dan bersorak kegembiraan sambil melaungkan merdeka. Kini Padang Pahlawan yang terletak di Bandar Hilir, dianggap sebagai monumen penting dalam sejarah kebangkitan bangsa yang merdeka kerana di sinilah perisytiharan kemerdekaan negara diumumkan.

``Ribuan manusia dari seluruh negara berhimpun di Padang Pahlawan menunggu ketibaan Tunku Abdul Rahman dengan penuh semangat umpama kata pepatah `yang patah datang bertongkat, yang buta datang berpimpin,'' kata budayawan negara yang juga veteran UMNO, Tan Sri Abdul Aziz Tapa, 77, kepada Utusan Malaysia.

Suasana pada masa itu, jelas beliau, sukar digambarkan dengan perkataan, terutama apabila Tunku mengumumkan tarikh kemerdekaan negara.

Ada yang menitiskan air mata kerana terlalu gembira, kerana kemerdekaan bermakna kita tidak lagi menjadi bangsa yang dijajah.

Aziz memberitahu, kemerdekaan negara tidak diperoleh dengan mudah walaupun ia tidak melalui pertumpahan darah, justeru ulang tahun kemerdekaan bukan sekadar mesti disambut setiap tahun oleh semua pihak.

Sebaliknya generasi hari ini juga perlu dididik supaya menghayati semangat kemerdekaan agar mereka menghargai nikmat yang diperoleh sekarang adalah hasil perjuangan dan susah payah generasi terdahulu yang `melawan' Inggeris dengan cara mereka sendiri - tanpa menghunus senjata.

Menurutnya, sesetengah negara memperoleh kemerdekaan menerusi peperangan tetapi negara bernasib baik kerana kemerdekaan diperoleh tanpa pertumpahan darah sebaliknya menerusi kebijaksanaan pemimpin kita yang berjaya meyakinkan Inggeris.

``Ramai yang bertanya macam mana Tunku Abdul Rahman meyakinkan Inggeris supaya memberi kemerdekaan kepada kita, ini sesuatu yang perlu dikaji secara mendalam. Yang saya tahu Tunku memang bijak, sebelum menemui Inggeris beliau dapatkan pandangan pelbagai pihak dan membawa kaum-kaum lain menyertai perjumpaan yang diadakan di London itu.

``Ini kerana Almarhum mahu pihak Inggeris melihat bahawa semua kaum di negara ini bersatu dan mahukan kemerdekaan,'' katanya sambil mengakui kepayahan yang dialami oleh Tunku dan rombongannya sebelum ke London adalah sesuatu yang perlu dihayati dan dihargai oleh generasi sekarang.

Menurut Aziz, generasi sekarang ada yang menghargai kemerdekaan tetapi masih ramai yang tidak tahu menjaga dan memelihara nikmat yang diperoleh apabila dengan mudah terpengaruh dengan nilai-nilai negatif.

``Dulu mana ada orang buang anak dalam plastik, tidak amanah dan rasuah, semua ini nilai-nilai yang tidak baik. Jika amalan seperti ini tidak ditangani negara pun boleh jual,'' katanya.

Sehubungan itu, menurutnya, adalah penting anak-anak sekarang bermula di peringkat sekolah rendah lagi hingga ke peringkat pengajian tinggi dididik supaya menghayati sejarah kemerdekaan negara.

Mereka perlu mengetahui betapa peritnya perjuangan generasi terdahulu dalam mempertahankan kemerdekaan negara, dalam serba kekurangan terutama dari segi kewangan.

Selain itu mereka juga perlu merenung kembali bagaimana pemimpin terdahulu mengangkat kedudukan orang Melayu menerusi UMNO. Yang mana perjuangan mereka adalah berlandaskan kesedaran untuk membela nasib orang Melayu bukannya kepentingan peribadi atau mengharapkan sesuatu habuan. ``Saya masih ingat sekitar tahun 1950-an dan 1960-an, untuk menghadiri Perhimpunan Agung UMNO, kami sewa bilik hotel di ibu negara, RM4 satu malam, kami kongsi lapan orang iaitu seorang 50 sen, tak termasuk belanja makan dan minum. Berbeza dengan sekarang semuanya disediakan, hotel bagus dan mewah.

``Tak apalah sebab sekarang kita sudah maju, tetapi pada masa yang sama jangan lupa perjuangan pemimpin terdahulu.

Kita perlu mengisi kemerdekaan yang diperoleh dengan perkara yang berfaedah dan boleh dibanggakan, jangan jadi orang yang menyusahkan negara,'' katanya yang pernah menjadi Bendahari UMNO Melaka selama 18 tahun.

Pengalaman beliau itu turut dipersetujui oleh seorang lagi veteran UMNO, Datuk Wira Borhan Md. Yaman, 76, yang melahirkan rasa syukur berikutan kejayaan negara mengisi kemerdekaan dengan membina kemajuan untuk faedah rakyat.

Begitupun yang menjadi kebimbangan beliau ialah jika generasi sekarang alpa dengan nikmat kemerdekaan yang diperoleh kerana mudah terpengaruh dengan budaya luar.

``Kewajipan generasi sekarang ialah memelihara kemerdekaan dengan membina kemajuan dan mewujudkan lebih ramai Melayu yang berjaya dalam pelbagai bidang,'' katanya yang mula menyertai UMNO dalam tahun 1951, ketika berusia 22 tahun sebelum diberi kepercayaan memegang jawatan Penolong Setiausaha Pemuda UMNO negeri pada tahun 1954.

Mengimbas semula detik tarikh kemerdekaan diisytiharkan, beliau berkata, laungan kemerdekaan di Padang Pahlawan dan kesediaan rakyat melucutkan barang kemas di badan serta menyerahkan wang ringgit mereka bagi menampung perbelanjaan Tunku Abdul Rahman ke London dalam misi mendapatkan kemerdekaan negara masih segar dalam ingatannya.

Kata, peristiwa kaum ibu melucutkan barang kemas yang mereka pakai dan ramai lagi yang meletakkan wang di atas hamparan bendera UMNO di Dewan Meng Seng di bandar Melaka pada tahun 1954 begitu menyayatkan hati beliau.

Semua itu jelas beliau, dilakukan dengan rela hati kerana rakyat mahukan kemerdekaan dan memberi sepenuh kepercayaan kepada Tunku Abdul Rahman untuk menyampaikan mesej tersebut kepada Inggeris di London.

Usaha mengumpulkan dana bagi membantu misi kemerdekaan menurutnya, dilakukan melalui `Derma Merdeka' yang dilakukan di seluruh pelosok negeri yang mana beliau bersama rakan-rakan menjalankan kutipan derma dan menjual barang-barang apabila berlangsungnya majlis keramaian termasuk pertunjukan bangsawan.

Derma Merdeka jelas beliau, mendapat sokongan rakyat apabila orang kampung dan yang miskin sanggup menderma dengan memberi padi, buah-buahan, pakaian malah penoreh getah yang memberi sekeping daripada empat keping getah mereka pada setiap hari untuk dijual bagi mengisi tabung itu.

``Semangat mahukan kemerdekaan pada masa itu begitu terasa sekali bagaimanapun perjalanannya amat sukar kerana mereka hidup dalam serba kekurangan selain menerima tekanan daripada penjajah,'' ujarnya.

Beliau berkata, sebagai generasi selepas merdeka, orang Melayu mesti menjadi bangsa yang berprinsip dan jangan sesekali membenarkan jiwa serta minda mereka dijajah walau dalam apa bentuk sekalipun. Kerana kemerdekaan yang diperoleh tidak memberi apa-apa makna jika orang Melayu membenarkan pihak luar mempengaruhi pemikiran mereka.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0831&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_01.htm#ixzz4ivj5xqa1
© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment