Ad

Thursday 29 June 2017

Telekom mara ke suku akhir



ARKIB : 26/07/2006
TONGGAK utama Perlis, Philimon Chipeta (tengah) diasak oleh dua pemain PKNS dalam saingan bola sepak Piala Malaysia di Stadium Petaling Jaya, malam tadi. Perlis menang 1-0.

KUALA LUMPUR – Telekom Melaka mengesahkan tempat ke suku akhir biarpun sekadar terikat dengan keputusan seri 3-3 bertemu Kedah dalam perlawanan bola sepak Piala Malaysia Kumpulan B di Stadium Hang Jebat, malam tadi.

Telekom Melaka kini mengumpul sembilan mata selepas lima perlawanan untuk menduduki tempat teratas kumpulan.

Pulau Pinang yang tidak bermain semalam di tangga kedua dengan lapan mata manakala Kedah lima mata.

Kedah kini bersaing dengan Pulau Pinang untuk meraih satu lagi tempat ke suku akhir.

Dalam perlawanan semalam, Telekom Melaka mendahului Kedah 3-1 pada satu ketika namun kealpaan benteng pertahanan membolehkan Kedah mengikat kedudukan 3-3.

Perlawanan terakhir Sabtu ini, Telekom akan berdepan Pulau Pinang E&O, pertemuan yang akan menjadi penentu kemaraan pasukan itu ke suku akhir.

Kedah membuka jaringan awal mengejutkan tuan rumah menerusi Paolo Roberto da Silva pada minit ke-17 tetapi kesilapan Shafizal Hashim menampan bola ke gawang sendiri membolehkan Telekom Melaka mengikat kedudukan 1-1 pada minit ke-21.

Tuan rumah tambah garang apabila Nizaruddin Yusof meledakkan jaringan kedua di minit ke-26 dan Rudie Ramli menambah gol kedua pada minit ke-32.

Dua minit selepas itu Kedah bangkit merapatkan menjadikan kedudukan 3-2 menerusi jaringan Roberto da Silva sekali lagi.

Impian Telekom untuk mengutip tiga mata penuh berkecai akibat kealpaan benteng pertahanan membolehkan Ahmad Fauzi Shaari menyamakan kedudukan 3-3 menerusi jaringan di minit ke-67.

Sementara itu, dalam perlawanan Kumpulan C, Perlis yang lebih awal melayakkan diri ke suku akhir memahatkan kemenangan bergaya menewaskan PKNS 1-0 di Stadium Petaling Jaya.

Gol kemenangan Perlis jaringan ayam tambatan mereka Philimon Chepita pada minit ke-62 membolehkan skuad Singa Utara memintas Sarawak selaku pendahulu dengan kelebihan satu mata.

Perlis memunggut 13 mata manakala Sarawak yang juga layak ke suku akhir berada di tangga kedua dengan 12 mata.

Pertemuan terakhir Sabtu ini menemukan Perlis dan Sarawak di Stadium Utama Kangar, sekadar untuk menentukan juara Kumpulan B.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0726&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4lNG2qCmf
© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment