Di sebalik nama
Sahidan Jaafar
“3D jadi azimat
saya dan pemain,” akui Datuk Santokh Singh.
04 Jun 2017
12:00 P
Panduan 3D yang
digariskan oleh Datuk Harun itu bukan saja berjaya menyuntik semangat Santokh
tetapi para pemain lain seperti Mokhtar Dahari, Soh Chin Aun dan R Arumugam.
Menurut Santokh,
setiap kali ada perjumpaan dengan semua pemain, elemen ‘3D’ sentiasa ditekankan
oleh Datuk Harun bagi memastikan semangat pemain tidak luntur dan berjuang
sebagai satu pasukan yang sentiasa dahagakan kejayaan.
Mengimbas
kembali penglibatannya dalam dunia bola sepak, beliau menceritakan Datuk Harun
juga merupakan orang yang mula-mula mengesan bakat dan memilihnya untuk
mewakili Selangor buat pertama kali dalam kejohanan Burnley Youth Cup (sekarang
ini dikenali sebagai Piala Razak) pada tahun 1971.
Datuk Harun
ketika itu merupakan Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan juga
Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) yang dikenali ramai sebagai
seorang pemimpin banyak membantu kebajikan para pemain.
Santokh Singh
mengakui Datuk Harun juga merupakan pemimpin yang banyak berjasa dan beliaulah
orang yang telah membantunya mendapatkan kerja di Perbadanan Kemajuan Negeri
Selangor (PKNS) sebagai juruteknik pada tahun 1972.
“Datuk Harun
bukan saja pilih saya jadi pemain Selangor tetapi beliau juga tolong saya
dapatkan kerja di PKNS. Masa itu saya dibayar gaji cuma RM180 sebulan. Elaun
RM3 sehari. Gaji kecil tapi cukup, sebab nilai duit besar dan harga
barang-barang pun masih murah,” cerita Santokh tersenyum mengingati saat manis
beliau mula bertapak dalam arena bola sepak.
Setelah dipilih
mewakili Burnley Youth Cup pada tahun 1971, bakat Santokh semakin mendapat
perhatian setelah dipilih bermain mewakili pasukan Selangor pada tahun 1972.
Antara kenangan
manis yang masih diingatinya apabila Selangor melayakkan diri ke perlawanan
akhir dan seterusnya menjuarai Piala Malaysia pada tahun 1972. Berkat dedikasi
yang ditunjukkan itu Santokh seterusnya dipilih mewakili pasukan Malaysia pada
tahun tersebut.
Antara
pencapaian Santokh paling membanggakan apabila mewakili negara adalah apabila
Malaysia memenangi tiga kejohanan Pestabola Merdeka pada tahun 1973, 1974 dan
1976. Ketika mewakili pasukan Selangor, beliau membantu memenangi Piala
Malaysia sebanyak sembilan kali.
Pada tahun 1973,
bekas jurulatih Malaysia M Kuppan dan Abdul Ghani Minhat merupakan orang yang
bertanggungjawab membentuk gandingan mantap Santokh Singh-Soh Chin Aun sehingga
menggerunkan pasukan-pasukan lawan di Asia seperti Korea Selatan dan Jepun.
Apabila ditanya
apakah kenangan paling manis pernah dikecapinya bersama pasukan negara Santokh
memberitahu, ada dua kejayaan terhebat tercipta iaitu meraih pingat gangsa
dalam Sukan Asia Tenggara 1974 di Tehran, Iran dan layak ke Sukan Olimpik di
Moscow pada tahun 1980 yang belum mampu diulangi. Untuk rekod, pasukan bola
sepak Malaysia pernah layak bertanding ke Sukan Olimpik di Munich Jerman pada
1972.
Menurut Santokh,
cerita kejayaan Malaysia menundukkan Korea Selatan 2-1 pada 16 April 1980 di
Stadium Merdeka merupakan suatu nostalgia sukar dilupakan. Santokh menyarung
jersi kebangsaan berwarna kuning dengan No. 5.
“Kami turun
menentang Korea Selatan bukan mengharapkan apa-apa habuan jika menang. Tapi
kami turun membawa maruah negara dan mengharapkan kemenangan. Itu saja,”
beritahu Santokh yang menjadikan pemain pertahanan Jerman Franz Beckenbauer
sebagai idolanya.
Kegembiraan
Santokh dan rakan sepasukan ke temasya Olimpik Moscow 1980 berkecai beberapa
bulan kemudian apabila kerajaan Malaysia mengumumkan pemulauan sukan itu
sebagai membantah tindakan Soviet Union menceroboh Afghanistan.
“Sampai hari ini
saya tak rasa Malaysia akan mengulangi sejarah 1972 dan 1980. Mereka (pemain)
tiada semangat untuk mewakili Malaysia dan menang . Mereka cuma nak wang dan
ganjaran. Itu saja.
“Kita tak boleh
salahkan pemimpin FAM, fasal mereka sudah buat yang terbaik, membuat segala
perancangan dan masa depan bola sepak Malaysia,” akuinya yang pernah diberi
gelaran Ironman, bulldozer dan ‘Surging Sing’ yang bermaksud sentiasa mara ke
depan.
Santokh mengakui
segala kemudahan bola sepak negara yang disediakan sekarang sudah bertaraf
dunia, manakala gaji dan elaun pemain pula tinggi. Jika menang pemain dapat
bonus tetapi itu semua belum tentu dapat menjamin kejayaan pasukan Malaysia
jika tidak memiliki 3D seperti mana yang digariskan oleh Datuk Harun 46 tahun
lalu.
“Dulu tak ada
mewah macam sekarang. Tapi mereka mesti ada 3D seperti Datuk Harun cakap. Kalau
training pukul 7.00 pagi pukul 6.00 dah turun. Dulu kami pernah berlatih di
Terendak Kem, Melaka. Latihan cara askar. Duduk satu bumbung, mandi sekali, makan
sekali.
“Kami dibentuk
sebagai satu team. Kami diasuh semangat bermain bersama untuk menang dan
bermain untuk negara. Dan kami dibimbing bermain untuk rakyat Malaysia. Itu
saat manis yang saya takkan lupakan,” katanya.
Beliau
menceritakan sebagai hadiah kejayaan berjaya ke Olimpik Moscow 1980, setiap
pemain hanya diberikan seutas jam tangan Rolex dan dibawa melawat ke Brazil.
“Cukuplah. Dulu
kami bermain bukan nak duit tapi bermain untuk maruah negara. Bendera Malaysia
(pada jersi) selalu berada di hati. Jadi mereka perlu bermain dengan
bersungguh-sungguh untuk negara yang tercinta,” katanya yang mewakili negara
sejak tahun 1972 hingga 1985.
Jika tiada
sebarang program, rutin hariannya pagi-pagi lagi beliau pergi ke pasar di
Setapak membeli barangan makanan dan selepas itu kira-kira pukul 10.00 pagi
beliau akan bertemu rakan-rakannya bekas pemain bola sepak sambil menikmati teh
di warung berdekatan rumahnya.
Di warung inilah
sejak 15 tahun lalu menjadi destinasi mereka berkumpul dan bercerita pelbagai
kisah menarik tentang dunia bola sepak yang diharungi sejak dari muda
sehinggalah bersara dari dunia yang dicintainya.
“Dulu,
petang-petang saya selalu bermain bola sepak dengan Mokhtar Dahari dan Redzuan
Abdullah. Saya kayuh basikal pergi rumah Mokhtar Dahari di Kampung Datuk
Keramat. Lepas main bola, singgah rumah Mokhtar minum teh. Lepas itu baliklah,”
cerita Santokh yang ketika itu tinggal di Kampung Ayer Panas, Setapak, Kuala
Lumpur
Sumber-Artikel
Penuh: http://www.utusan.com.my/rencana/utama/pesan-datuk-harun-idris-jadi-azimat-1.489099#ixzz4j1Gkqun6
© Utusan Melayu
(M) Bhd
No comments:
Post a Comment