Ad

Sunday 25 June 2017

Impian Malaysia lebur



 
ARKIB : 06/05/2006
Ads by Kiosked
Impian Malaysia lebur
TEWAS...Perseorangan pertama negara, Lee Chong Wei terjatuh ketika membalas hantaran lawannya dari Denmark, Peter Gade-Christensen pada separuh akhir Piala Thomas di Tokyo Metropolitan Gymnasium, semalam. - Bernama.

TOKYO - Malaysia perlu menunggu dua tahun lagi untuk merampas semula Piala Thomas selepas peluang terbaik memenanginya di Jepun berakhir dengan kekalahan 2-3 kepada Denmark pada separuh akhir di Tokyo Metropolitan Gymnasium, semalam.

Selepas bertarung hampir lima jam dalam perlawanan tegang yang menyaksikan dua kad merah dilayangkan, pasukan negara akhirnya mengaku kalah selepas pendatang baru Piala Thomas, Kuan Beng Hong gagal menyumbang mata kemenangan pada perlawanan penentuan ketika kedudukan terikat 2-2 selepas tewas kepada Joachim Persson.

Kekalahan semalam juga melebarkan kemarau 14 tahun Malaysia untuk mendakap trofi badminton berpasukan dunia itu, yang kali terakhir dimenangi di Kuala Lumpur pada 1992.

Kejutan besar yang dilakukan beregu muda, Chan Chong Ming-Koo Kien Keat ke atas pasangan nombor satu dunia, Jens Eriksen-Martin Lundgaard Hansen serta sokongan padu kira-kira 300 penyokong Malaysia di Tokyo Metropolitan Gymnasium gagal mengubah nasib pasukan negara.

Bayangan kekalahan sudah mula terpancar buat pasukan Malaysia selepas pemain nombor dua dunia, Lee Chong Wei gagal menyumbangkan mata pertama, apabila Chong Wei selaku percaturan utama kecundang 19-21, 18-21 kepada juara Eropah, Peter Gade-Christensen.

Kemenangan dramatik 21-17, 28-30, 21-6 yang dicatat Chong Ming-Kien Keat ke atas juara Seluruh England, Eriksen-Hansen bagaimanapun menghidupkan kembali peluang negara, yang tidak meletakkan harapan tinggi ke atas kedua-dua pemain muda ini, malah hampir memecah gandingan mereka sebelum perlawanan bermula.

Perlawanan itu bagaimanapun berlangsung agak panas selepas pasangan negara dilayangkan kad merah oleh pengadil dari India, Girish Natu pada set kedua kerana cuba melengahkan-lengahkan permainan.

Namun begitu, Malaysia kembali tertekan apabila ketinggalan 1-2 selepas Muhammad Hafiz Hashim gagal mengutip mata daripada perseorangan kedua meski pun berjaya bermula baik dengan memenangi set pembukaan. Hafiz, yang beraksi longlai di set kedua tewas 22-20, 12-21, 17-21 kepada pemain nombor empat dunia, Kenneth Jonassen.

Pasangan senior negara, Choong Tan Fook-Lee Wan Wah membantu Malaysia kembali bernafas apabila memenangi mata penting dengan menundukkan beregu nombor empat dunia, Mathias Boe-Carsten Morgensen 21-13, 15-21, 21-19 untuk mengheret saingan ke perlawanan penentuan.

Dalam perlawanan ini, satu lagi kad merah dilayangkan, kali ini diterima oleh beregu Denmark.

Hajat Malaysia untuk melangkah ke perlawanan akhir Piala Thomas buat kali ke-14 dan merampas semula kejuaraan yang telah lama gagal dirangkul berakhir dengan kekalahan straight-set 12-21, 19-21 Beng Hong di tangan pemain muda Denmark, Persson.

``Kita kalah kepada pasukan yang lebih baik. Saya percaya dua tahun akan datang, Malaysia mampu memberikan cabaran yang lebih baik kerana pemain-pemain muda seperti Beng Hong, Koo Kien Keat dan Tan Boon Heong bertambah mantap, malah Chong Wei dan Hafiz juga masih muda, mereka adalah masa depan badminton kita,'' kata ketua jurulatih negara, Yap Kim Hock.

- Utusan

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0506&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4l5WdcZah
© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment