ARKIB : 04/12/2005
MANILA - Kekalahan regu utama
Thailand di tangan Malaysia dalam aksi sepak takraw bermakna berakhirnya
penguasaan tekong servis kuda paling digeruni, Suebsak Phuensub yang menjadi
igauan negara lain sejak dia mula tampil dengan servis berkenaan pada tahun
1995.
Malah, ia juga kembali membuka
ruang untuk persaingan lebih terbuka dalam sukan itu selepas didominasi
sepenuhnya oleh Thailand yang memenangi hampir semua kejohanan dalam tempoh 10
tahun lalu hasil kepakaran Suebsak.
Menurut pengurus negara, Nasir
Musa jika sebelum ini kehadiran sevis kuda ditakuti negara lain termasuk
Malaysia tetapi kemenangan kelmarin membuktikan kita sudah mempunyai jawapan
kepada servis yang mampu mencecah 160 kilometer sejam itu.
``Dalam tempoh 10 tahun kita
mencari formula untuk mengatasi servis itu termasuk cuba meniru kemahiran
mereka itu, akhirnya kita menemui cara terbaik iaitu dengan memberi perhatian
kepada cara menyambut servis berkenaan.
``Terbukti kemampuan kita
memberi balasan kepada servis mereka dalam perlawanan itu membuatkan mereka
buntu untuk menewaskan kita dan itu adalah kunci kejayaan kita,'' katanya
semalam.
Malaysia mengakhiri penantian
12 tahun untuk memenangi pingat emas acara sepak takraw antara regu pada Sukan
SEA apabila menewaskan Thailand dalam perlawanan akhir acara itu di gimnasium
Universiti San Carlos, Cebu City, kelmarin.
Regu negara yang dibarisi
Mohamad Normanizan Ahmad (tekong), Mohd. Putra Abdul Ghani (apit kanan) dan
Mohd. Zulkarnain Arif (apit kiri) menang dengan keputusan 21-11 dan 21-14.
Kejayaan itu sekali gus
memadamkan penguasaan Thailand dalam acara sepak takraw dalam temasya
dwitahunan itu dengan Malaysia kali terakhir memenanginya pada Sukan SEA 1993
di Singapura.
Thailand mula memperkenalkan
servis itu pada Sukan SEA 1995. Pada satu ketika, pasukan negara pernah meminta
supaya ia diharamkan kerana terlalu laju dan sukar diangkat.
Menurut Nasir, selain
pertahanan yang baik, permainan cemerlang tekong dan juga hadangan yang
dilakukan oleh Mohd. Putra merupakan elemen yang menjadi kekuatan kepada
negara.
Malah, katanya, ramuan itu
berhasil apabila regu negara dapat mengalahkan lawan itu dengan mudah dalam
tempoh lebih 10 tahun.
Katanya, walaupun mereka
memasukkan Suebsak yang masih mempunyai servis kencang bagi menggantikan
Sarawut Inlek, namun pemain negara tetap berupaya bertahan dengan baik sekali
gus membuktikan dia bukan lagi ancaman yang perlu dirisaukan. - Mingguan
sumberArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=1204&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_07.htm#ixzz4jOmfmScg
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment