ARKIB : 04/08/2006
NABI Adam adalah manusia
pertama yang diciptakan oleh Allah s.w.t. di muka bumi. Baginda juga diutuskan
sebagai nabi yang pertama dan merupakan nenek moyang sekelian manusia. Baginda
dijadikan oleh Allah daripada tanah.
Allah menciptakan Nabi Adam
sebagai manusia yang pertama mendiami bumi yang terbentang luas, beranak-pinak
dan berketurunan menjadi manusia yang banyak, bermacam-macam golongan dan
bangsa yang berselerak di seluruh pelosok bumi.
Terlebih dahulu Allah
memberitahu kehendak-Nya untuk mencipta Nabi Adam kepada semua malaikat. Aku
hendak menciptakan manusia untuk menjadi pengatur di muka bumi ini.
Para malaikat lalu menjawab, Apakah
manusia yang Engkau ciptakan itu untuk mengatur bumi, ya Tuhan kami? Tidakkah
manusia itu nantinya akan merosakkan bumi dan menumpahkan darah serta
berbunuh-bunuhan?
Lalu Allah berfirman, Aku
lebih mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya.
Setelah mendengar jawapan Allah
yang pendek tetapi mempunyai erti dan maksud yang sangat dalam itu, semua
malaikat terdiam. Mereka hanya berkata dengan berbisik antara mereka, Mereka
memang benar! Tuhan kita mengetahui segala sesuatu, daripada perkara yang
sekecil-kecilnya sampai kepada perkara yang sebesar-besarnya.
Maka pada hari yang dijanjikan,
terciptalah Nabi Adam daripada segumpal tanah liat yang kering, lalu Allah
meniupkan roh ke dalamnya supaya hidup, dapat bergerak, berperasaan dan bernyawa.
Selepas itu, Adam pun menggerakkan sekujur badannya. Seterusnya terbukalah mata
Adam, lalu bergeraklah jantung dan berfungsilah paru-parunya.
Dengan terciptanya Nabi Adam
itu, maka bermulalah kehidupan manusia di muka bumi ini.
SUMBER-Artikel
Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0804&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_04.htm#ixzz4lOCoLo2R
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment