ARKIB : 26/07/2006
Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD
ALBAKRI
DARI bahagian kisah Ibrahim
a.s. setakat ini, ayat yang berikut mengambil makna dan saranannya untuk
dikemukakan kepada orang-orang yang menentang hak kepimpinan umat Islam,
menentang hak kenabian dan kerasulan Rasulullah s.a.w. serta mempertikaikan
hakikat agama Allah yang tulen serta benar.
Firman Allah: Tidak ada orang
yang membenci agama Nabi Ibrahim selain dari orang yang membodohkan dirinya
sendiri, kerana sesungguhnya Kami telah memilih Ibrahim (menjadi nabi) di dunia
ini; dan sesungguhnya ia pada hari akhirat kelak tetaplah dari orang-orang yang
soleh yang (tertinggi martabatnya).
(Ingatlah) ketika Tuhannya
berfirman kepadanya: Serahkanlah diri (kepada-Ku wahai Ibrahim)! Nabi Ibrahim
menjawab: Aku serahkan diri (tunduk taat) kepada Tuhan Yang Memelihara dan
mentadbirkan sekalian alam. (Al-Baqarah: 130 dan 131)
Firman Allah s.w.t., Tidak ada
orang yang membenci agama Nabi Ibrahim. Ibn al-Jauzi berkata, sebab nuzul ayat
ini bahawa Abdullah bin Sallam memanggil dan mengajak dua anak saudaranya yang
bernama Muhajir dan Salamah supaya memeluk Islam. Kemudian Salamah memeluk
Islam sedangkan Muhajir menentangnya. Lantas turunnya ayat ini.
Al-Imam al-Suyuti dalam Asbab
al-Nuzul juga menyebut kisah ini berdasarkan nukilan daripada Ibn Uyainah.
Al-Tabari berkata, Allah
maksudkan demikian itu kepada golongan yahudi dan nasrani. ini kerana pilihan
mereka sebagaimana yang dipilih oleh golongan yahudi dan nasrani atas Islam.
Pendapat dan dakwaan bahawa memilih yahudi dan nasrani adalah bidaah bukan
sekali-kali daripada Allah.
Selain dari orang yang
membodohkan dirinya sendiri. Siapa yang benci agama Ibrahim dan ajarannya yang
terang lagi baik kecuali ia sebagai orang yang menghina dirinya sendiri dan
bodoh. Empat pendapat dalam kalangan ulama:
1. Maknanya kecuali siapa yang
memperbodohkan dirinya. Inilah pendapat Akhfasyh dan Yunus.
2. Maknanya kecuali siapa yang
membinasakan dirinya. Inilah pendapat Abu Ubaidah.
3. Maknanya kecuali siapa yang
dibodohkan dirinya atau nafsunya. Inilah mazhab al-Farra' dan Ibn Qutaibah.
4. Maknanya kecuali siapa yang
menjahilkan dirinya dan tidak fikir padanya. Inilah pilihan al-Zajjaj.
5. Al-Baghawi menaqalkan
pendapat Ibn Abbas iaitu siapa yang merugikan diri sendiri.
6. Al-Nasafi berkata, iaitu
orang yang tidak memikirkan diri sendiri sehingga meletakkan kejahilan pada
dirinya.
Kerana sesungguhnya Kami telah
memilih Ibrahim (menjadi nabi) di dunia ini; ini kerana Kami memilihnya antara
sekalian makhluk dengan kerasulan, kenabian dan imamah. Al-Samarqandi berkata:
Kami memilihnya di dunia dengan kenabian, kerasulan, Islam dan khullah (sebagai
kekasih Allah). Dan sesungguhnya ia pada hari akhirat kelak tetaplah dari
orang-orang yang soleh yang (tertinggi martabatnya). Sedangkan ia dari kalangan
yang hampir dengan Allah dan mendapat kedudukan yang tinggi. Ibn al-Anbari
berkata: Daripada kalangan orang soleh keadaannya di sisi Allah sedangkan
al-Zajjaj berkata: orang yang soleh di akhirat ialah orang yang berjaya.
(Ingatlah) ketika Tuhannya
berfirman kepadanya: Serahkanlah diri (kepada-Ku wahai Ibrahim)! Serah dirilah
kepada urusan Tuhanmu dan ikhlaslah terhadapnya. Beliau tidak teragak-agak,
tidak diam, tidak menyeleweng, malah terus menyambut sebaik sahaja menerima
perintah itu. Al-Baghawi berkata: Hendaklah kamu istiqamah atas Islam dan
thabitlah padanya kerana ia adalah orang Islam. Ibn Abbas berkata, beliau
berkata demikian ketika keluar dari al-Sarb. Al-Kalbi berkata: maksudnya ialah
hendaklah kamu ikhlas pada agamamu dan ibadatmu semata-mata kerana Allah. Athar
pula berkata, Islamlah dirimu kepada Allah s.w.t. dan serahkanlah segala urusan
dirimu kepadanya.
Al-Maraghi berkata, Ibrahim
mula kehidupannya dalam suasana kaum penyembah berhala dan bintang kemudian
menerangi mata hatinya dan mengilhamkannya kebenaran, sehingga ia mendapati
bahawa bagi alam buana ini hanya satu tuhan yang mentadbir dan mengatur segala
urusan dan kepada-Nya akan dikembalikan, justeru nabi Ibrahim tanpa ragu-ragu
menyahut seruan tuhan supaya beliau menjadi orang Islam benarlah.
Nabi Ibrahim menjawab, Aku
serahkan diri (tunduk taat) kepada Tuhan Yang Memelihara dan mentadbirkan
sekalian alam. Sesungguhnya aku telah serah diri segala arahan dan urusan
Allah serta patuh dan tunduk dengan hukum-Nya. Inilah agama Ibrahim, iaitu
agama Islam yang tulen dan terang. Ibn Abbas berkata, sesungguhnya dia telah
mentahqiqkan kebenaran itu dengan tidak meminta pertolongan dengan mana-mana
makhluk termasuk malaikat ketika peristiwa dia dicampak ke dalam api.
Nabi Ibrahim tidak cukup dengan
dirinya sendiri sahaja, malah beliau meninggalkan agama ini kepada zuriat
keturunannya. Beliau mewasiatkan agama ini kepada anak cucunya. Mula-mula
beliau mewasiatkan kepada anak-anaknya, kemudian Ya'qub (cucunya) mewasiatkan
agama ini kepada anak-anaknya pula. Ya'qub ialah Israel yang menjadi asal-usul
keturunan Bani Israel tetapi Bani Israel tidak menyambut wasiat Ya'qub, wasiat
datuknya (Ishak) dan wasiat moyang mereka (Ibrahim).
Al-Alusi berkata: Maksud
sekalian alam di sini untuk pemberitahuan betapa sempurnanya kekuatan Islamnya
sehingga beliau yakin ketika memerhati dan melihat kesyumulan rububiah-Nya
kepada sekalian alam bukan kepada dirinya sahaja, sebagaimana yang diperintahkan
dengannya secara zahir.
Iktibar dan Pengajaran ayat
Antaranya:
* Semua ajaran nabi termasuk
nabi akhir zaman Rasulullah s.a.w. adalah sama dari segi akidahnya iaitu
menyeru pengabdian kepada Allah dan menjauhi taghut seperti dinaskan di dalam
al-Quran, tetapi yang membezakan antara mereka ialah syariat yang mengikut
kesesuaian umat ketika itu.
* Semua nabi adalah pilihan
Tuhan dan Nabi Ibrahim antara golongan yang tinggi martabatnya di sisi Allah
selain daripada Nabi Muhammad s.a.w.
* Sifat menyerah diri kepada
Allah dalam erti kata lain mengislamkan semua kehidupannya kepada Allah
merupakan tuntutan sebagai khalifah-Nya di muka bumi ini.
* Sewajarnya kita menanamkan
sifat ikhlas dalam segala tindakan kita apatah lagi yang membabitkan masalah
ibadat kerana ia menatijahkan penerimaan ibadat tersebut atau sebaliknya dan
membawa kepada mendapat pahala atau tidak. Ini juga termasuk kerja-kerja yang
kita lakukan dalam menjalani kehidupan di dunia.
SUMBERArtikel
Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0726&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm#ixzz4lLtYluke
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment