Ad

Friday 2 June 2017

Malaysia teruskan kemaraan



ARKIB : 19/08/2005

Daripada NORZIE MOHD. KASBI


PEMAIN Malaysia, Lin Wun Fui (belakang) mengembalikan bulu tangkis kepada pasangan Thailand, Sudket Prapakamol dan Patapol Ngernsrisuk sambil diperhatikan oleh Mohd. Fairuzizuan Tazari pada Kejohanan Badminton Dunia di Anaheim, semalam. Beregu negara menang 15-9, 15-2. - AP.


ANAHEIM, California - Pasukan badminton Malaysia mencatat keputusan cemerlang pada hari ketiga Kejohanan Dunia semalam apabila kesemua tiga pemain perseorangan dan empat beregu lelakinya berjaya melayakkan diri ke pusingan ketiga.

Pasangan Ong Pei Tty-Chin Eei Hui muncul beregu wanita kedua negara dalam sejarah mara ke suku akhir di kejohanan yang berlangsung dalam arena tertutup Arrowhead Pond, semalam.

Juara Seluruh England 2003, Muhammad Hafiz Hashim tidak perlu turun ke gelanggang untuk menyertai Lee Chong Wei dan naib juara dunia, Wong Chong Hann beraksi di pusingan ketiga selepas pencabar mereka menarik diri akibat kecederaan.

Beregu senior, Choong Tan Fook-Chew Choon Eng pula mempamerkan permainan mantap ketika menumpaskan pasangan China, Sang Yang-Zheng Bo 15-8, 15-9 untuk mengetuai kemaraan tiga lagi beregu muda, Chan Chong Ming-Koo Kien Keat, Tan Bin Shen-Ong Soon Hock dan Mohd. Fairuzizuan Tazari-Lin Wun Fui.

Pei Tty-Eei Hui pula menepati sasaran awalnya untuk layak ke suku akhir beregu wanita dengan menyingkirkan pilihan kelapan, Tracey Hallam-Natalie Munt dari England 15-9, 15-4, manakala pasangan Kien Keat-Pei Tty menyerlah dalam saingan beregu campuran apabila menewaskan Hiroshi Shimizu-Miyuki Tai dari Jepun 15-3, 15-6 untuk bertemu pilihan kedua, Zhang Jun-Gao Lin dari China.

Hafiz tidak perlu bertemu jaguh Singapura, Ronald Susilo yang cedera buku lali di hari pertama.

Sementara itu, pemain nombor satu negara dan pilihan kelima, Lee Chong Wei menepati ramalan awal apabila menang mudah 15-1, 15-4 ke atas pemain Wales, Martyn Lewis untuk bertemu pilihan ke-16, Bjoern Joppien dari Jerman.

Choong Hann, 28, pula seperti dijangka menempah pertemuan sukar dengan pemain nombor empat dunia, Bao Chunlai dari China selepas menyingkirkan pemain Taiwan, Sheng-Shiun Lio 15-4, 15-0.

Dalam saingan beregu lelaki pula, kemenangan straight set yang dicatat ke atas pasangan China, Sang Yang-Zheng Bo bakal menemukan Tan Fook-Choon Eng dengan beregu tuan rumah, Tony Gunawan-Howard Bach.

Chong Ming-Kien Keat, pilihan kesembilan kejohanan akan berdepan juara Seluruh England dan pilihan keempat, Fu Haifeng-Cai Yun dari China selepas mudah menumpaskan Geoffrey Bellingham-Craig Cooper dari New Zealand 15-5, 15-10. (KEPUTUSAN PENUH DI MUKA 31) - Utusan

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0819&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4irgDUcXQ
© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment