Ad

Sunday, 22 April 2018

DOLLAH diharap mampu ulangi kejayaan musim lalu


Pahang intai final Piala FA
Oleh Asrol Awang
sukanteam@nstp.com.my
KUANTAN: Pengurus Pahang, Datuk Mohammed Suffian Awang optimis skuad kendalian Dollah Salleh mampu mengulangi pencapaian mara ke final Piala FA musim lalu selepas membenam pasukan pilihan, Johor Darul Ta'zim (JDT) 3-0 di suku akhir, Jumaat lalu.

Bagaimanapun, Suffian menegaskan pemain perlu mengekalkan komitmen dan semangat tidak mengenal erti putus asa biarpun berdepan pelbagai masalah terutama kecederaan seperti yang diperagakan ketika membaham Harimau Selatan di laman keramat mereka.  

Katanya, apa yang lebih penting skuad Tok Gajah dan tidak memandang rendah kemampuan PKNP FC yang akan ditemui di separuh akhir, 23 Jun nanti.

"Saya berterima kasih kepada semua pemain yang dapat melalui 90 minit perlawanan di Larkin dengan mempamerkan corak permainan yang mantap dan bertenaga. 

"Kejayaan ini membuktikan mereka mampu melakar kemenangan jika dapat beraksi dengan baik dan pada masa sama mengikut percaturan jurulatih. 

"Sebenarnya, tiada yang mustahil untuk mencatat kemenangan dan saya percaya kejayaan ini pasti menjadi tonik terbaik menghadapi separuh akhir menentang PKNP sekali gus mengulangi pencapaian mara ke final musim lalu," katanya.

Pada aksi suku akhir kedua Jumaat lalu, hatrik Patrick Cruz memastikan Pahang melangkah ke separuh akhir dan kemenangan itu juga melebur rekod tanpa kalah Harimau Selatan di laman sendiri sejak 2014.

PKNP pula mara selepas menewaskan pendahulu Liga Perdana, FELDA United FC 2-1 di Stadium Tun Razak, Jengka, untuk mengikat agregat 2-2 sekali gus layak berdasarkan jaringan di gelanggang lawan.
SUMBER-BERITA HARIAN ONLINE  Ahad, 22 April 2018 | 12:20pm

No comments:

Post a Comment