Ad

Wednesday, 11 April 2018

Peluang masih terbuka: Dollah

SUKAN»Bola
Sabtu, 7 April 2018 | 10:38am
PEMAIN Pahang Mohd Faisal Abdul Halim bersaing dengan pemain JDT Mohd Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham di Stadium Darul Makmur. FOTO/BERNAMA
Peluang masih terbuka: Dollah
Oleh Asrol Awang
sukanteam@nstp.com.my
KUANTAN: Pengendali Pahang, Dollah Salleh percaya peluang untuk mara ke separuh akhir masih lagi terbuka selepas pasukannya diikat tanpa jaringan oleh Johor Darul Ta'zim (JDT) pada suku akhir pertama Piala FA, malam tadi.

Jadi, bekas jurulatih kebangsaan itu mahu pemainnya lebih bersedia dengan memantapkan jentera tengah, menjelang suku akhir kedua ketika mereka bertandang ke Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, pada 20 April ini.

"Segalanya serba tidak menjadi pada perlawanan ini (malam tadi) kerana lebih banyak memberi ruang kepada lawan, khususnya pada separuh masa pertama.

"Pemain seolah-olah hilang keyakinan dan gagal mengawal permainan hingga membenarkan pemain tengah yang diketuai Safiq Rahim bergerak bebas.

"Namun, kita bernasib baik kerana segala yang dilakukan JDT berjaya disekat kerana hanya dua percubaan berbahaya dapat dilakukan," katanya.

Mengulas ketumpulan jentera serangan skuad itu, Dollah mengakui ketiadaan penyerang import dari Liberia, Francis Forkey Doe gagal memberi impak.

Ini kerana, katanya Forkey Doe memiliki kelebihan mengawal bola di depan gawang dan ketiadannya memberi kesan kepada corak permainan skuad Tok Gajah.

"Pada masa sama, Patrick Cruz juga tidak dapat bermain dengan baik kerana kecederaan paha kiri yang dialami masih belum pulih.

"Cruz juga dilihat kecewa tetapi saya yakinkan kepadanya masih ada masa untuk pulih sepenuhnya apabila bertemu pada suku akhir kedua nanti.

"Apa yang perlu dilakukan adalah meningkatkan lagi kualiti permainan terutama mengukuhkan jentera tengah, kerana Nor Azam Azih yang menjadi nadi pasukan gagal beraksi dengan baik.

"Azam juga banyak dibantu Safuwan Baharudin untuk memastikan lawan tidak menjaringkan gol," katanya.
Sumber-BERITA HARIAN ONLINE Sabtu, 7 April 2018 | 10:38am

No comments:

Post a Comment