Tok Gajah mengamuk di Larkin
21 April 2018 3:00 AM
CRUZ (dua dari kanan) muncul wira
apabila menjaringkan hatrik ketika membantu Pahang menewaskan JDT 3-0 pada suku
akhir kedua Piala FA di Larkin malam tadi.
REKOD bersih Johor Darul Ta’zim
(JDT) di Stadium Tan Sri Dato’ Haji
Hassan Yunos, Larkin iaitu tidak pernah kalah selama tiga tahun akhirnya lebur
di tangan Pahang selepas wakil Pantai Timur itu menewaskan Harimau Selatan 3-0
di gelanggang keramat mereka pada aksi suku akhir kedua Piala FA malam tadi.
Skuad Tok Gajah melakar kejutan
apabila menjadi pasukan pertama mengalahkan juara empat kali berturut-turut
Liga Super itu yang mana kali terakhir skuad Harimau Selatan tewas di laman
sendiri kepada Felda United pada 28 November 2015.
Penyerang kelahiran Brazil,
Patrick Cruz muncul wira buat pasukan bimbingan Dollah Salleh apabila menjadi
watak utama kejayaan membanggakan tersebut dengan mencipta hatrik menewaskan
JDT.
Dalam aksi itu, Cruz tidak
mengambil masa lama untuk membuka tirai jaringan pada minit kesembilan selepas
memanfaatkan hantaran jauh rakan sepasukan sebelum melepaskan rembatan leret
menewaskan penjaga gol Harimau Selatan, Farizal Marlias.
Pemain berusia 25 tahun itu terus
menjadi duri dalam daging buat JDT apabila menjaringkan gol kedua skuad Tok
Gajah pada minit ke-58 dan melengkapkan kemenangan Pahang menerusi gol ketiga
pada minit ke-76.
Pahang yang seri tanpa jaringan
menentang JDT pada aksi pertama akan menentang Perbadanan Kemajuan Negeri Perak
(PKNP FC) dalam aksi separuh akhir selepas kelab itu menyingkirkan pasukan
pilihan, Felda United dengan memiliki kelebihan jaringan di tempat lawan
selepas terikat 2-2.
Pada aksi timbal balik kedua di
Stadium Tun Abdul Razak, Jengka itu, PKNP FC mengalahkan skuad kendalian B.
Sathianathan 2-1 menerusi dua jaringan Muhd. Shahrel Fikri Md. Fauzi pada minit
ke-15 dan 43, manakala gol tunggal Felda dijaringkan oleh Wan Zack Haikal Wan
Nor pada minit ke-26SUMBER-KOSMO ONLINE 21 April 2018 3:00 AM
No comments:
Post a Comment