Ad

Friday 20 April 2018

Salim tabik keberanian Fajer

Jumaat, 20 April 2018 | 11:34am
 
SALIM MAHMUD
Salim tabik keberanian Fajer
Oleh Rodly Fadly
sukanteam@nstp.com.my
KUALA LUMPUR: Tindakan drastik Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) melakukan rombakan besar-besaran ke atas pasukan itu dengan mengetepikan beberapa pemain berpengalaman mendapat sokongan bekas pemain kebangsaan, Salim Mahmud.

Salim yang juga Presiden Persatuan Bekas Pemain Bolasepak Kelantan (PBPBK) berkata, apa yang dilakukan oleh jurulatih baharu pasukan itu, Fajer Ebrahim adalah wajar dan terbaik demi memulihkan reputasi The Red Warriors.

Malah, berdasarkan perlawanan pertama di bawah kendalian Fajer ketika seri 1-1 dengan Negeri Sembilan minggu lalu, Salim yakin jurulatih dari Syria itu adalah pilihan yang tepat untuk menyelamatkan bola sepak Kelantan.

"Kita memerlukan jurulatih yang memiliki keberanian seperti Fajer untuk melakukan perubahan. Anda dapat lihat hasilnya apabila beliau mempertaruhkan pemain muda ketika menentang Negeri Sembilan.

"Walaupun sekadar seri 1-1 namun pemain menunjukkan kesungguhan serta berjuang bermati-matian sehingga wisel penamat. Malah, kita mula nampak hala tuju pasukan itu sejak dibimbing Fajer," ujar bekas pemain Kelantan era 1980-an hingga awal 1990-an itu.

Salim berkata, walaupun pengguguran pemain import, Bruno Lopes dari Brazil dan Ferdinand Sinaga (Indonesia) serta bintang tempatan seperti Norfarhan Muhammad dan S Veenod memeranjatkan banyak pihak, namun ia langkah yang tepat.

Beliau juga tidak terperanjat dengan ura-ura dua lagi pemain senior, Badhri Radzi dan Khairul Fahmi Che Mat bakal turut diketepikan kerana beranggapan zaman kemuncak kedua-dua pemain itu sudah berakhir.

"Tidak dinafikan Piya dan Apek banyak berjasa kepada bola sepak Kelantan namun kita tidak boleh menjadikan sentimen itu untuk terus bergantung pada mereka.

"Dalam bola sepak, kita tidak boleh bergantung pada sejarah sebaliknya realiti semasa. Mungkin sudah sampai masanya kedua-dua pemain itu mencari pasukan lain untuk meneruskan karier," ujar Salim.
SUMBER-BERITA HARIAN ONLINE Jumaat, 20 April 2018 | 11:34am

No comments:

Post a Comment