Ad

Saturday 14 April 2018

Fajer lega TRW bawa pulang satu mata

Ahad, 15 April 2018 | 1:49pm
 
PEMAIN Kelantan mengekang pemain Negeri Sembilan, Flavio Beck Junior (dua dari kiri) pada aksi Liga Super di Paroi, malam tadi. - Foto BERNAMA
Fajer lega TRW bawa pulang satu mata
Oleh Mohd Amin Jalil
sukanteam@nstp.com.my
SEREMBAN: Ketua jurulatih Kelantan, Fajer Ibrahim tetap lega biarpun skuad bimbingannya sekadar mengutip satu mata selepas terikat 1-1 dengan Negeri Sembilan (NS) di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, di sini, malam tadi.

Malah, beliau juga berpuas hati dengan tindakannya yang mempertaruhkan sebahagian besar pemain muda apabila mereka menunjukkan semangat dan komitmen tinggi sepanjang tempoh 90 minit permainan.

"Saya puas hati dengan komitmen pemain muda yang kita turunkan malam ini apabila mereka menunjukkan persefahaman dan persembahan yang memberangsangkan terutama pada separuh masa kedua.

"Walaupun kita ketinggalan pada minit ketujuh, tetapi pemain tidak patah semangat, sebaliknya terus berusaha mendapatkan gol penyamaan sehingga ke saat akhir permainan.

"Sikap mereka yang berjuang sehingga ke penghujung permainan harus dipuji walaupun keputusan malam ini tidak membawa banyak perubahan kepada pasukan dari segi kedudukan kami dalam carta liga," katanya selepas perlawanan malam tadi.

Pemain muda Kelantan, Nik Akif Syahiran Nik Mat, muncul penyelamat skuad The Red Warriors (TRW) apabila meledak gol penyamaan pada minit ke-90, selepas NS mendahului lawan menerusi jaringan Flavio Beck Junior pada minit ketujuh.

Fajer yang dilantik menjawat jawatan berkenaan bulan lalu berkata, pihaknya memerlukan masa untuk memantapkan lagi prestasi pasukan itu dan akan terus memberi peluang kepada pemain muda untuk beraksi.

Bekas jurulatih kebangsaan Syria itu berkata, pihaknya menaruh keyakinan terhadap persembahan pemain muda yang dimiliki pasukan itu, malah menerusi gandingan dengan pemain berpengalaman seperti Mohamad Gaddar, beliau yakin hasratnya untuk meletakkan pasukan itu di landasan terbaik dalam carta musim ini akan dapat direalisasikan.

"Saya memerlukan masa untuk memantapkan lagi prestasi pasukan dan berpandukan keputusan perlawanan malam ini, kita perlu bekerja lebih keras untuk memastikan kemenangan dicapai pada aksi akan datang.

"Namun, dengan prestasi dipamerkan bakat muda ini, saya optimis pasukan ini mampu mencatat keputusan lebih baik pada perlawanan akan datang. Apa yang penting saya harap pemain kekal fokus dan berikan yang terbaik pada setiap perlawanan," katanya.
SUMBER-BERITA HARIAN ONLINE Ahad, 15 April 2018 | 1:49pm

No comments:

Post a Comment