Ahad, 8 April 2018 | 7:15pm
PEMAIN Selangor, Mohd Amri Yahyah didakwa Maciel tidak pamer sikap profesional selepas pasukannya ketinggalan 0-2 pada Suku Akhir Pertama Piala FA di Stadium Kuala Lumpur Cheras, kelmarin. - Foto BERNAMA
Maciel berang dengan Amri
Oleh Zulfaizan Mansor
Zulfaizan@nstp.com.my
KUALA LUMPUR: Jurulatih Kuala Lumpur, Fabio Maciel mengakui bengang dengan tindakan kapten Selangor, Amri Yahyah yang didakwa tidak menghormati pasukannya pada aksi suku akhir pertama Piala FA di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, malam tadi.
Maciel mendakwa Amri tidak mempamerkan sikap profesional yang perlu ada dalam diri pemain bola sepak terutama selepas The Red Giants mendahului The City Boys 2-0 pada babak pertama perlawanan.
"Selepas tamat babak pertama, saya cuba bercakap dengan pemain memakai jersi nombor 17 (Amri), saya tidak tahu nama dia. Bagi saya dia perlu lebih hormat kepada pasukan lawan.
"Ia bukan seperti cara pemain bola sepak. Dalam bola sepak kadang-kadang kita gembira dan ada kalanya kita menangis. Hari ini dia gembira, mungkin satu hari nanti dia akan menangis. Tapi bola sepak anda perlu hormat pasukan lawan," katanya pada sidang media selepas perlawanan.
Maciel diminta untuk tidak berada di bangku simpanan oleh pegawai perlawanan selepas didakwa menolak Amri ketika pemain berusia 37 tahun itu berjalan memasuki ke bilik persalinan selepas tamat babak pertama.
Tindakan pengendali kelahiran Brazil itu mencetuskan sedikit kekecohan sebelum ia dileraikan pegawai perlawanan dan pegawai kedua-dua pasukan.
Namun, Maciel menafikan menolak Amri sambil menjelaskan beliau hanya memegang leher pemain itu dan memintanya lebih menghormati pasukan Kuala Lumpur.
"Saya bercakap denga Rufino Segovia dan Willian Pocheco seperti biasa di mana saya menyatakan permainan mereka pada babak pertama bagus.
"Saya juga memaklumkan kepada dia (Amri) supaya lebih hormat pasukan lawan, kerana selepas mendahului 2-0 dia cuba bermain dengan bola dan (selepas itu) dia cakap sesuatu pada saya. Sebab itu saya pegang (leher Amri), tanpa menolak, tapi dia jatuhkan badan," katanya.
Selain itu, Maciel masih enggan menyerah kalah walaupun pasukannya berdepan laluan sukar untuk ke separuh akhir Piala FA selepas tewas 0-3 kepada Selangor.
"Keputusan yang sukar untuk kami, tapi masih ada 90 minit. Kami tidak putus asa kerana perlawanan kedua nanti akan lebih sengit dan saya yakin ia akan berbeza berbanding malam ini," katanya.
Sumber-BERITA HARIAN ONLINE Ahad, 8 April 2018 | 7:15pm
No comments:
Post a Comment