Sabtu, 21 April 2018 | 2:30pm
KHAIRUL Fahmi tiada dalam perancangan
Fajer. -Foto fail
KAFA sedia lepas Apek, Piya
Oleh Rodly Fadly
sukanteam@nstp.com.my
KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) sedia
melepaskan Khairul Fahmi Che Mat jika penjaga gol berpengalaman itu berhasrat meninggalkan
pasukan Kelantan pada musim perpindahan kedua bulan depan.
Malah, Presiden KAFA, Bibi
Ramjani Ilyas Khan mengalu-alukan hasrat pasukan Kuala Lumpur untuk melamar
pemain itu sambil menyatakan pintu rundingan turut terbuka luas kepada pasukan
lain yang berminat.
Bibi berkata ia sebagai menyokong
langkah transformasi yang sedang dilakukan oleh jurulatih baharu, Fajer Ebrahim
ke atas The Red Warriors dan pada masa sama untuk meringankan beban kewangan
ditanggung badan bola sepak itu.
"Terus terang saya nyatakan,
Apek (Khairul Fahmi) memang tidak ada dalam perancangan jurulatih dan beliau
(Fajer) menyerahkan kepada kami untuk membuat keputusan," kata Bibi.
"Bagi kami, bila seseorang
pemain tidak ada dalam perancangan jurulatih, dengan kekangan kewangan yang
sedang kami hadapi, kami perlu akur dengan keputusan itu dan memberi ruang
kepada pemain untuk bermain dengan pasukan lain.
"Namun, setakat ini kami
belum membincangkan perkara ini dengan Apek kerana saya baru selesai berunding
dengan Veenod (S Veenod), Taj (Amiridzwan Taj Tajuddin) dan Faizol Nazlin
(Sayuti).
"Kami juga belum menerima sebarang
tawaran untuk Apek sama ada daripada Kuala Lumpur atau pasukan lain. Tapi,
pintu kami memang sentiasa terbuka untuk rundingan."
Setakat ini Kelantan sudah
mengetepikan 11 pemain termasuk dua import, Bruno Lopes dari Brazil dan
Ferdinand Singa (Indonesia) selain pemain tempatan - Norfarhan Muhammad,
Amiridzwan, Rozaimi Azwar, Sukri Abd Hamid, Shafiq Ab Rahman, Tengku Qayyum
Ubaidillah dan Hattaphon Bun An.
Bibi menjelaskan, selain Apek,
bekas ketua pasukan, Badhri Radzi atau Piya juga tidak ada dalam perancangan
Fajer dan membuka ruang kepada pasukan lain yang mahu melamarnya.
Menurutnya, walaupun tindakan
menggugurkan beberapa pemain berpengalaman dianggap drastik, KAFA terpaksa
melakukannya demi menyelamatkan pasukan itu.
"KAFA sedang dibelenggu
hutang yang mungkin berdepan tindakan daripada FIFA (Persekutuan Bolasepak
Antarabangsa) serta pemotongan mata jika tidak ditangani segera. Kalau hutang
tak dapat bayar, belum tentu pasukan Kelantan boleh kekal dalam Liga Super pada
tahun depan.
"Pada masa sama, kami juga
perlu menilai daripada pelbagai sudut, contohnya ambil pemain bergaji tinggi
tapi prestasi pasukan tidak meningkat. Jadi, kami ambil jalan tengah, biar
beban hutang berkurangan di samping berusaha mengekalkan pasukan dalam Liga
Super," katanya
Sumber-BERITA HARIAN ONLINE Sabtu,
21 April 2018 | 2:30pm
No comments:
Post a Comment