Fadhilul Izmel Ishaksukan@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 1 April - Harimau
Malaya wajar berterima kasih kepada Bhutan kerana membenarkan Malaysia
menoktahkan kemarau kemenangan daripada terus berpanjangan apabila membelasah
skuad kendalian Trevor Morgan itu 7-0 dalam aksi persahabatan di Stadium Nasional
Bukit Jalil, hari ini.
Itu merupakan kemenangan pertama
yang dicipta oleh pasukan kebangsaan di pentas antarabangsa selepas kali
terakhir mereka melakukannya pada 20 November 2016 ketika menewaskan Kemboja
3-2 dalam aksi Kumpulan B Piala AFF.
Walaupun Malaysia meraih
kemenangan besar namun tiada apa yang boleh dibanggakan kerana itulah yang
diharapkan daripada mereka memandangkan Bhutan merupakan pasukan belasahan
dalam kempen kelayakan Piala Asia 2019 dengan menghuni tangga ke-188 dunia
berbanding Harimau Malaya di tangga ke-178.
Sebelum ini anak-anak buah Tan
Cheng Hoe menerima kecaman apabila gagal menewaskan Mongolia yang berada di
kedudukan ke-189 apabila seri 2-2 dalam aksi persahabatan di venue yang sama
pada 22 Mac lalu.
Dalam perlawanan tersebut, kapten
Harimau Malaya, Zaquan Adha Abd Razak muncul penjaring terbanyak apabila
meledak empat gol. Malaysia berada di depan seawal minit ke-11 menerusi
tandukan Wan Zack Haikal Wan Nor hasil hantaran lintang Zaquan.
Sembilan minit kemudian, Zaquan
mengukuhkan kedudukan apabila menyempurnakan penalti apabila Wan Zack
dijatuhkan oleh Chimi Dorji. Selang lapan minit kemudian Irfan Zakaria
menjaringkan gol ketiga berpunca daripada sepakan penjuru Wan Zack.
Gol keempat tuan rumah diperoleh
pada minit ke-37 selepas rembatan Zaquan gagal ditangkap dengan kemas oleh
penjaga gol Bhutan, Kinzang Gyeltshen sebelum penyerang dari Negeri Sembilan
itu meledak gol ketiganya selang tiga minit kemudian.
Bersambung babak kedua, Malaysia
terus bernafsu memburu gol apabila Zaquan sekali lagi merobek gawang lawan pada
minit ke-55 setelah menerima hantaran daripada Nazirul Naim Che Hashim.
Gawang Bhutan sekali lagi
dibolosi tuan rumah apabila giliran Syafiq Ahmad menjaringkan pada minit ke-74.
Kemenangan ini pastinya mampu
menaikkan semangat pemain negara yang sebelum ini menerima kritikan daripada
peminat bola sepak tempatan walaupun sekadar bertemu pasukan yang boleh
diibaratkan bukan lawan mereka
SUMBERArtikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/terima-kasih-bhutan-1.639621#ixzz5BV5tChkA
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment