ARKIB : 04/12/2009
SELEPAS penduduk Mekah menentang
Rasulullah, baginda mula risau terhadap keselamatan para pengikutnya. Baginda
berusaha mencari tempat baru di luar kota Mekah.
Selepas berbincang, baginda pun
memilih Taif yang terletak kira-kira 135 kilometer (km) ke arah Tenggara Mekah.
Baginda berharap para pembesar
daripada Bani Thaqif akan menerima baginda dengan baik. Bani Thaqif mempunyai
hubungan dengan Bani Hashim, iaitu keturunan baginda. Baginda bertolak ke Taif
dengan pembantunya, Zaid bin Harithah. Perjalanan itu mengambil masa selama 10
hari.
Apabila sampai di Taif, mereka
sangat kagum dengan keindahan daerah itu. Tanaman hidup subur dan binatang
ternakan sangat sihat.
Rasulullah dan Zaid pergi menemui
para pembesar daerah itu. Apabila baginda memberitahu niat baginda datang ke
Taif, para pembesar segera menghalau mereka.
"Pergi kau dari sini. Kami
tidak menyediakan tempat untuk orang seperti kau," halau para pembesar. Baginda
juga dihina dan dicerca.
Rasulullah menerima cacian
tersebut dengan tenang. Baginda tidak menaruh dendam kepada mereka. Para
pembesar telah melakukan bermacam-macam perkara untuk menentang Rasullullah
daripada berdakwah. Baginda tidak menghiraukan ugutan mereka. Baginda terus
menyeru penduduk Taif agar memeluk agama Islam.
Apabila gagal mengusir
Rasulullah, mereka menyuruh semua penduduk Taif mengejek dan menghina baginda.
Ramai penduduk Taif akur. Apabila Rasulullah dan Zaid lalu di hadapan mereka,
mereka akan mengejek baginda.
Namun baginda hanya tersenyum.
Ada juga yang kagum dengan kesabaran baginda. Namun bilangan mereka itu kecil
sahaja. Mereka tidak dapat berbuat apa-apa.
Penduduk Taif mencapai kayu dan
batu lalu membaling ke arah Rasulullah dan Zaid. "Berlindunglah di
belakang saya, Rasulullah," kata Zaid.
Zaid melindungi Rasulullah.
Apabila ada kayu atau batu dibaling ke arah mereka, Zaid akan segera menepis.
Beliau mengalami luka parah
akibat terkena batu dan kayu yang dibaling itu. Zaid tidak menghiraukan
kesakitannya. Kasih sayangnya terhadap Rasulullah melebihi segala-galanya.
Rasulullah hanya mengalami cedera ringan sahaja.
Rasulullah dan Zaid berjalan
keluar dari Kota Taif dalam keadaan cedera dan keletihan. Baginda kesal dengan
sikap penduduk Taif. Selama sepuluh hari baginda berdakwah dan mengajak mereka
menyembah Allah, mereka masih enggan.
"Ya Allah, kepada-Mu aku
mengadu. Aku hanyalah hamba-Mu yang lemah. Aku mengaku penghinaan manusia
terhadapku," doa baginda sewaktu dalam perjalanan.
Malaikat Jibrail mendengar doa
itu. Lalu meminta kebenaran untuk menurunkan bala ke atas penduduk Taif.
Baginda tidak membenarkannya.
Baginda berdoa kepada Allah
supaya memberikan rahmat dan hidayah kepada orang-orang yang telah menghina dan
mencaci baginda.
Begitulah mulianya hati Nabi
Muhammad SAW. Walaupun dihina, dikeji, malah dicederakan, baginda tetap
mendoakan agar orang yang menganiayai baginda memperoleh kebaikan.
nPetikan daripada buku 366 Kisah
daripada Al-Quran terbitan Edusystem Sdn. Bhd.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1204&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_03.htm#ixzz5YfwzR01j
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment