MyMetroArena
Nazri Abu Bakar
sukanteam@nstp.com.my
MELAKA: Pertahanan Melaka United, Shukor Adan menafikan wujud isu pelantikan kapten pasukan itu bagi mengharungi saingan Liga Malaysia musim depan.
Walaupun dia ditugaskan sebagai jeneral padang pada babak pertama aksi pramusim berdepan Selangor United dan Safiq Rahim pada babak kedua, namun Shukor menganggap pelantikan kapten masih belum dimuktamadkan.
Isu kapten hangat diperkatakan peminat kerana skuad Hang Tuah memiliki empat bekas kapten Harimau Malaya. Selain Shukor dan Safiq, mereka turut memiliki Razman Roslan dan Khairul Fahmi Che Mat.
“Ketua jurulatih Zainal Abidin Hassan meminta saya memakai lilitan kapten pada aksi itu malam tadi sebagai anak kelahiran bumi Hang Tuah.
“Selepas 20 tahun ini juga aksi pertama saya bersama Melaka di depan penyokong sendiri, selama ini saya dilihat sebagai ‘musuh’ mereka. Apa pun buat masa ini saya sahkan belum ada keputusan mutlak mengenai pelantikan kapten,” katanya.
Baginya, semua pemain layak mengetuai skuad itu termasuk Safiq, Razman dan Khairul Fahmi berdasarkan pengalaman luas masing-masing, walaupun ada desakan penyokong yang mahukan dia menjadi kapten.
Justeru, dia menyerahkan isu pelantikan itu kepada pengurusan pasukan dan jurulatih.
Sementara itu, Shukor terkejut melihat kehadiran ramai peminat ke Stadium Hang Jebat, Paya Rumput menyaksikan aksi persahabatan yang dimenangi mereka 3-2.
sumberArtikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Disember 2018 @ 1:16 PM
No comments:
Post a Comment