MyMetroArena
Syafiq Aznan
syafiq.aznan@nstp.com.my
KUALA LUMPUR: Meskipun juara Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) menafikan mereka ‘memancing’ Akhyar Rashid sebelum ini namun mereka akhirnya mengesahkan berminat untuk mendapatkan khidmat bekas pemain Kedah itu.
Perkembangan itu diumumkan Pengarah Sukan JDT, Martin Prest menerusi akaun rasmi Johor Southern Tigers, hari ini.
Dengan status pemain yang diberi julukan ‘Neymar Kedah’ itu kini sudah bergelar ejen bebas, JDT dilihat tidak berdepan masalah untuk mengikat pemain muda itu musim depan.
“JDT sudah memulakan rundingan bersama pemain muda berbakat, Akhyar Rashid yang sudah diumumkan sebagai pemain bebas dua minggu lalu.
“Kami ingin memperkuatkan pasukan menjelang tahun bersejarah yang mana Harimau Selatan akan menjadi pasukan pertama dari Malaysia bertanding dalam Liga Juara-Juara Asia (ACL),” katanya.
Terdahulu, spekulasi perpindahan Akhyar ke JDT hangat diperkatakan hingga mencetus ‘drama’ antara Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) dengan pasukan dari selatan itu.
Sebelum ini, KFA mengesahkan pemain berusia 19 tahun itu sudah menghantar permohonan untuk berpindah ke JDT namun pasukan itu didakwa cuba mendapatkan Akhyar tanpa sebarang permohonan rasmi.
Bagaimanapun, Pengarah Teknikal JDT, Alistair Edwards menyifatkan ia sebagai tuduhan yang tidak boleh diterima namun tidak menafikan mereka juga mahukan Akhyar sekiranya dia berhasrat untuk berpindah.
Malah, JDT juga akur Akhyar masih memiliki baki setahun kontrak bersama Kedah.
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kemudiannya mengumumkan Akhyar boleh menebus kontraknya bernilai RM210,000 kepada KFA bagi membolehkan dia bergelar ejen bebas.
Selepas bergelar ejen bebas, mana-mana pasukan yang ingin mendapatkan khidmatnya perlu melunaskan RM75,000 kepada KFA sebagai pampasan untuk latihan dan pembangunan.
SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Disember 2018 @ 2:08 PM
No comments:
Post a Comment