MyMetroArena
Firdaus Hashim
firdaushashim@nstp.com.my
KUALA LUMPUR: Johor Darul Ta'zim (JDT) dan ‘bintang baharunya’, Akhyar
Rashid bakal berdepan hukuman penggantungan daripada Persekutuan Bolasepak
Antarabangsa (FIFA) sekiranya Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) berjaya
membuktikan wujudnya unsur 'tapping up' atau 'curi' pemain kepada badan induk
dunia itu.
KFA sebelum ini mendakwa, JDT menggunakan taktik 'pintu belakang' untuk
berurusan dengan Akhyar tanpa persetujuan KFA yang masih memiliki kontraknya
hingga penghujung 2019.
Menurut peguam undang-undang sukan, Zhafri Aminurashid, skuad Harimau
Selatan boleh dikenakan perintah larangan membeli pemain sehingga empat jendela
perpindahan bersamaan dua musim dengan Akhyar pula yang 'tidak menghormati'
kontrak bersama skuad Helang Merah boleh digantung empat hingga enam bulan oleh
FIFA.
"Hukuman itu (penggantungan oleh FIFA ke atas JDT dan Akhyar) hanya
berlaku sekiranya KFA berjaya membuktikan bahawa wujudnya kesalahan dilakukan
JDT dalam proses mengikat Akhyar kepada FIFA," katanya kepada Sukan NSTP,
hari ini.
Bagaimanapun, beliau menganggap peluang KFA untuk memenangi kes itu agak
tipis selepas membawa kes berkenaan kepada Jawatankuasa Rayuan Persatuan
Bolasepak Malaysia (FAM) gara-gara tidak berpuas hati dengan keputusan
Jawatankuasa Status FAM sebelum ini.
"Dalam statut FAM jelas menyatakan bahawa mana-mana kes yang dibawa ke
Jawatankuasa Rayuan FAM tidak 'valid' lagi untuk dibawa ke FIFA ataupun CAS
(Mahkamah Timbang Tara Sukan) kerana Jawatankuasa Rayuan adalah sebuah badan
bebas yang mana keputusannya adalah muktamad dan CAS tiada bidang kuasa untuk
mendengarnya semula.
"Bagaimanapun, KFA boleh mencuba. Namun mereka perlu mengikut saluran
yang betul, malah kosnya mungkin mahal dan mereka juga perlu memastikan bukti
yang cukup untuk dibawa ke Switzerland.
"Kesilapan KFA hanya satu, kerana membiarkan isu ini dibawa ke
Jawatankuasa Rayuan FAM dan sepatutnya selepas Jawatankuasa Status membuat
keputusan, mereka perlu terus bawa kes ini ke FIFA sekiranya tidak berpuas
hati," katanya.
Begitupun, beliau menyatakan tindakan Akhyar untuk berhijrah meninggalkan
Kedah tidak salah kerana statut FAM dan FIFA jelas tidak menghalang pemain
dengan syarat harus membayar baki kontrak kepada pasukan asal dan kontrak yang
ditandatangani Akhyar juga membenarkan dia untuk berbuat sedemikian.
"Mengikut Peraturan Status dan Perpindahan FIFA serta FAM, secara
jelas menyatakan mana-mana pihak di dalam kontrak berhak untuk menamatkan
kontrak dengan lebih awal dengan syarat bayaran baki kontrak perlu dibayar
untuk melepaskan pemain atau pasukan tersebut daripada tanggungjawab yang dipersetujui
di dalam kontrak.
"Disebabkan itu, FAM memperkenalkan klausa pelepasan pada tahun 2017
untuk membolehkan pasukan baharu membayar jumlah yang dinyatakan di dalam
klausa dan menghalang daripada kewujudan masalah “tapping up” ini berulang
seterusnya membuat perbincangan dengan pemain. Di dalam soal ini Kedah tidak
menggunapakai klausa pelepasan itu," katanya.
Terdahulu, 'drama' membabitkan perpindahan pemain muda negara itu terus
berpanjangan selepas KFA dilihat tetap enggan melepaskan pemain sayap lincah
itu kepada JDT dan menegaskan Akhyar masih milik mereka.
Malah, KFA bertegas akan membawa kemelut ini ke pengetahuan CAS bagi
menuntut hak ke atas pemain berusia 19 tahun itu.
SUMBERArtikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Disember 2018 @ 6:30 PM
No comments:
Post a Comment